oleh Hafizahril Hamid
Thailand menempa satu perkembangan politik bersejarah apabila buat pertama kali seorang perdana menteri dari kalangan wanita terpilih memegang tampuk pemerintahan. Yingluck Shinawatra, seorang wanita jelita yang hanya berusia 44 tahun kini mencipta nama di puncak dunia. Bersama partinya, Pheu Thai, beliau dijangka tidak berhadapan sebarang masalah untuk dilantik sebagai perdana menteri sekaligus menaikkan taraf wanita Thai ke peringkat yang lebih baik. Namun masalah besar juga dijangka dihadapinya memandangkan namanya kini terpalit dengan imej abangnya, bekas Perdana Menteri yang disingkirkan dan kini hidup dalam buangan di Dubai, Thaksin Shinawatra yang dikatakan bakal memainkan peranan penting di belakang tabir.
Perjuangan
Berdasarkan sejarah, golongan wanita terpaksa melalui pelbagai kesukaran untuk menuntut hak-hak mereka dalam pelbagai sudut dari hak untuk mengundi, mendapat layanan yang lebih adil, taraf pekerjaan yang lebih baik dan pelbagai lagi. Malah berdasarkan sejarah juga yang tidak terlalu lama lebih kurang 150 tahun lalu, wilayah Wyoming di Amerika Syarikat (AS) menjadi negeri pertama yang membenarkan wanita mengundi dalam pilihan raya. Kebanyakan negeri lain di AS seperti Arizona, Illinois, Oregon dan lain-lain hanya membenarkan wanita mengundi selepas 1911. Sebelum itu kebanyakan wanita hidup dalam keadaan yang tertekan akibat ditindas hak mereka kecuali wanita yang dilahirkan dari keluarga berada.
Demokrasi
Menurut sejarah lagi New Zealand merupakan negara pertama yang membenarkan wanita hak untuk mengundi pada 1883. Namun negara itu tidak diiktiraf kerana ia masih berada di bawah jajahan British. Negara merdeka pertama yang memberi hak sepenuhnya kepada wanita dalam pengundian adalah Finland pada 1906 malah 19 dari 200 ahli Parlimen mereka adalah wanita. Bagi wanita di Britain yang berusia 21 tahun ke atas, mereka hanya dibenarkan mengundi pada tahun 1928.
Pertama
Namun kejayaan besar yang membuktikan wanita juga mampu melaksanakan tugas memerintah negara seperti mana lelaki hanya bermula 61 tahun lepas apabila Sirimavo Bandaranaike dilantik sebagai Perdana Menteri Sri Lanka (dikenali sebagai Ceylon ketika itu). Sejarah yang tercipta ini bermula selepas kematian suaminya Solomon Dias Bandaranaike yang merupakan perdana menteri sebelum beliau di bunuh. Ini menyaksikan beliau mengetuai Sri Lanka Freedom Party (SLFP) dalam pilihan raya pada 1960 dan seterusnya mencipta sejarah sebagai perdana menteri wanita pertama di dunia. Bandaranaike telah dipilih sebagi perdana untuk tiga penggal iaitu pada 1960-65, 1970-77 dan 1994-2000.
Dibunuh
Negara jirannya, India juga mencatat sejarah apabila Indira Gandhi telah terpilih sebagai perdana menteri pada 1966. Beliau memegang jawatan tersebut selama 10 tahun dan sekali lagi berjaya dalam pilihan raya 1980. Malangnya beliau dibunuh pada 1984. Indra Gandhi mencatat sejarah sebagai perdana menteri wanita paling lama memerintah di dunia iaitu selama 15 tahun dan beliau juga mencatat sejarah tersendiri apabila pernah disumbat di dalam penjara selain satu-satunya pemimpin wanita yang pernah mengeluarkan arahan pelaksanaan darurat.
Presiden
Seterusnya sejarah tercatat apabila Presiden pertama dari kalangan wanita terpilih pada 1974 apabila Isabel Martínez de Perón dilantik menggantikan suaminya sebagai presiden Argentina. Namun malang baginya kerana beliau dianggap sebagai tidak berkeupayaan kerana dikatakan hanya menjadi boneka kepada orang kanannya López Rega. Beliau akhirnya digulingkan pada 24 Mac, 1976 dan dikenakan tahanan rumah selama lima tahun sebelum di buang negeri ke Sepanyol.
Wanita besi
Sejak kemunculan pertamanya dalam politik pada tahun 1950 wanita ini telah mencipta auranya yang tersendiri. Dilantik sebagai Ahli Parlimen pada 1959, Setiausaha Pelajaran dan kemudian pemimpin pembangkang, Margaret Thatcher sememangnya nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Memegang jawatan Perdana Menteri pada 1979 hingga 1990 beliau telah meningkatkan imej Britain sebagai antara negara terhebat walaupun ia diketuai oleh seorang wanita.
Kuasa rakyat
Wanita ini akan dikenali dalam sejarah sebagai wanita hebat yang memimpin rakyat dalam Revolusi Kuasa Rakyat pada 1986 walhal sebelum ini Corazon Aquino mengaku bahawa dirinya hanyalah seorang wanita biasa yang menjadi surirumah sepenuh masa. Namun sejarah tercipta selepas pembunuhan suami Benigno Aquino, Jr. pada 1983 yang cuba pulang ke Filipina setelah hidup dalam buangan di AS. Beliau yang mengetuai parti United Nationalist Democratic Organization (UNIDO) bertanding dalam pilihan raya 1986 tetapi diisytiharkan kalah. Namun beliau bersama jutaan rakyat merusuh di jalanan sekaligus menggulingkan pemimpin diktator, Ferdinand Marcos yang akhirnya membuka lembaran baru kepada rakyat negara itu.
Islam
Benazir Bhutto akan tercatat sejarah sebagai pemimpin negara Islam pertama di dunia yang terpilih sebagai Perdana Menteri Pakistan. Walaupun dua kali terpilih sebagai perdana menteri iaitu pada 1988-1990 dan 1993-1996, beliau tidak sempat menghabiskan penggal pemerintahan apabila disingkirkan dari kuasa atas alasan rasuah. Namun percubaan ketiganya membawa padah apabila dibunuh dengan kejam dalam satu insiden letupan ketika sedang berkempen pada 27 Disember 2007. Seorang lagi pemimpin wanita yang kini digelar sebagai antara pemimpin paling berpengaruh di dunia adalah Canselor Jerman, Angela Merkel. Beliau yang juga wanita pertama dilantik mengetuai Jerman turut memegang jawatan sebagai Presiden Kesatuan Eropah. Menarik untuk diperkatakan di sini walaupun semua wanita yang dinyatakan di atas ini memegang tampuk kuasa tertinggi di negara masing-masing, namun pada masa sama tetap memainkan peranan penting sebagai ibu dan isteri kepada pasangan mereka dengan cemerlang.
Malang
Namun malang bagi negara yang dianggap kuasa besar dunia dan merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kecuali United Kingdom, empat lagi negara iaitu Perancis, Rusia, China dan pastinya AS tidak pernah mempunyai pemimpin tertinggi daripada kalangan wanita. Rusia dan China yang berbangga dengan sistem komunisnya walaupun sudah semakin pudar 'warnanya' masih terlalu jauh untuk menobatkan wanita sebagai pemimpin utamanya. Manakala Perancis dan AS yang berbangga menunjang sistem demokrasi dunia masih belum kearah itu, 'mungkin' dalam Pilihan raya Presiden akan datang. Waima apa pun, peranan wanita kini semakin signifikan dalam kehidupan rumpun manusia walaupun pada masa yang sama tetap sama menghayunkan buaian dan bermanja dalam dakapan suaminya.
SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
10 JULAI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan