JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



31 Ogos 2011

ISU ALAM SEKITAR : BELAJAR URUS SISA PEPEJAL

Temubual Wartawan Utusan Malaysia, MD. AZRIN ROSLY dengan Ketua Pegawai Eksekutif PPSPPA, DATUK ZAINI MD. NOR


Tanggal  1 September 2011 menandakan bermulanya penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) yang akan membawa suatu transformasi kepada pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam negara demi menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera. Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) merupakan agensi ditubuhkan untuk memberikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang efisien, bersepadu di samping memberikan kepuasan yang lebih baik kepada pengguna. Penubuhannya melalui Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pembersihan Awam (Akta 673) dan melalui Akta 672 memberi kuasa eksekutif kepada PPSPPA untuk mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah-wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan. Pihak PPSPPA akan berperanan sebagai pihak berwajib yang berkuasa melaksanakan dasar dan strategi dalam pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam secara bersepadu dan efektif serta penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan persekitaran bersih dan sihat.

Bagaimanakah aktiviti pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dilakukan di Malaysia?

ZAINI: Selama ini, PBT di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merupakan badan yang bertanggungjawab menguruskan sisa pepejal. Terdapat 149 pihak berkuasa tempatan di Malaysia dengan pelbagai tahap keupayaan dalam menyediakan perkhidmatan perbandaran kepada orang awam. Daripada peruntukan yang diterima setiap tahun, PBT membelanjakan antara 40 sehingga 70 peratus untuk menguruskan sisa pepejal perbandaran bergantung kepada keluasan kawasannya. Pada 6 September 1995, Kabinet bersetuju menswastakan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam kepada syarikat konsesi Alam Flora Sdn. Bhd., Environment Idaman Sdn. Bhd., dan SWM Sdn. Bhd. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan penswastaan ini dilakukan dan antara faktor utama adalah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan membantu PBT. Sebelum penswastaan dilakukan sepenuhnya, proses interim dilaksanakan di zon tengah dan selatan pada 1998 manakala bagi zon utara pula, proses interim dilakukan pada 2009. Pembangunan dan pelaksanaan sistem pengurusan sisa pepejal perlu melibatkan gabungan teknologi yang bersesuaian dan undang-undang tempatan. Akhirnya, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam telah diwujudkan dan pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) yang akan berkuat kuasa pada 1 September 2011. Penguatkuasaan Akta 672 sekali gus akan membawa suatu transformasi kepada pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam negara demi menjadikan Malaysia sebuah negara bersih, indah dan sejahtera.

Apakah objektif dan kenapa Perbadanan diwujudkan?

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam ditubuhkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan secara rasminya pada 1 Jun 2008. Perbadanan diwujudkan melalui Akta 673 bagi mengendalikan sisa pepejal dan pembersihan awam. Apabila kita membicarakan tentang sisa, lazimnya ia berkaitan sampah. Sistem pelupusan sampah perlu mempunyai perancangan strategik di seluruh negara. Pengurusan sampah bukan sekadar melupuskan, bahkan ia perlu melalui sistem integrasi bermula dari aktiviti kutipan, pindahan sehingga ia dilupuskan. Peranan Perbadanan adalah merancang dan melaksanakan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam negara ini secara menyeluruh bagi memberikan perkhidmatan yang seimbang dan terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia. Kita lihat sebelum ini, bahawa PBT adalah pihak yang bertanggungjawab dalam menguruskan sisa pepejal dan ini mengakibatkan tahap perkhidmatan yang tidak seragam di seluruh negara. Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan dengan mewujudkan Perbadanan bagi mengawal selia, menguruskan sisa pepejal dari ia dikutip, diangkat sehingga ia dilupuskan dengan tahap perkhidmatan yang lebih seragam dan bersepadu.

Bagaimanakah pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang bakal dilaksanakan oleh Perbadanan?

Sejumlah 24,000 tan sampah dihasilkan sehari di Malaysia dan jumlah ini dijangka akan meningkat kepada 30,000 tan pada 2020. Setiap sampah yang dihasilkan ini perlu diuruskan secara efisien oleh syarikat konsesi di mana pihak konsesi perlu mematuhi setiap petunjuk prestasi utama (KPI) kutipan dan pembersihan awam yang ditetapkan. Kutipan sampah di rumah-rumah pula akan dipastikan mengikut jadual ditetapkan dan mereka perlu menghantar jadual operasi setiap bulan kepada Perbadanan bagi tujuan pemantauan oleh anggota penguatkuasa Perbadanan. Perbadanan menetapkan sejumlah 24 KPI bagi kutipan dan 51 KPI bagi pembersihan awam yang perlu dipatuhi oleh syarikat konsesi iaitu SWM Environment Sdn. Bhd., Alam Flora Sdn. Bhd. dan Environment Idaman Sdn. Bhd.

Bagaimana Perbadanan dapat mendidik masyarakat untuk mengitar semula?

Kita yakin bahawa tahap kesedaran masyarakat terhadap amalan kitar semula adalah agak tinggi, namun amalannya masih lagi rendah. Menurut kajian yang dijalankan oleh Perbadanan, didapati bahawa 80 peratus masyarakat Malaysia sedar akan kepentingan kitar semula, namun hanya 60 peratus yang mengamalkannya. Melalui amalan kitar semula, kita dapat melanjutkan tempoh jangka hayat tapak pelupusan sedia ada di samping memulihara alam sekitar. Sekiranya bahan buangan dapat dikitar semula sebanyak 50 peratus, maka jumlah yang sama juga akan dapat dijimatkan bagi pengurusan di tapak pelupusan. Salah satu tujuan utama Perbadanan diwujudkan adalah meningkatkan amalan kitar semula masyarakat Malaysia. Hasil penemuan kajian mendapati bahawa kebanyakan tong sampah kitar semula yang disediakan diletakkan di kawasan yang agak terpencil dan tidak membantu masyarakat mengamalkan budaya kitar semula. Hari ini kita mendapati bahawa semua sampah yang diangkat tidak diasingkan dan terus dibuang. Setahun selepas akta dilaksanakan, Perbadanan akan melaksanakan kutipan sehari dalam seminggu untuk sampah dan barangan yang boleh dikitar semula di rumah. Bagaimanapun, hanya 30 peratus daripada kawasan PBT akan terlibat dengan pelaksanaan ini. Hasilnya, pengguna akan mengasingkan sendiri sisa di rumah dan amalan kitar semula dan pengasingan sisa dapat dijadikan budaya masyarakat Malaysia.

Bagaimana Perbadanan dapat menyeragamkan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Malaysia?

Akta 672 meletakkan tanggungjawab kepada Perbadanan untuk mengambil alih pengurusan perkhidmatan daripada PBT di Semenanjung Malaysia yang merangkumi kepentingan kira-kira empat juta kediaman kecuali di Selangor, Perak dan Pulau Pinang yang menangguhkan pelaksanaannya buat masa ini. Dari sudut ini, kita mendapati bahawa Kerajaan Persekutuan bertujuan membantu kerajaan negeri dan PBT bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam. Sekiranya kita melihat mutu perkhidmatan sedia ada, kita mendapati penggunaan lori sampah agak uzur, berbahaya dan tidak sempurna. Maka dengan penguatkuasaan akta ini pada 1 September 2011, Perbadanan akan memastikan bahawa mutu perkhidmatan dapat dipertingkatkan secara berperingkat melalui KPI yang seragam dan perlu dipatuhi oleh syarikat konsesi dalam melaksanakan kerja-kerja kutipan dan pembersihan awam. Setiap syarikat konsesi ini akan menggantikan lori kompaktor dan tong sampah sedia ada dengan yang baru secara berperingkat manakala kompaktor yang digunakan pula akan dilengkapi dengan sistem pengangkut sampah atau bin lifter dan mempunyai sistem tangki kawalan air resapan sampah atau leachate yang mampu mengawal masalah tumpahan air resapan sampah.

Dari sudut operasi, adakah Perbadanan akan mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dari PBT?

Kita sebenarnya melihat bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih tanggungjawab untuk menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam melalui penubuhan Perbadanan dan penguatkuasaan Akta 672. Di samping itu, PBT juga akan terus membantu Perbadanan dari semasa ke semasa bagi memastikan jika terdapat sebarang halangan yang dihadapi oleh Perbadanan yang memerlukan tindakan dalam bidang kuasa PBT. PBT juga boleh menumpukan perhatian yang lebih kepada aktiviti perancangan dan pembangunan, pemberian lesen perniagaan, kutipan hasil pintu dan penguatkuasaan. Melalui pendekatan ini, PBT mempunyai lebih banyak masa untuk memberi perhatian kepada perkhidmatan mereka yang lain.

Adakah sebarang lesen diperlukan bagi menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam? Apakah aktiviti penguatkuasaan Perbadanan yang akan dijalankan?

Perbadanan memainkan peranan yang amat penting dalam menguatkuasakan Akta 672. Perbadanan kini mempunyai 504 anggota penguatkuasa yang terlatih bagi menjalankan aktiviti pemantauan dan kawal selia serta penguatkuasaan. Penguatkuasa Perbadanan akan mengurus dan mengawal selia kualiti perkhidmatan yang dibekalkan oleh syarikat konsesi serta menyiasat setiap aduan yang diterima. Selain itu, Perbadanan akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan di bawah Akta 672.

Adakah pengguna akan dikenakan sebarang caj tambahan perkhidmatan selepas Akta ini dikuatkuasakan?

Buat masa ini, tiada sebarang caj tambahan akan dikenakan dan semua kos lebihan perkhidmatan ditanggung oleh PBT dan Kerajaan Persekutuan. Apa yang penting di sini adalah pengguna dapat menikmati perkhidmatan pengurusan sisa pepejal yang lebih baik dan teratur di samping dapat menjaga alam sekitar.

Apakah perubahan yang bakal dinikmati hasil daripada pengambilalihan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam?

Tong sampah bersaiz 120 liter akan dibekalkan secara percuma dan berperingkat kepada pemilik premis oleh syarikat konsesi untuk penambahbaikan sistem kutipan sisa pepejal di negara ini. Selain membekalkan tong sampah, kita akan memastikan agar syarikat konsesi mematuhi KPI seperti jadual dan frekuensi kutipan, menghantar sisa ke lokasi pelupusan ditetapkan, tidak berlakunya keciciran kutipan, memastikan sisa di dalam atau luar tong dikutip, memastikan tiada tumpahan leachate dan menggunakan lori kompaktor yang mempunyai kelengkapan bin-lift. Sekiranya syarikat konsesi ini tidak mematuhi KPI yang telah ditetapkan, maka denda dan penolakan mata demerit akan dikenakan dan akhirnya boleh membawa kepada pembatalan Perjanjian Konsesi.

Bagaimanakah masyarakat dapat menyalurkan aduan berkaitan dengan permasalahan sampah?

Perbadanan sentiasa memastikan bahawa setiap aduan yang diterima akan diambil tindakan sewajarnya oleh pihak konsesi supaya dapat memberikan kepuasan kepada pengadu. Selaras menyahut saranan kerajaan supaya memperkemaskan mutu penyampaian perkhidmatan, Perbadanan telah menyediakan talian bebas Tol: 1-800-88-7472 yang boleh digunakan untuk seluruh Semenanjung Malaysia. Perbadanan membangunkan sistem E-Aduan untuk menguruskan aduan awam yang lebih berkesan. Sistem ini merupakan pengintegrasian antara tiga syarikat konsesi iaitu Alam Flora Sdn. Bhd., Environment Idaman Sdn. Bhd. dan SWM Sdn. Bhd. dengan Perbadanan.

Apakah harapan Datuk selepas penswastaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dilaksanakan?

Harapan saya agar Perbadanan dapat mewujudkan satu transformasi di dalam sistem pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam. Perbadanan akan berusaha menjadikan perkhidmatan sistem pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang seragam, kos efektif, mesra alam dan diterima oleh masyarakat. Adalah diingatkan bahawa pengurusan sampah yang lebih efisien, teratur dan berkesan dapat mewujudkan kehidupan yang lebih selesa.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
31 OGOS 2011

Tiada ulasan: