Oleh JOHARDY IBRAHIM
Kim Kardashian bercerai? Apa? Hanya 72 hari selepas berkahwin dengan suaminya, Kris Humphries. Jadi? Apa kepentingan berita ini kepada kehidupan kita? Tiada! Apakah ada kalangan jutawan Malaysia merasakan diri mereka kini berpeluang untuk memikat Kim? Ketahuilah RM1 juta hanya bernilai AS$333,000 pada Kim. Cincin kahwinnya saja bernilai AS$2 juta atau RM6 juta. Ada berani? Salah soalan. Ada mampu? Bagaimanapun, kisah 'sedih' perpisahan Kim dan reaksi segelintir masyarakat terhadapnya, memaparkan realiti hidup yang bukan saja berlaku di Amerika Syarikat (AS) tetapi juga di Malaysia. Pemaparan kehidupan yang serba-serbi mewah dalam program realiti keluarganya Keeping Up with the Kardashian adalah manifestasi materialistik yang semakin menebal pada setiap orang, sama ada pernah atau tidak ada langsung menonton rancangan yang disiarkan di saluran E! televisyen satelit berbayar Malaysia. Masa akan menentukan untuk kita menyaksikan pula selebriti tempatan menyertai program realiti seumpamanya. Dengar khabar, sudah ada syarikat penerbit tertentu yang mengemukakan kertas cadangan.
Apa agaknya cerita artis tempatan yang hendak dipaparkan. Cukuplah rancangan Melodi TV3 yang bukan saja mengakibatkan persepsi ramai terhadap artis tempatan merudum tetapi juga menyeret sekali maruah wartawan di Malaysia sebagai 'kaki terjah' dengan soalan merapu mengenai masalah peribadi artis. Percayalah, hanya wartawan Melodi menerjah sedemikian. Ramai pengulas berpendapat Kim tidak ada yang istimewa untuk meraih kemasyhuran yang dimilikinya sekarang. Dilahirkan dalam keluarga kaya-raya di Los Angeles dengan mendiang bapanya adalah seorang daripada peguam bela bagi O.J Simpson yang dituduh membunuh isterinya. O.J dibebaskan kerana tiada bukti mencukupi. Semasa kecilnya, Kim dihantar belajar di sekolah agama persendirian di Sunset Boulevard dan kemudian memasuki kolej. Sejak itu, Kim dikenali sebagai golongan socialite (tiada kaitan dengan cabang politik sosialis) iaitu golongan kaya yang suka berpesta dan gambar mereka terpampang di dada akhbar sebagai berpakaian paling memberahikan atau dengan teman lelaki ternama. Di Malaysia pun ada golongan ini. Hebat orang kita.
Kemasyhuran Kim memuncak pada 2007 apabila video adegan asmaranya dengan penyanyi Ray-J didedahkan di Internet. Atas faktor itu jugalah mendorong Ryan Seacrest menerbitkan program realiti Keeping Up with the Kardashian dengan memaparkan kehidupan Kim bersama anggota keluarganya. Cerita yang dipaparkan semuanya tidak layak dijadikan slot History Channel. Sebagaimana dilaporkan, Presiden AS Barack Obama pun tidak mahu dua anak perempuannya menonton Kardashian itu dan ia sepatutnya sudah memadai untuk menjadi rumusan mengenai kandungan program tersebut. Namun, ia menjadi tarikan kepada kaum lelaki yang menontonnya hanya atas satu sebab yang bukan rahsia manakala kaum wanita, terutama remaja perempuan menjadikannya panduan untuk menjadi cantik dan diminati ramai tanpa perlu jadi cerdik pandai. Ini ditambah lagi kesemua adik-beradik Kim berambut hitam asli warisan mendiang bapanya yang berketurunan Armenia. Hanya dua adik tiri berambut blonde tetapi juga menghitamkan rambut mereka. (perkahwinan baru ibunya, Kris dengan bekas pemenang Olimpik, Bruce Jenner yang pada usia 62 tahun tidak segan bertindik telinga dan memakai subang permata).
Tahun 2010, Kim naik setapak dari memilih penyanyi kurang ternama kepada pemain bola kerajaan kurang ternama, Kris Humphries sebagai kekasih. Setelah beberapa bulan diwarnai spekulasi dalam ruangan gosip majalah dan akhbar, Kim dan Kris memutuskan untuk berkahwin. Dan acara perkahwinan itu dijadikan acara televisyen eksklusif Kim's Fairytale Wedding: A Kardashian Event yang dikata menelan belanja AS$10 juta (RM30 juta). Maka selepas 72 hari, Kim mengisytiharkan perceraian mereka. Sejurus itu, dia menaiki penerbangan ke Australia. Pelbagai spekulasi dan ulasan tercetus, malah kos perkahwinan AS$10 juta turut dipertikaikan (teringat satu perkahwinan baru-baru ini yang turut sama dipertikaikan kosnya tapi itu cerita lain). Dalam suasana ekonomi yang suram di seluruh dunia, nilai perkahwinan berjuta-juta ringgit itu dianggap sangat tidak sesuai. Tapi peduli apa, bukannya duit Kim. Perkahwinan itu ditaja oleh syarikat-syarikat yang mahu menumpang populariti program realiti tersebut. Mereka tahu program itu ditonton berjuta-juta orang di banyak negara di seluruh dunia.
Tapi bila bercerai, bagaimana agaknya hati para penaja itu? Apatah lagi siaran ulangan perkahwinan itu 'sedikit' terjejas dek perceraian mendadak dan mengejut Kim dan Kris. Kim Kardashian dan gaya hidupnya hanya mewakili satu peratus manusia di dunia ini, kata seorang penulis blog, Frederick McNulty. Apa tidaknya? Pemaparan hidupnya dalam program realiti tersebut setiap detik berkisar kepada soal-soal yang mengarut bagi kebanyakan kita yang bukan bertaraf 'maha kaya'. Jika ramai yang merakam aksi asmara mereka dan kemudian didedahkan kepada umum, tidak semestinya mereka akan menerima panggilan dari Ryan Seacrest mencadangkan satu program realiti baru. Ini kerana tidak ramai memiliki aset badan seksi seperti Kim, ditambah lagi dengan gaya percakapan ala menggoda dan nyata mengada-gada itu. Pernah satu siri menunjukkan ibu dan bapa tirinya menjalani proses merenggangkan kulit muka, supaya hilang kedut dan menyembunyikan fakta bahawa mereka ini warga emas. Atas sebab itu, Kris Jenner memakai subang permata! Kelakar?
Di Malaysia, kita gelar warga emas sebegini 'buang tabiat' dan setidak-tidaknya nakal mereka ialah mencari isteri muda atau kemaruk menunggang motosikal berkuasa besar. Jadi bagi anda yang belum berkahwin, tidak usahlah terpengaruh dengan pemaparan majlis perkahwinan Kim yang bernilai AS$10 juta itu. Banyak sudah kita dengar cerita sanak-saudara dan rakan-taulan betapa pasangan tertentu sanggup berhabis-habisan bagi 'memeriahkan' majlis kahwin mereka. Tetapi selepas ada anak pun, hutang majlis bersanding masih tidak habis-habis. Kisah Kim hanyalah kisah dongeng. Tengok sebagai hiburan atau pengisi masa lapang semasa hujan lebat semata-mata.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan