Setiap manusia mahukan kebebasan untuk menjalani kehidupan seharian. Mereka bukan saja tidak suka dikongkong, malah tidak gemar kepada orang yang ‘suka menjaga tepi kain orang lain’. Jika boleh mereka mahu melakukan apa saja tanpa diperhati, apatah lagi larangan dan sekatan. Kalau boleh, mereka tidak mahu adanya undang-undang walaupun mereka tahu tanpa undang-undang kehidupan manusia menjadi huru-hara dan dunia tidak akan aman. Jika melakukan dosa sekalipun, mereka sanggup mengatakan ‘kubur lain-lain’. Begitulah kuatnya pegangan manusia terhadap kebebasan. Di negara Barat, kerana mahukan hidup bebas, apa juga tindakan yang dianggap sebagai kawalan dan sekatan, ditentang. Mereka mempertahankan hak mereka sebagai manusia – lelaki memperjuangkan hak mereka. manakala perempuan pula mempertahan dan menuntut hak mereka. Gay juga mahu mereka diiktiraf sebagai rakyat dan manusia yang berhak diberi kebebasan termasuk hubungan seks.
Disebabkan kumpulan ini juga ramai dan mempunyai kuasa undi dalam sistem demokrasi, mereka dilayan sama rata. Manusia, walau apa pun juga matlamat hidupnya, tidak boleh berjuang bersendirian. Mereka terpaksa membuat tuntutan dengan bernaung di bawah kumpulan masing-masing. Ini bermakna mereka juga mempunyai hak kebebasan berpersatuan. Maka wujudlah pelbagai persatuan dan kesatuan. Daripada sekecil-kecil persatuan hinggalah kepada kesatuan sekerja ditubuhkan dengan matlamat tertentu khasnya untuk menjaga kepentingan ahli masing-masing. Lebih ramai orang dalam kumpulan itu, adalah lebih baik. Bagi yang memperjuangkan hak diri, mereka menubuhkan pertubuhan hak asasi untuk memperjuangkan kebebasan manusia. Apa juga ditakrif sebagai hak mereka sebagai manusia diperjuangkan. Jika terpaksa memperjuangkan hak menghirup udara bersih, mereka menuntut supaya kilang-kilang menutup operasi kilang mereka.
Perjuangan mereka mendapat sambutan kerana matlamat pertubuhan mereka selari dengan naluri manusia yang mengejar kebebasan. Kebebasan di Barat tidak ada batasannya, ada kalanya melampaui batasan budaya. Walaupun begitu, disebabkan Barat dianggap sebagai model kemajuan fizikal dan pemikiran dunia, perjuangan mereka cepat merebak ke serata dunia. Apa juga dilakukan di Barat ditiru oleh masyarakat negara lain walaupun di negara yang mempunyai tamadun dan jati diri serta budaya sendiri. Lelaki dan wanita yang belum berkahwin duduk serumah sudah dianggap biasa, melahirkan anak luar nikah tidak siapa yang hiraukan malah dihebahkan, perkahwinan sejenis sudah menular dan pelbagai lagi perbuatan luar biasa manusia yang diamalkan di Barat. Tidak semua pembawaan Barat yang buruk dan tidak boleh digunakan. Ada yang baik dan sesuai, boleh digunakan manakala ada yang perlu diubah suai.
Amalan sistem demokrasi, umpamanya, adalah satu cara memilih kerajaan yang boleh digunakan, tetapi ia perlu diubah suai mengikut keperluan tempatan. Demonstrasi jalanan dan tunjuk perasaan bukan budaya rakyat negara ini. Demonstrasi, piket dan bantahan berlaku atas pelbagai alasan. Jika kebajikan mereka diabaikan, mereka berkumpul beramai-ramai dan membantah untuk menunjuk perasaan di tepi-tepi jalan. Dengan sepanduk tertera mesej bantahan, mereka melaungkan tuntutan mereka itu. Mereka berbuat demikian kerana mereka adalah badan berdaftar dan melakukannya mengikut peraturan yang ditetapkan. Keadaan seperti ini berlaku hampir setiap hari. Ini tentunya tidak sama dengan perhimpunan yang diatur pertubuhan tidak berdaftar. Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) tidak memenuhi ciri-ciri ini kerana ia bukan badan berdaftar dan tujuannya pula bermotif politik. Perhimpunan itu dilarang kerana ia boleh mencetuskan ketegangan dan boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
Perhimpunan haram adalah terma undang-undang mengenai sekumpulan manusia dengan niat tertentu melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kekacauan dan menjejaskan keamanan. Jika kekacauan mula berlaku ia dianggap sebagai ‘rout’ di mana keadaan mulai kecoh tetapi apabila ia sudah berlaku dan tidak terkawal ia dianggap sebagai ‘riot’ apabila ia sudah berada pada tahap huru-hara. Polis atau pasukan keselamatan terpaksa mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan perkara buruk berlaku. Huru-hara mungkin berlaku dalam tempoh yang singkat tapi kesannya kepada negara akan berkekalan dan tercatat dalam sejarah negara. Ia menjejaskan imej negara seterusnya menjejaskan suasana ekonomi dan pelaburan. Industri pelancongan juga terjejas. Jika perhimpunan haram ini dianggap sebagai tuntutan kebebasan politik ia adalah tanggapan yang salah kerana di Malaysia kebebasan sememangnya wujud dengan kebenaran mereka menganjurkan pelbagai kegiatan politik, menerbitkan menerbitkan media sendiri dan paling penting membenarkan sesiapa juga menyertai pilihan raya sekiranya mematuhi syarat yang ditetapkan.
SUMBER
BERITA MINGGU
10 JULAI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan