Pencetus ketegangan
tidak syukuri nikmat kemerdekaan
Ramai kecewa kerana pihak penganjur terus berdegil untuk meneruskan perhimpunan haram di ibu negara, Kuching dan Kota Kinabalu, Sabtu depan. Polis sudah menutup ruang rundingan kerana penganjurnya, terutama Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) tidak mahu membatalkan hasrat itu. Wartawan Berita Minggu, MOHD AZIS NGAH dan NADIA HAMID mendapatkan pandangan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Dr Azman Amin Hassan dan pakar keselamatan, Kamal Affendi Hashim untuk membincang lanjut isu ini. Ramai mengatakan penganjuran perhimpunan kali ini dipengaruhi anasir asing yang memilih kaedah bantahan jalanan untuk menyuarakan ketidakpuasan hati berbanding saluran betul seperti melalui pilihan raya. Adakah mereka ini sebenarnya berada di bawah telunjuk ‘tangan asing’ yang cuba merosakkan keamanan negara?
Ya, itulah yang kita nampak hari ini. Perhimpunan BERSIH jelas dipengaruhi keputusan dan amalan dunia luar untuk menggulingkan kerajaan seperti di Asia Barat, misalnya di Mesir yang cuba menukar kerajaan melalui cara lain, lihat apa berlaku di negara jiran, Thailand, sehingga kini masih bergolak akibat politik. Itulah mereka cuba lakukan saya percaya ia memang dipengaruhi hasutan pihak tertentu. Walaupun negara kita aman, masih ada tidak berpuas hati dan meluahkan perasaan dengan cuba mengheret rakyat melalui hasutan, itu sebenarnya amat berbahaya. Rakyat dihasut supaya menyertai perhimpunan, ada yang cuba menumpang seronok, sedangkan mereka tidak mengkaji kesannya secara mendalam. Sudah tentu kerajaan risau, memang akan ada yang cuba membuat kacau, cetuskan pergaduhan, ketegangan hingga ia boleh merebak menjadi perkara lain. Bahkan, tidak mustahil ia boleh mencetuskan isu perkauman. Semua itu patut dihindar sebab negara kita aman, jauh daripada bencana alam, kita patut bersyukur.
Kenapa perlu mencipta bencana baru dengan cetuskan huru-hara, sedangkan kita ada pilihan menukar kerajaan melalui pilihan raya. Jika betul mereka ingin adakan perhimpunan, kenapa tidak memilih tempat tertutup yang dibenarkan, misalnya di Stadium Bukit Jalil yang boleh memuatkan 100,000 orang. Jangan berhimpun di tempat awam, itu mengganggu orang ramai yang tiada kena mengena dengan perjuangan mereka. Jelas, mereka cuba buktikan Malaysia negara yang huru-hara, sedangkan hakikatnya kita selamat dan tenteram. Badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik ekstrem akan buat apa saja untuk mencabar kerajaan, mereka mendakwa perlukan demokrasi, tetapi kenapa tak amalkan demokrasi melalui saluran betul. Dalam situasi ini, kerajaan tersepit di celah-celah kenakalan anak Malaysia yang tidak tahu bersyukur. Saya percaya, mereka sebenarnya cuba ‘mencipta nama’ di persada antarabangsa dengan menjadi wira jalanan. Kerajaan sudah buat macam-macam, tetapi masih ada yang sangkal pelaksanaan dasar kerajaan. Dalam usaha pulihkan negara, kita sepatutnya bersatu, kerana melalui cara itu kita akan jadi hebat tetapi masih ada pihak tertentu cuba meracuni rakyat dengan mendakwa kerajaan tidak bersih.
Berdasarkan beberapa bukti ditemui polis, wujud kemungkinan, perhimpunan bantahan itu juga sebenarnya adalah cubaan menghidupkan semula fahaman komunis secara senyap?
Fahaman komunis sudah lama terpadam. Ideologi itu basi dan tidak lagi diterima rakyat. Negara China sudah moden dan berubah tetapi nampaknya di negara kita, cubaan menghidupkan semula fahaman komunis dan ada yang sebarkan gerakan sosialis. Kononnya, mereka cuba menuntut keadilan. Kita kena rujuk Perlembagaan Persekutuan yang dirangka hasil kesepakatan semua kaum. Semangat perpaduan itu perlu dilihat. Jangan gunakan alasan itu adalah sejarah lama, generasi baru kena cipta sejarah baru, itu tak betul. Kalau buat sejarah baru untuk memajukan negara, kita boleh terima. Negara kita amalkan sistem Raja Berperlembagaan, kita kena pegang dan jangan sesekali terpedaya dengan anasir komunis dan sosialis. Negara kita jelas berbeza. Contoh paling mudah, tanya rakyat Malaysia yang biasa ke luar negara, apa perbandingan yang mereka katakan berbanding negara lain. Nikmat perpaduan yang kita ada di sini cukup baik yang tidak ada di dunia lain kerana pelbagai kaum boleh bersatu dan hidup aman di Malaysia. Di sini, kita bersyukur kerana mudah mencari rezeki, sedangkan negara lain masih pada takuk lama, nak dapatkan kerja pun susah. Semua itu hasil ruang yang disediakan kerajaan. Bahkan, warga asing datang ke sini boleh hidup senang, ada kerja. Kenapa kita tak bersyukur dengan semua nikmat itu. Bulan lalu, 30 warga Korea Selatan datang ke sini. Mereka adalah wakil kerajaan dan NGO yang melawat Malaysia. Apabila pulang, mereka datang semula ke sini dengan 60 orang dan ucapkan tahniah kerana kita berjaya buktikan perpaduan. Bulan ini, 100 pemimpin negara itu akan datang ke sini. Kita perlu kaji, kenapa mereka suka datang ke sini. Mereka kagum dan kita dijadikan negara contoh. Kita tidak sedar betapa bertuahnya menjadi rakyat Malaysia. Jangan besarkan isu kecil yang boleh diselesaikan.
Matlamat sebenar perjuangan pihak tertentu kononnya menuntut keadilan dilihat semakin terpesong. Semua bercampur aduk dengan kepentingan peribadi dan campur tangan pihak luar?
Memang tujuan itu sudah tersasar. Kalau nak hantar memorandum, bukan itu caranya. Banyak cara lain boleh buat dan semua itu ada pilihan. Dakwaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tak telus juga dipersoalkan. Kalau tak telus, takkan pembangkang boleh tawan lima negeri ketika pilihan raya umum lalu. Jika dibandingkan dengan negara maju, misalnya di United Kingdom, kempen pilihan raya di sana cukup hebat. Calon hanya menyampaikan ceramah dan kempen mengenai manifesto parti, bukan cari kesalahan dan hentam lawan. Tetapi semua itu berbeza di sini, selepas lima tahun masih cakap hal sama. Politik cuma untuk pilih kerajaan, bukan berpuak, berpecah belah, bermusuh. Agama tak galakkan perpecahan tetapi menyuruh kita bermuafakat. Semua berbalik kepada asas agama, insya-Allah semua akan selamat. Banyak suara yang diam sebelum ini bersuara, menolak huru-hara. Logiknya tindakan kekerasan tidak boleh dilawan dengan agresif. Api tak boleh lawan api, bertambah meletup. Tindakan mencetuskan api kemarahan itu kerja orang kurang waras. Jelas, kekecohan itu dicetuskan kumpulan kecil yang mencari pengaruh dan menambah pengikut. Saya percaya kerajaan tahu bagaimana nak berunding.
Ketika rusuhan di ibu negara beberapa tahun lalu, ramai pengikut HINDRAF bertindak ganas merosakkan harta awam. Itu membuktikan, apabila ramai yang berkumpul, akan berlaku tindakan luar kawalan dan ia bertentangan dengan janji penganjur untuk berkumpul secara aman?
Memang itulah yang akan berlaku. Peniaga sekitar perhimpunan jadi mangsa sebab mereka berdemonstrasi di tempat tumpuan umum. Ramai yang takut keluar sedangkan penganjur tahu, mereka sebenarnya ada pilihan untuk menyalurkan bantahan, bukan demonstrasi, itu budaya ganas. Walaupun tak mungkin berlaku darurat, ia sebenarnya menjejaskan emosi rakyat. Mereka timbulkan suasana tidak baik. Kalau betul mahu hantar memorandum, kerajaan boleh benarkan 10 orang serah memorandum atau berbincang dengan SPR. Kalau mereka tidak diberi ruang, kerajaan akan bermasalah. Apabila sudah tahu apa mereka mahu, barulah boleh bertindak. Memang tidak semuanya boleh dipenuhi, tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat peluang. Ada gimik mengatakan kalau kerajaan tak boleh tumbang melalui pilihan raya, kena guna cara jalanan, buat bantahan. Itu sebenarnya tak betul, sedangkan ramai yang memprotes adalah cendekiawan. Tentu mereka tahu bagaimana nak buat, tak perlu ikut orang yang berfikir mengikut emosi. Kalau mereka bijak, kenapa tak ubah prinsip ‘kenapa tak boleh setuju dengan apa yang kita tak setuju.’
'Tarik kerakyatan pengkhianat negara'
Penganjur perhimpunan kali ini seolah-olah mengulangi tayang propaganda rusuhan yang pernah berlaku sebelum ini. Bagaimanakah pandangan saudara mengenai trend ini?
Penganjuran perhimpunan bakal mencetuskan pelbagai masalah. Empat tahun dulu, saya pernah menyatakan transisi jenayah semasa seperti rompakan, curi, samun, kerosakan keperluan barang runcit dan samun kargo akan berubah kepada jenayah kebencian. Ternyata ia benar terjadi lima tahun selepas itu, dan kekacauan yang berlaku pada hari ini disebabkan transisi jenayah kebencian. Pengacau di sana-sini menimbulkan kebencian dan menyemarakkan kemarahan kepada mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan kepada mereka, sekali gus berusaha menganjurkan demonstrasi jalanan bagi menyemarakkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pemerintah. Malah, mereka membahaskan mengenai hak kebebasan bersuara tanpa mematuhi isi kandungan artikel 10 Perlembagaan Persekutuan seperti tidak sewenang-wenangnya menggunakan bahasa yang boleh merendahkan sesuatu kaum dan mencetuskan ketegangan.
Difahamkan, penganjur mempunyai matlamat bagi menuntut keadilan dalam pilihan raya namun, tidakkah mereka berfikir bahawa tindakan mereka hanya akan membahayakan orang awam keseluruhannya?
Seharusnya, sebuah perhimpunan mahupun demonstrasi yang sah perlu memiliki permit, sekali gus berkumpul di tempat tertutup bagi mengelak timbul masalah kepada individu tidak berkenaan. Jika diperhatikan, pihak berkuasa sudah menawarkan pilihan terbaik seperti diadakan di stadium tertutup, hadkan bilangan, elak orang awam dan jangan mencetuskan kekangan perkauman sekiranya masih mahu mengadakan demonstrasi berkenaan. Bagaimanapun, sikap angkuh menyebabkan BERSIH enggan menimbangkan tawaran berkenaan, malah tanpa ragu-ragu berdegil mahu meneruskan rancangan mengadakan demonstrasi di jalanan. Justeru, ia secara langsung akan membabitkan penyertaan orang awam. Kempen apabila dilakukan di tepi jalan dikhuatiri mengundang lebih ramai penyertaan dan penyokong membuta-tuli.
Ada penyokong BERSIH terutama peniaga mengambil kesempatan membantu mengiklankan demonstrasi jalanan itu, bagaikan mahu menghangatkan keadaan?
Kepada peniaga yang cuba mengaut untung di atas perniagaan sempena perhimpunan haram ini harus sedar tindakan mereka seolah-olah tidak menghormati perlembagaan negara dan institusi raja-raja dan harus faham maruah diri mereka terhadap negara. Saya rasa malu dengan pejuang tanah air yang terkorban kerana mempertahankan kedaulatan dan memastikan kemerdekaan pada negara.
Ahli dan penyokong parti pembangkang menunjukkan secara terang-terangan sokongan mereka terhadap perhimpunan haram?
Isyarat yang diberikan mengelirukan kerana mereka enggan menyuarakan rasa tidak puas hati masing-masing kepada Ahli Parlimen mahupun menggunakan saluran yang betul. Jika betul mereka sayangkan negara, guna saluran yang betul untuk suarakan rasa tidak puas hati masing-masing. Memetik peristiwa di bazar malam uptown Shah Alam, polis mengadakan sekatan jalan raya apabila ada laporan berlaku demonstrasi. Walhal, maklumat itu tidak tepat sebaliknya, propaganda bagi mencetuskan ketegangan antara penduduk dan pihak berkuasa. Polis bertugas bagi memastikan keselamatan dan keamanan. Justeru, apabila segelintir masyarakat merungut, saya berpesan supaya menghalau penganjur bukannya pihak yang memastikan keselamatan kita, baru masyarakat faham tujuan tugas polis.
Benarkah dakwaan bahawa tindakan segelintir pihak memprovokasi pihak berkuasa, mempunyai niat jahat yang tersembunyi?
Jika diperhatikan, ada pihak sengaja melakukan kekacauan supaya tindakan diambil dan apabila ditangkap serta dikenakan tahanan seperti ISA, mereka akan menuduh dan menyambung tohmahan serta bangkangan kepada pemerintah. Ia sekali gus mengukuhkan dakwaan mereka ditindas sedangkan ia dirancang pihak pengacau. Kenapa pengacau memulakan serangan hanya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM)? Situasi ini sama ketika reformasi dan HINDRAF. Seperti berlaku pada zaman komunis apabila persatuan sekerja dan orang Melayu diguna untuk menggulingkan pemerintah. Hasutan digunakan untuk kucar-kacirkan keadaan.
Pesanan dan ingatan saudara kepada orang awam supaya menghindari perhimpunan haram?
Jika tidak berpuas hati, nyatakan melalui peti undi bukannya mengamuk tidak tentu pasal. Niat mengadakan perhimpunan sudah melencong kerana negara Malaysia tidak mengamalkan keganasan. Pengkhianat terbabit perlu malu dan segan dengan pejuang tanah air yang sudah berkorban dan terkorban memperjuangkan tanah air kerana ada pihak agungkan ideologi komunis kerana ia tamparan kepada sejarah bangsa. Sekiranya masih mahu menyertai demonstrasi itu, ia sahkan bahawa mentaliti 1970-an masih menebal. Justeru, tarik saja kerakyatan dan tinggal di negara lain yang mahu menerima anda. Masyarakat yang sayangkan negara seharusnya celik undang-undang, perlembagaan dan tanggungjawab terhadap negara. Penduduk Malaysia ramai 'kaki tengok'. Semua akan ditengok, namun elakkan jadi mangsa dan jangan sertai perhimpunan ini, hormati diri sendiri. Faktor diperalatkan seperti 'kerbau dicucuk hidung', api dalam sekam dapat dilihat dalam perhimpunan HINDRAF. Ramai orang awam ditahan, tiada siapa mampu menjamin. Berhenti kerja, diberhentikan kerja dan kehilangan maruah diri, sedangkan penganjur dan dalang tetap hidup mewah. Keganasan ideologi (era baru) berbahaya kerana keganasan wujud secara senyap-senyap namun, tidak mampu dikekang. Untuk cetus keganasan amat mudah. Cuma perlukan kayu api (masyarakat dipesongkan), bahan bakar (tok dalang) dan mancis (ambil kesempatan). Justeru, fenomena 'mass histeria' berlaku dan keamanan negara bakal bergolak seperti negara jiran.
SUMBER
BERITA MINGGU
10 JULAI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan