JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



24 Januari 2012

ISU UMUM : TERJAHAN GELOMBANG SONGSANG


Tentu  ramai yang telah menonton Dostana – filem Hindi lakonan Arbhisek Bachan, John Abraham dan Priyanka Chopra. Kelmarin filem itu ditayangkan pula di TV3. Apa yang menarik tentang filem yang berlatarbelakangkan Miami sebagai tempat penggambaran itu? Jika nak dibandingkan Dostana dengan filem Hindi yang lain tidak banyak bezanya. Masih sarat dengan nyanyian, tarian dan lenggok seksi yang dikatakan seni oleh penggemar filem Hindi. Masih berkisar pada kisah cinta dan dua lelaki berebut seorang gadis yang menjadi rakan serumah. Cuma ada sesuatu kelainan dalam paparan Dostana yang bermaksud persahabatan iaitu penonjolan amalan gay yang begitu diterima baik di negara pejuang hak asasi manusia itu. Dalam Dostana, dua lelaki terpaksa menyamar pasangan gay supaya dapat diterima seabagai rakan serumah kepada seorang gadis. Betapa tidak kisahnya masyarakat di situ dengan amalan gay, tidak ada yang pelik jauh sekali jelik. Satu babak menunjukkan pasangan olok-olok gay berurusan di imigresen. Mereka beratur di lorong yang disediakan. Rupa-rupanya ada disediakan lorong khas untuk gay. Di situ segala-galanya mudah dan berjalan lancar. Pasangan gay mudah mendapat status penduduk tetap , malah kedatangan mereka sememangnya dialu-alukan.

Dostana bukan filem pertama tentang gay. Telah banyak filem memaparkan amalan tersebut, kebanyakannya menonjolkan penerimaan dan pengiktirafan. Mungkin ada yang berkata, filem-filem itu diterbit dan diarahkan oleh bukan Islam, sebab itu mereka cuba menjadikan sesuatu yang luar biasa diterima sebagai kebiasaan. Tetapi tidakkah terlintas di fikiran bahawa amalan seks sejenis ditolak oleh mana-mana agama sekali pun. Tidak sepatutnya timbul soal agama sebaliknya pembaharuan dalam pengiktirafan seks sejenis adalah apabila kreativiti, nafsu serta imuniti manusia semakin melepasi akal sehingga perkara yang luar biasa cuba dijadikan biasa tanpa ada sempadan dosa jauh sekali balasan siksa. Sebab itu jika dilihat perkembangan di seluruh dunia, amat jelas pengiktirafan terhadap pasangan gay, lesbian, transeksual dan seangkatan dengannya semakin menjadi-jadi. Amalan yang menyongsang arus kebiasaan kehidupan manusia itu dikaitkan secara rapat dengan hak asasi manusia yang tidak boleh diganggu-gugat oleh mana-mana pihak atau apa-apa kuasa sekali pun. Kuasa adat, kuasa agama malah kuasa undang-undang cuba disanggah semata-mata mahu menghalalkan yang haram, membiasakan yang luar biasa atas tuntutan hak asasi manusia.

Berkahwin lelaki sesama lelaki, perempuan dan perempuan atau menjalin hubungan seks tanpa ‘pernikahan’ sejenis kini mahu disamaratakan statusnya dengan ikatan perkahwinan lelaki dan perempuan. Jika pernikahan lelaki dan wanita menjadi tuntutan agama untuk mengelak perbuatan yang haram di sisi agama waima agama apa sekali pun, perkahwinan sejenis pula apa tujuannya? Apa sebenarnya tuntutan pasangan gay dan lesbian, apa juga keinginan transeksual? Kata mereka, naluri mereka mencintai kaum sejenis. Keinginan itu bukan dibuat-buat, sebaliknya mereka dilahirkan begitu. Lantas mereka berhak mendapat pengiktirafan, fahami naluri serta kelainan yang mereka miliki. Hormati juga privasi mereka. Justeru segala undang-undang yang menyekat keinginan serta hak asasi mereka mesti dipinda. Atau batalkan terus sekatan supaya mereka dapat hidup seperti manusia normal yang lain. Biar mereka dapat menjadi pasangan suami isteri dalam erti kata songsang yang sukar difahami namun secara diam-diam manusia sejagat terpaksa akur mengiktiraf jalinan ikatan yang terlalu kabur biar pun kesongsangannya amat jelas.

Sebab itu perkembangan terbaru menyaksikan tidak kurang 10 negara sedang berkira-kira untuk meluluskan undang-undang mengiktiraf perkahwinan sejenis. Denmark salah satu daripadanya. Menteri Hak Bersama dan Hal Ehwal Gereja (Minister for Equality and Church Affairs) negara itu mengumumkan perkahwinan sejenis mungkin akan diiktiraf mulai musim bunga tahun ini . Manakala di Nepal, badan kehakimannya telah pun menghalalkan amalan songsang itu biar pun undang-undang khusus mengenainya belum pun diluluskan. Denmark dan Nepal menambah panjang senarai negara yang telah pun berbuat demikian. Belanda menjadi negara paling awal memperakui perkahwinan sejenis, diikuti Belgium (2003), Sepanyol (2005), Kanada (2005), Afrika Selatan (2006), Norway (2009), Sweden (2009), Portugal, Iceland dan Argentina masing-masing 2010. Di Argentina khabarnya 70 peratus penduduknya menyokong perkahwinan sejenis. Amerika Syarikat – kuasa besar dunia yang mengepalai gelombang hak asasi manusia belum membuat pengiktirafan di peringkat persekutuan. Bagaimanapun beberapa negeri di AS antaranya Connecticut, Iowa, Massachusetts, New Hampshire, New York dan Vermont laju mengorak langkah.

Profesor Salleh Buang turut berkongsi sorotan tentang amalan seks songsang yang dlihatnya sebagai gelombang ganas sedang merempuh sempadan dunia untuk meruntuhkan segala batas yang ada. ‘‘Dari sudut kaca mata barat, cara kehidupan songsang ini merupakan satu hak asasi manusia. Ini bermakna, dari kaca mata mereka, walaupun tidak ”berkahwin” dengan pasangan yang sama jenis, mereka tidak boleh dihalang kalau mahu melakukan hubungan seks dengan pasangan mereka secara sukarela, asalkan tidak mengganggu orang lain,’’ katanya. Pakar undang-undang itu mengulas lanjut apabila diketengahkan soal perakuan hak yang dituntut oleh golongan yang menamakan kumpulan mereka sebagai Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). ‘‘Itu adalah “hak” mereka,’’ katanya. Salleh menarik perhatian bagaimana ‘hak’ kini menjadi gelombang songsang mendesak negara-negara (yang masih belum ada undang-undang perkahwinan sejenis) agar segera menyemak dan seterusnya memansuhkan undang-undang liwat (dan bagi pasangan perempuan, undang-undang musahaqah) yang disifatkan “sudah lapuk dan ketinggalan zaman,

Pengamatan Salleh amat jelas - andainya segala undang-undang yang menghalang mereka mengamalkan “hak asasi” itu dimansuhkan, barulah sesebuah negara boleh dianggap moden, maju, bebas, liberal dan demokratik. Salleh mengimbas penubuhan International Gay and Lesbian Human Rights Commission (IGLHRC), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Amerika Syarikat pada 1990. Menganggap diri mereka pejuang kebebasan golongan gay, lesbian, bisexual dan transgender. NGO itu menikmati “consultative status” dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu lantaran menganggap dirinya besar dan berpengaruh. ‘‘NGO ini bukan hanya aktif di barat, bahkan juga di Afrika, Asia Barat dan Asia. Selain beribu pejabatnya di New York, IGLHRC juga mempunyai pejabat di Manila,’’ katanya. Salah satu matlamat terbesar NGO yang menyokong pengamal seks sajenis itu, menurut Salleh adalah menghalalkan sodomi atau memansuhkan undang-undang yang menghukum perbuatan tersebut. Dalam istilah baratnya “decriminalizing” atau tidak menjadikan liwat jenayah lagi.

Lantas segala elemen agama, budaya, adat, resam dan undang-undang terutama di Timur yang membelenggu dan menyekat gaya hidup songsang mesti disetarakan dengan di dunia Barat supaya dunia menjadi sekata kepada amalan yang hakikatnya hanya memenuhi hajat serta naluri songsang kumpulan tertentu. Dalam erti kata yang lain – minoriti kini menjajah majoriti sehingga akhirnya jutaan manusia yang normal hidupnya terpaksa tunduk kepada tuntutan songsang. Baru-baru ini (9 Januari 2012) penganjur Seksualiti Merdeka telah mengeluarkan kenyataan “mengutuk” kerajaan Malaysia kerana menggunakan s. 377 Kanun Keseksaan yang dilihat undang-undang lapuk, mendiskriminasi dan tidak masuk akal (an archaic, discriminatory and legally unsound law) yang menjenayahkan hubung seks antara orang dewasa secara sukarela. Seterusnya NGO tempatan ini menyatakan bahawa hubungan seks antara dua orang dewasa adalah “hal peribadi” (private matter), justeru orang lain (termasuk pemerintah) jangan masuk campur. Ini baru kebebasan namanya. Sesungguhnya amat pelik apabila gelombang songsang yang dipertahankan kumpulan ini sebagai satu hak asasi manusia mendapat sokongan secara langsung dan tidak langsung) dari banyak NGO tempatan, termasuklah Majlis Peguam.

‘‘Saya kadang kala hairan. Dari 12,000 pengamal undang-undang yang dikatakan masih aktif di negara kita,pastinya ramai yang beragama Islam; kenapa mereka tidak bersuara?’’soal Salleh apabila dibangkitkan perihal sokongan melimpah-ruah terhadap tuntutan LGBT. Sehingga kini hubungan seks sejenis masih diharamkan di 70 negara daripada 195 negara di dunia. Maknanya tidak sampai separuh negara di dunia yang menolak pengiktrafan seks sejenis. Di Thailand, liwat khabarnya tidak lagi jenayah sejak 1956, kalah dengan Sweden yang menghalalkannya sejak 1944 lagi.  Soal Salleh, mampukah negara kita terus mempertahankan pegangan daripada diterjah gelombang seks songsang? Jika mampu, untuk berapa lama lagi terutamanya dengan kemunculan gerakan-gerakan aktif menuntut supaya liwat dikeluarkan dari senarai jenayah berat yang hukumannya terkandung dalam Kanun Keseksaan?

Jawapannya ada pada semua rakyat Malaysia. Dalam keadaan negara masih tersenarai dalam 70 negara yang percaya bahawa liwat itu jenayah, pertarungan terhadap tuntutan kumpulan songsang sememangnya amat membimbangkan. Sokongan NGO antarabangsa yang begitu gigih dan bersemangat mahu menghalalkan liwat memberi kekuatan kepada kumpulan itu untuk menuntut hak mereka. Ada pula sokongan dalaman terutama cerdik pandai undang-undang. Apa pula sokongan yang diperoleh kerajaan untuk menangani gelombang dan gerakan songsang ini? Perkhabaran tentang perkahwinan Ariff Alfian Rosli, bekas pelajar perubatan di Dublin dengan pasangan gaynya adalah jawapan awal. Begitu juga dengan gerakan Seksualiti Merdeka. Terbaru kesungguhan untuk meminda undang-undang mengaibkan seseorang. Wujudkah undang-undang seumpama itu? Bukankah setiap undang-undang secara tidak langsung akan mendedahkan aib seseorang apabila kes mereka diterima mahkamah. Tertuduh kesalahan merogol akan dibuka aibnya, begitu juga bagi yang dibicarakan atas tuduhan liwat. Perbicaraan tidak akan berlangsung tanpa keterangan dan bukti. Fikirkanlah.
                                                                                                                                    
Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 Januari 2012

Tiada ulasan: