Oleh ROHAMI SHAFIE
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan
Pusat Pengajian Perakaunan (SOA)
Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.
Konsep wasatiyyah atau kesederhanaan sesuai diamalkan dalam semua kehidupan rakyat Malaysia. Amalan wasatiyyah tidak kira waktu kerana ia boleh membendung aktiviti ekstremis dalam semua perkara. Ketika dunia dalam keadaan bercelaru dengan pelbagai krisis seperti krisis kemanusiaan, politik dan ekonomi, konsep wasatiyyah adalah kaedah terbaik mengatasi pelbagai kecelaruan ini. Ramai melihat perbuatan-perbuatan ekstrem telah merosakkan dunia. Sebagai contoh, pembangunan yang berleluasa tanpa mengira kelestarian alam sekitar menjadikan dunia semakin panas. Ekologi alam sekitar kini tidak mengikut aturan yang sepatutnya. Maka, akibat tangan-tangan manusia yang ekstrem, pelbagai bencana telah berlaku. Iklim tidak boleh lagi diramal dengan tepat. Dahulu, di Malaysia banjir berlaku pada penghujung tahun, tetapi tidak pada masa sekarang. Ia boleh berlaku pada bila-bila masa hatta di mana-mana sahaja sekalipun. Ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, di negara jiran kita, Singapura banjir boleh berlaku di tengah-tengah bandar seperti di Orchard Road. Bayangkan apa akan terjadi, jika sekiranya, banjir berlaku di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) sebagaimana pernah berlaku banjir di Orchard Road, Singapura sebanyak dua kali?
Akibat aktiviti-aktiviti ekstremis yang merobek muka bumi, menggondol bukit-bukau dan gunung-ganang, mengambil hasil bumi seperti pasir dan balak tanpa satu mekanisme terbaik untuk memelihara dan memulihara alam sekitar, maka, yakinlah satu hari nanti, akan ada balasan yang setimpal menanti kita. Kelak, putaran ganas ini akan menghimpit kita semua. Atas dasar kecelaruan ini, maka lahirlah pelbagai inisiatif memperbetulkan keadaan, umpamanya penggunaan teknologi hijau. Langkah sebegini dicetuskan selepas pelbagai kemungkaran dilakukan oleh golongan ekstremis ini. Yang telah menjadikan mereka kaya-raya. Golongan yang dikenali sebagai elitis dunia. Yang tidak mempedulikan apa akan berlaku pada masa akan datang. Sudah tentu, tidak menghiraukan majoriti nasib rakyat. Yang penting, mereka boleh mengkayakan diri sendiri, keluarga dan rakan-rakan terdekat. Oleh yang demikian, pemberontakan rakyat berlaku di sana-sini. Tahun lalu sahaja ramai pemimpin telah rebah disingkirkan oleh rakyat mereka sendiri. Sebab itulah, para pemimpin tidak boleh sesekali meminggirkan konsep wasatiyyah dalam membela nasib rakyat. Amalan wasatiyyah sangat sesuai untuk menjaga kebajikan rakyat dan memakmurkan negara.
Sebagai contoh, di Malaysia antara isu yang paling menjadi tumpuan rakyat ialah isu ekonomi. Apabila lahirnya idea-idea untuk menjaga kebajikan rakyat seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE), hasilnya sewajarnya dinikmati oleh keseluruhan rakyat Malaysia. Sekali lagi, ia tidak boleh sesekali meminggirkan nasib rakyat majoriti. Atau hanya memberi manfaat terbesar di kalangan golongan elitis yang mempunyai kuasa, pangkat dan wang ringgit. Masih ramai rakyat yang menjalani kehidupan serba susah. Masih ramai rakyat tidak mempunyai keperluan asas seperti rumah yang selesa. Mereka ini perlu dibantu bukannya dipinggirkan dengan membina rumah-rumah mewah yang tak mampu dimiliki. Di Malaysia, umum mengetahui golongan yang paling susah tidak lain tidak bukan, kaum bumiputera. Ramai di antara mereka tidak memiliki rumah. Kalau ada pun, rumah mereka tidak begitu selesa. Maka bantuan disediakan oleh kerajaan untuk membantu golongan seperti nelayan bagi memperbaiki rumah mereka merupakan satu tindakan yang membela nasib rakyat.
Rakyat tidak mahu mendengar idea menukar lot berstatus bumiputera kepada bukan bumiputera dilaksanakan, gara-gara kononnya lot berstatus bumiputera yang gagal dijual dijadikan alasan kerugian besar pemaju hartanah. Ini menggambarkan betapa ceteknya pemikiran golongan segelintir usahawan yang hanya mementingkan keuntungan tanpa mempedulikan kebajikan dan nasib rakyat. Nampak sangat mereka tidak mempunyai perancangan bagi memastikan kesemua nasib rakyat terjamin. Telah ditetapkan agar kuota bumiputera hanya dijual untuk kaum bumiputera, maka ikutlah polisi tersebut, bukannya polisi yang mengikut kita. Ini satu tindakan yang tidak mengikut konsep wasatiyyah tetapi berpandukan hawa nafsu untuk mengaut keuntungan melampau. Rakyat mengetahui semua ini. Begitu juga apabila kerajaan memberi tempoh selama tiga bulan untuk mengkaji semula Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) agar mengambil kira semua perkara yang ditimbulkan oleh rakyat (pekerja bawahan sektor awam), ini satu lagi tindakan yang membela nasib rakyat keseluruhannya.
Secara umumnya, SBPA satu skim yang baik tetapi apabila ia hanya membela nasib segelintir golongan elitis yang mendapat laba yang lumayan dengan kenaikan gaji yang terlalu tinggi menyebabkan rakyat bawahan tidak berpuas hati. Bukankah, pelaksanaan SBPA untuk membantu meningkatkan pendapatan rakyat bawahan yang rata-ratanya berpendapatan rendah? Perkara ini tidak akan membantu jika sekiranya hanya golongan atasan atau elitis yang memperoleh kenaikan gaji terbesar. Ambil kira semua sudut secara wasatiyyah sebelum melaksanakan SBPA. Barulah, situasi menang-menang akan berlaku dan inilah yang sebenarnya disyorkan oleh Islam agar tidak berlaku kecelaruan dalam kehidupan seharian. Yang ini akan menjadikan nasib rakyat terbela dan negara pula akan sentiasa maju dan makmur.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 Januari 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan