JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



04 November 2011

ISU KESIHATAN : DISEBALIK PENYAKIT NCD

KHAIRUL AZHAR IDRIS
Fellow Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


THE NINE HELLS OF BEPPU IN JAPAN


NCD atau 'non communicable diseases' adalah penyakit yang lama dideritai oleh umat manusia di seluruh dunia dan terus menjadi kelompok penyakit yang ditakuti hari ini. Unjuran menunjukkan ia akan menjadi antara penyakit paling utama yang membawa kematian di kalangan manusia pada masa akan datang. NCD merupakan sekumpulan pelbagai jenis penyakit kronik yang berlaku bukan dengan cara jangkitan oleh ejen biologi seperti virus, bakteria, fungus atau parasit, tetapi disebabkan oleh gaya hidup dan tingkahlaku yang tidak sihat di kalangan individu serta suasana persekitaran yang memudaratkan. Masyarakat perlu memahami bahawa perkara yang disebutkan itu sebenarnya turut mempengaruhi tahap kesihatan dan risiko mereka untuk menghidapi pelbagai penyakit kronik. Penyakit NCD yang sering dihadapi manusia adalah penyakit jantung, kencing manis, kegemukan, kanser, tekanan darah tinggi, strok, penyakit gangguan sistem pernafasan, kesan buruk akibat penyalahgunaan dadah, alkohol dan merokok, serta keuzuran dan kepayahan yang dialami akibat kemalangan jalan raya, di tempat kerja dan sebagainya.

Malah, pelbagai jenis penyakit neuropsikiatri seperti penyakit kebimbangan dan kemurungan, ketagihan, stres, bunuh diri, dan sebagainya juga tergolong dalam kategori penyakit NCD ini. Kesan buruk yang perlu diketahui adalah semua ini mengakibatkan berlakunya kematian pramatang atau kematian di usia muda, dan mendatangkan ketidakupayaan kekal atau sementara yang akhirnya membawa kepada kemerosotan hidup yang sempurna dan baik, menjejaskan produktiviti dan mengakibatkan kehilangan kepada sumber tenaga manusia dan ekonomi dalam masyarakat dan negara. Kematian di usia muda merupakan satu ciri utama komplikasi NCD. Terdapat banyak kes dilaporkan berhubung kematian di usia muda, seperti kematian akibat dari penyakit jantung koronari dan diabetis pada usia sebelum 30 tahun. Malahan pernah terdapat kanak-kanak seawal usia 10 juga ada yang membunuh diri. Hakikatnya, peningkatan mendadak penyakit NCD bukan hanya berlaku di negara luar, malah termasuk di Malaysia.

Di seluruh dunia, WHO menganggarkan dalam dua dari tiga kematian adalah akibat penyakit NCD dan kemalangan, manakala pada 2005 sahaja terdapat seramai 35 juta manusia mati akibat NCD di mana 80 peratus daripadanya adalah datang dari negara miskin dan negara membangun. Sementara, trend di negara maju menunjukkan kadar NCD yang tinggi juga tetapi dengan jumlah kematian menurun dan terkawal. Di Malaysia, menurut kajian oleh Kementerian Kesihatan, dianggarkan seramai 4.8 juta masyarakat negara ini atau 17 peratus daripada 29 juta penduduk menghidapi pelbagai jenis penyakit dalam NCD. Ini adalah jumlah besar yang sudah pasti memberi kesan terhadap produktiviti dan unjuran ekonomi, peningkatan dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan dan perubatan, serta kestabilan situasi psikososial pesakit dan ahli keluarga mereka. Terdapat pelbagai faktor risiko yang boleh mendedahkan mana-mana individu itu kepada penyakit NCD. Antaranya pemilihan gaya hidup yang bersifat sedentari dan tidak mengamalkan senaman sebagai rutin, cara pemakanan yang tidak membantu meningkatkan tahap kesihatan yang baik atau yang boleh menghindarkan penyakit, tabiat buruk seperti ketagihan dadah dan alkohol serta merokok.

Cara pemanduan kenderaan yang tidak berkhemah juga boleh mengakibatkan kemalangan, tidak mengamalkan prosedur keselamatan di tempat kerja, dan pendedahan kepada alam persekitaran yang tercemar. Begitu juga, gaya hidup yang tidak mengutamakan penjagaan kesihatan mental yang baik dan pengawalan stres yang sempurna turut mendedahkan seseorang kepada risiko gangguan mental seperti kebimbangan dan kemurungan serta kejadian bunuh diri. Mana-mana individu yang menghidapi NCD sudah pasti akan berdepan dengan pelbagai krisis dalam kehidupannya. Krisis ini melibatkan aspek penjagaan kesihatan diri, kos perubatan, perbelanjaan dan kewangan, pekerjaan, kekeluargaan dan perhubungan interpersonal serta lain-lain yang semakin merumitkan kehidupan mereka. Namun apa yang perlu diketahui, setiap masalah akibat daripada penyakit NCD sudah pasti akan memberi impak negatif kepada kestabilan psikososial mereka. Tahap kestabilan psikososial yang terjejas ini pula akhirnya akan memberi kesan yang negatif kepada kestabilan kesihatan mental.

Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan berhubung aspek kesihatan mental di kalangan pesakit yang menghidapi NCD ini agar tekanan psikososial dan kesihatan mental yang terjejas itu tidak memburukkan lagi keadaan penyakit NCD yang mereka alami. Sememangnya, banyak kajian saintifik yang dilakukan menunjukkan keadaan kesihatan mental yang amat terjejas di kalangan pesakit, baik pesakit fizikal mahupun pesakit mental. Malah, terdapat kajian yang telah membuktikan bahawa tekanan mental yang dialami seseorang dalam apa jua keadaan sudah cukup berisiko untuk menjejaskan kesihatan fizikal mereka. Terutamanya bagi pesakit kanser, keadaan tekanan mental yang dialami seperti kemurungan dan kebimbangan serta ketidakpastian selama mana lagi jangka hayat yang mereka ada di samping ketidakpastian subjektif terhadap keberkesanan sejauh mana rawatan yang diterima berkesan, telah didapati menjejaskan keberkesanan rawatan kemo, malah lebih memburukkan keadaan penyakit yang dialami.

Walaupun kewujudan sesuatu penyakit fizikal yang dihidapi itu nampaknya lebih ketara berbanding penyakit mental, namun ini tidak bermakna pesakit tersebut sihat dan stabil keadaan mental dan pemikiran mereka. Sikap dan pandangan ini hanya berdasarkan kepada aspek luaran fizikal pesakit sahaja yang mengakibatkan rawatan yang diberikan tidak menyeluruh kerana mengabaikan aspek mental, emosi dan spiritual pesakit. Walhal terdapat banyak kajian lain menunjukkan bahawa ramai pesakit yang datang ke hospital bagi mendapatkan rawatan penyakit fizikal yang dialami sebenarnya memerlukan rawatan yang lebih bagi gangguan mental dan emosi mereka, berbanding masalah fizikal yang diutarakan. Perhatian terhadap kestabilan kesihatan mental di kalangan pesakit NCD perlu dipertingkatkan dengan memberi keyakinan dan dorongan motivasi kepada mereka agar mereka memahami dan menyedari bahawa segala keperluan rawatan yang membawa kesejahteraan mereka telah mereka terima. Mereka akan berasa lebih selamat jika mereka menyedari segala keperluan rawatan itu mudah mereka perolehi. Oleh itu, memastikan agar mereka merasa selamat dan selesa dengan rawatan dan persekitaran yang ada juga merupakan prasyarat dalam mengekalkan kesihatan mental mereka di tahap yang terbaik.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 NOVEMBER 2011


Tiada ulasan: