JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



08 November 2011

ISU PENGANGKUTAN AWAM : KESAN MRT KE ATAS EKONOMI

Oleh AZHAR ABDUL HAMID
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRT Corporation.


Lakaran artis dari pandangan sisi Projek Transit Aliran Massa (MRT) 
Lembah Klang jajaran Sungai Buloh - Kajang.

Bawalah diri anda ke masa hadapan - kawasan 'Greater Kuala Lumpur/ Lembah Klang' pada tahun 2020. Di mana kawasan kehijauan tumbuh mekar, sungai-sungai bersih mengalir, kawasan pejalan kaki yang lebar dibarisi pelbagai pokok, bangunan dan kediaman pintar dijarakkan dengan kemas menggunakan tenaga boleh dibaharui, orang ramai bergerak dari satu tempat ke tempat lain dengan pantas dan mudah, gear perniagaan dan ekonomi berputar lancar, semua berpeluang mendapat akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan berkualiti serta akses Internet berkelajuan tinggi dan mempunyai pendapatan boleh guna lebih tinggi. Pada hakikatnya, kita tidak perlu membayangkan tahun 2020 untuk mengalami semua ini. Di beberapa tempat di Kuala Lumpur, residen, ekspatriat dan pelawat sudahpun menikmati semua manfaat ini. Gambaran yang dibayangkan untuk tahun 2020 adalah di mana semua orang dapat menikmati kesemuanya itu tanpa mengira di mana mereka menetap atau bekerja. Inilah matlamat ETP - melalui pelbagai Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA). Salah satu daripadanya adalah NKEA 'Greater Kuala Lumpur', di mana perkhidmatan sistem aliran transit massa (MRT) dan sistem rel kelajuan tinggi membentuk komponen yang penting.

Menjelang 2020, sistem pengangkutan awam berintegrasi yang meliputi Lembah Klang dan kawasan lain dijangka siap. Bagi perjalanan dalam bandar, tiga laluan MRT dicadangkan sebagai tambahan kepada laluan sambungan Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, laluan Express Rail Link (ERL) yang menyambungkan KL ke KLIA, KTM Komuter, bas penghantar dan teksi. Terdapat juga rangkaian rel elektrik yang dirancang bagi menghubungkan Kuala Lumpur ke Pulau Pinang di bahagian utara dan Johor Bahru di bahagian selatan serta rangkaian rel kelajuan tinggi yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Singapura. Semua ini akan membantu kita mencapai impian untuk menjadikan Kuala Lumpur suatu bandar raya yang mesra alam dan pengguna kerana orang ramai tidak perlu menghadapi kesesakan lalu lintas, masalah meletak kereta dan membazirkan masa di jalan raya. Pertumbuhan Pendapatan Negara Kasar daripada MRT akan dihasilkan oleh aktiviti pembinaan serta aktiviti ekonomi ketiga-tiga laluan MRT.

Berdasarkan projek infrastruktur yang sama jenis pada skala ini, impak pengganda pembinaan adalah dalam lingkungan 2.5x yang bersamaan dengan RM213 bilion mengalir masuk ke dalam ekonomi sepanjang tempoh 10 tahun sehingga 2020. Ini adalah berdasarkan impak wang yang memasuki ekonomi daripada pembinaan laluan MRT, stesen-stesen terbabit dan stok pusingan. Pembangunan hartanah di kawasan berhampiran laluan MRT akan bermangkin di mana projek baru dijangka menjana jumlah nilai RM15 bilion dalam tempoh 10 tahun. Selain itu, berdasarkan anggaran peningkatan sebanyak 20% dalam nilai pembangunan kasar 1.2 juta kaki persegi hartanah komersial dan kediaman yang terletak dalam lingkungan 0.5km hingga 1.0km daripada laluan MRT dalam tempoh 10 tahun, pembangunan ini akan menjana RM300 juta setahun untuk 10 tahun yang akan datang sekali gus menambahkan RM3 bilion kepada pendapatan negara. MRT akan mencetus pembangunan baru seperti: Tanah Institut Penyelidikan Getah di Sungai Buloh , Kawasan Warisan Merdeka, Daerah Kewangan Antarabangsa KL dan Cochrane Development.

Pendapatan negara kasar daripada operasi sebenar MRT akan mula terhasil dari 2017 ke atas apabila laluan MRT pertama (Sg Buloh ke Kajang) mula beroperasi. Berdasarkan bilangan penumpang harian yang berjumlah sekitar 300,000 setiap hari, dan mengambil kira harga tiket konservatif RM2.50, ini akan menjadi kira-kira RM1 bilion dalam tempoh empat tahun sehingga 2020. Sejumlah RM1 bilion akan dihasilkan oleh perolehan kotak tiket di luar seperti ruangan komersial untuk disewa dan ruangan pengiklanan. Bagaimanapun, sumbangan pendapatan negara kasar yang lebih besar akan dihasilkan oleh 280 juta jam (anggaran) yang berjaya dijimatkan setiap tahun berdasarkan pengurangan masa perjalanan iaitu kira-kira 30 minit setiap satunya selama 240 hari bertugas. Adalah penting untuk kita perhatikan bahawa manfaat terbesar keseluruhan projek ini adalah penjimatan masa; iaitu sejenis komoditi yang tidak boleh dibeli. Minat kita terhadap perjalanan pergi-balik ke pejabat dengan kereta sedang merampas kira-kira 1-2 jam sehari daripada masa kita akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Dan sekiranya kita boleh mengurangkan pembaziran masa di jalan raya yang sesak, kita pasti akan semakin hampir kepada matlamat mencapai bandar yang mesra pengguna dan menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
8 NOVEMBER 2011


2 ulasan:

Unknown berkata...

ada tak impak pengangkutan awam secara positif dan negatif

Unknown berkata...

Mengapakah projek di atas tidak dikeluarkan oleh firma swasta?