JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



08 November 2011

ISU ALAM SEKITAR : DUNIA PERLU TANGANI ISU PEMANASAN GLOBAL

Oleh Mustafa Kamal Basri


Pada 2 November 2011, Menteri Kesihatan Puntland, Somalia, Dr. Ali Abdullahi Warsame melawat pejabat akhbar Utusan Malaysia bagi menyampaikan penghargaan kepada media Malaysia termasuk Utusan Malaysia dalam membantu menyebarkan laporan mengenai konflik di Somalia terutama penderitaan penduduk di negara tanduk Afrika itu yang kebuluran akibat kemarau. Beliau turut menceritakan secara sepintas lalu tentang sejarah negeri Puntland yang menurutnya telah wujud sejak zaman para anbia lagi. Menurut Dr. Ali, Puntland pernah menjadi tempat persinggahan para Nabi dan telah wujud sejak zaman Firaun yang megah dengan tamadun dan piramid-piramidnya. Selain menceritakan dengan panjang lebar tentang konflik di negara yang 100 peratus penduduknya beragama Islam, kegiatan lanun dan perang saudara, Dr. Ali turut menceritakan tentang kemarau buruk yang sedang melanda Somalia yang dianggap terburuk dalam tempoh 50 tahun dengan berjuta-juta penduduk terutama kanak-kanak hidup kebuluran.

Apa yang menarik dalam penerangannya itu adalah tentang kemarau buruk yang sedang melanda negara itu, terutama wilayah-wilayah di selatan negara itu yang beliau dakwa berpunca akibat perubahan iklim dunia. Menurut beliau, wilayah-wilayah itu sebenarnya merupakan kawasan yang subur dan sebahagiannya mempunyai iklim seperti di Malaysia dan kemarau yang melanda wilayah-wilayah itu bukan sahaja dianggap sangat teruk tetapi ia berlaku di luar musim. Jika Somalia dan ibu negeri Mogadishu dilanda kemarau teruk dan perang saudara akibat krisis politik yang berlarutan, di rantau ini, Thailand dilanda banjir terburuk dengan kota Bangkok, bandar raya hebat yang sering disamakan dengan Paris in the East pula sedang diancam tenggelam. Semuanya gara-gara musim monsun yang melampau dan yang memburukkan lagi keadaan adalah air laut pasang sehingga menyebabkan air sungai utama Chao Phraya melimpahi tebing.

Perubahan iklim akibat lapisan ozon yang semakin menipis kerana pemanasan global bukan sahaja menyebabkan berlaku cuaca buruk melampau di setiap negara tetapi turut membawa bencana dan malapetaka yang mengorbankan banyak nyawa. Sementara itu, satu kajian genografik yang dijalankan oleh seorang saintis Dr. Spencer Wells dari England mendapati kelompok manusia terawal berasal dari Afrika, sebelum tersebar ke seluruh dunia dari Tanduk Afrika menuju ke Yemen melalui Bab-el-Mandeb di Laut Merah dan bukan melalui wilayah Senai, di Mesir. Kajian selama enam tahun itu juga mendapati paras air laut pada ketika itu rendah semasa kelompok pertama manusia dari Tanduk Afrika menyeberang ke rantau Arab melalui semenanjung Bab-el-Mandeb di Laut Merah kira-kira 7,000 tahun lalu.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
8 NOVEMBER 2011


Tiada ulasan: