Oleh Metra Syahril Mohamed
Tatkala kita di tanah air sedang enak dialun lagu-lagu Aidilfitri dengan juadah yang ada kalanya kita membazirkan ia lantaran ketamakan nafsu, mereka di sini hanya berteman bunyian ‘sekawan’ lalat yang menghurung dengan rezeki yang bukan lagi seperti ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Itulah Somalia. Bumi kering kontang dengan penduduknya diancam kebuluran yang sangat mengerikan ekoran kemarau terburuk dalam tempoh 60 tahun. Sangat mengerikan. Tidak menerima hujan sejak tiga tahun, keadaan itu menyebabkan sumber air kering manakala tanaman musnah yang mencetuskan krisis kebuluran. Kaum wanita dan kanak-kanak antara yang terjejas teruk lantaran kekurangan makanan berzat. Menurut laporan media antarabangsa, seramai 3.7 juta rakyat negara itu diselubungi krisis kebuluran dan 2.8 juta lagi berisiko menghadapi maut jika tidak memperolehi bekalan makanan. Malah, kelemahan kerajaan pusat Somalia dan kewujudan kumpulan-kumpulan bersenjata seperti al-Shabab yang mengawal sebahagian besar selatan negara itu dan menyekat kemasukan bantuan makanan oleh agensi kemanusiaan menjadi penambah ‘asam garam’ kesengsaraan umat manusia di Somalia.
Apa yang dilalui mereka amat menyedihkan. Inilah masalahnya jika tidak ada penyatuan dalam sesebuah negara. Inilah bahananya jika sesama kita berperang. Inilah azabnya jika kita tidak bersatu dalam menghadapi apa jua cabaran mendatang. Sesungguhnya, kita di Malaysia harus bersyukur dengan rahmat kurniaan Allah. Tanah air kita maju dan buminya subur. Apa yang kita kecapi inilah yang harus kita pertahankan bersama. Berbalik kepada Somalia, prihatin dengan nasib yang menimpa, sekumpulan sukarelawan yang bernaung di bawah Kelab Putera 1Malaysia diketuai Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim muncul menghulurkan apa sahaja kudrat yang ada demi rakyat negara itu. Berlepas ke bumi Somalia pada 28 Ogos (Sabtu) lalu menerusi pesawat Charlie C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sukarelawan termasuk pasukan doktor dan media meninggalkan segala enak Aidilfitri bagi melihat sendiri penderitaan yang dihadapi jutaan umat Somalia. Membawa sekali bekalan perubatan, inilah sumbangan rakyat Malaysia yang turut akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-54 hari ini.
Apa yang penting, sumbangan ini membawa mesej kepada dunia agar tidak melupakan Somalia yang terjejas teruk ekoran kemarau panjang. Menurut Abdul Azeez, misi kali ini sudah pasti dilihat beliau sebagai misi paling membahayakan. Bukan sahaja faktor kemarau, jelasnya, berhadapan dengan ancaman konflik dan pergolakan di negara itu ibarat igauan ngeri kepada sebahagian besar yang terlibat dalam misi berkenaan. Atas dasar itu, adalah dipohon kepada rakyat di tanah air agar mendoakan misi ini yang bukan bertujuan mencari populariti tetapi demi keprihatinan sesama manusia. Kebuluran di Somalia diisytiharkan secara rasmi buat pertama kali oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 20 Julai lalu iaitu dan terburuk dalam tempoh 30 tahun. Sungguhpun begitu, Presiden Wilayah Udubland, Ibrahim Abdullah Addo menjangkakan bahawa negaranya itu memerlukan tempoh masa selama 45 hari untuk pulih semula jika mendapat bantuan makanan berterusan daripada pelbagai pihak. Di sebalik itu, katanya, apa yang membanggakan, Malaysia menjadi negara pertama yang menghantar pasukan khas untuk memberi bantuan kemanusiaan terhadap Somalia. ‘‘Sekarang ini sahaja, seramai 3.7 juta rakyat terutamanya di lima kawasan di selatan dan tengah Somalia berada dalam kebuluran dan lebih 2.8 juta orang khususnya kanak-kanak berisiko mati dalam tempoh beberapa minggu lagi jika tidak mendapat bekalan makanan.
” Demikian luahan hati Ibrahim yang turut sama kembali ke tanah airnya bersama-sama pasukan sukarelawan Malaysia. Tambah beliau, apa yang diusahakan oleh Malaysia cukup membuatkan hatinya tersentuh kerana bumi kecil ini memiliki hati yang besar dalam melaksanakan misi kemanusiaan. ‘‘Terima kasih Malaysia. Jasa anda terhadap Somalia amat saya hargai. Kami cukup terharu dengan pengorbanan anda semua,” tambahnya yang mengukir senyuman penuh kesayuan. Sementara itu, dalam satu wawancara khas wartawan Luar Negara Utusan Malaysia bersama Penasihat Kanan kepada Presiden Somalia, Dr. Abdul Kareem Jama, beliau turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana prihatin dengan nasib yang melanda negaranya meskipun kedudukan geografi yang jauh dan berlainan bangsa. ‘‘Mengetahui ada orang yang mengambil berat terhadap nasib kami membuatkan kami lebih bersemangat untuk terus hidup.” Itulah semangat yang dizahirkan oleh Abdul Kareem yang mewakili jutaan rakyat negaranya. Semoga Somalia akan mengecap keamanan hakiki bagi membolehkan negara itu terus maju ke hadapan. Doa kami rakyat Malaysia, agar Somalia tidak lagi diselimuti mimpi hitam ekoran krisis yang melanda.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
31 OGOS 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan