JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



24 Januari 2012

ISU ICT : HIDUP SEPI TANPA GAJET, BIAR HABIS DUIT JANJI ADA GAJET

Oleh Ruhaiza Rusmin


Melihat pelbagai gajet terkini di pasaran, penulis segera teringatkan gelagat seorang sahabat baik yang terlalu taksub dengan perkembangan teknologi terkini. Apa saja gajet terbaru, dia segera mahu mendapatkan maklumat terperinci atau terus membelinya jika sudah berkenan walaupun harganya mahal. Apabila ditanya sama ada perbuatan itu ibarat mengundang padah, dia mengakui tidak kisah berlapar asalkan jangan ketinggalan memiliki gajet terkini. Ketaksubannya itu sekali gus mengundang pertanyaan di hati penulis, bagaimanakah gajet terkini yang harganya mahal boleh menjadikan seseorang itu ‘hilang kewarasan’ sehingga sanggup mengikat perut? Apakah tanpa gajet terutama telefon bimbit menjadikan kehidupan mereka tidak sempurna atau dianggap ketinggalan zaman dan menjadi bahan sindiran rakan-rakan? Gajet ini lambang personaliti, kemampuan dan penerimaan. Jika pakai gajet lama, nanti panas telinga kena kutuk, kata mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Mohd Rosdi Muji. Katanya, tanpa gajet, kehidupan mereka sunyi selain ketinggalan mengikuti perkembangan dunia teknologi.

Zaman kini, katanya, gajet sama ada canggih atau tidak bukan lagi pokok persoalan tetapi lebih penting kepuasan memilikinya. Ini zaman moden, gajet adalah satu kemestian tidak kira usia, latar belakang atau status. Yang penting mesti ada gajet, jika tidak hidup pasti tidak keruan. Justeru, kepuasan memilik gajet idaman boleh membuatkan individu sanggup berkorban apa saja. Kita mungkin pelik kerana mereka sanggup mengetepikan hal lain, tapi kalau sudah taksub, semuanya boleh. Rakannya, Ahmad Shahrir Aliakbar berkata, generasi muda sudah terdedah dengan gajet kerana suasana serta perkembangan terkini. Menurutnya, bukan semua mampu memiliki gajet yang mahal kerana faktor kewangan tetapi ramai sanggup berusaha untuk memilikinya bagi menarik perhatian siswa lain. Pemilihan gajet terletak pada pertimbangan akal dan kegunaannya kepada individu. Ia memudahkan kerja. Bagi golongan muda dan masih belajar, kebanyakannya suka memilih yang ringkas dan mempunyai fungsi sederhana seperti perkhidmatan Internet. Tapi ada yang sanggup membeli gajet mahal walaupun kurang berkemampuan, jadi perlu bersedia menanggung akibatnya.

Ditanya apakah pilihan utama golongan muda khususnya yang masih belajar, Mohd Rosdi berkata, kebanyakannya memilih telefon bimbit dan komputer riba sebagai pilihan. Dua gajet ini sangat penting untuk memudahkan urusan pembelajaran. Ramai beranggapan penggunaan dua gajet ini boleh mengganggu tumpuan terhadap pengajian, tapi ia kurang tepat. “Kami perlu buat tugasan dan penyelidikan, tentu sukar jika tiada gajet itu. Kos juga meningkat sedangkan sebagai pelajar, duit perlu digunakan sebaiknya kerana sumber yang terhad. Satu kemudahan jika memiliki komputer dan telefon bimbit juga bonus berganda jika ia adalah gajet terkini yang menjadi idaman ramai,” katanya yang tidak ralat memperuntukkan hampir RM50 sebulan membeli kad tambah nilai. Ditanya adakah mereka boleh hidup tanpa gajet untuk sehari, masing-masing mengakui tidak sanggup ‘menghadapi’ tekanan itu. “Biarpun buruk, ia masih menjadi aset yang sangat berguna. Saya pasti tertekan jika tidak memegang telefon bimbit atau menggunakan komputer untuk sehari. “Saya sudah ada pengalaman telefon bimbit hilang, memang mati akal dan azab,” kata Ahmad Shahrir.

Mohd Rosdi pula berkata, sebagai golongan muda, dia cuba memiliki gajet idaman dengan mengumpul wang secara berdikit. “Saya idamkan telefon Samsung model terkini, namun harganya mahal dan tidak berkemampuan membelinya. Bagaimanapun, saya tidak putus asa dan cuba menyimpan duit. “Mungkin bila duit cukup, telefon berkenaan sudah menjadi gajet lapuk, namun saya tetap mahu memilikinya dan tidak kisah jika rakan memperli,” katanya dan mengakui ada rakan suka mengusik telefon miliknya patut dijadikan tukun. Ditanya dari manakah mereka mendapat sumber maklumat mengenai gajet terkini di pasaran, dia berkata melalui media massa. “Itulah gunanya ada gajet terkini kerana banyak maklumat boleh diketahui sekelip mata. Bagaimanapun, ada juga di kalangan rakan menjadi model atau penyampai maklumat dan promosi. “Yang pasti, kami memang tidak mahu ketinggalan mengetahui gajet terkini itu. Walaupun tidak memilikinya, kami tahu mengenainya dan mengikuti perkembangan terkini dunia teknologi global,” katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARIAN METRO
23 Januari 2012

Tiada ulasan: