JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



04 November 2011

ISU UMUM : KOREA YANG MENGAGUMKAN

Oleh Nurul Huda Hassan


PULAU CHEJU, KOREA SELATAN

Berpeluang melawat pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) Hyundai Motor Company (Hyundai Motor) dan loji milik syarikat itu baru-baru ini tidak pernah terlintas di fikiran penulis apatah lagi memandu uji bukan satu tapi tiga kereta Hyundai. Jemputan Hyundai-Sime Darby Motors Sdn. Bhd., pada mulanya hanya merupakan satu keseronokan kerana berpeluang melawat Korea Selatan. Namun ia bertukar menjadi rasa kagum sejurus kaki melangkah masuk ke pusat R&D milik Hyundai Motor di Namyang. Kagum bukan sahaja kerana kemudahan terbaik dan teknologi canggih di pusat tersebut, tetapi kerana kesungguhan syarikat Hyundai Motor membawa kereta nombor satu Korea itu terus dikenali dan kukuh di peringkat global. Usaha itu dapat dilihat menerusi jumlah pelaburan syarikat itu dalam pelbagai bidang berkaitan termasuk R&D sejajar usaha mengubah persepsi orang ramai bahawa Hyundai juga mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan syarikat lain.

Kegigihan berpuluh tahun Hyundai Motor ternyata menunjukkan perkembangan positif yang membanggakan apabila baru-baru ini terpilih sebagai jenama paling pantas berkembang iaitu naik empat tangga kepada kedudukan ke-61 dalam Jenama 100 Terbaik Global 2011. Prestasi itu menyaksikan jenama Hyundai kini bernilai AS$$6 bilion (RM19.52 bilion), kenaikan 19.3 peratus berbanding 2010, sekali gus menyaksikan Hyundai dalam kedudukan menonjol dengan prestasi kukuh sepanjang tempoh kelembapan ekonomi. Namun, usaha mereka tidak terhenti di situ. Sasaran syarikat itu adalah untuk menjadi tiga jenama terbaik dunia dalam bidang automotif menjelang 2015. Tentunya antara langkah bagi merealisasikan hasrat tersebut adalah dengan melancarkan slogan baharu pada tahun ini. ‘New Thinking, New Possibilities’ - Pendekatan terbaharu Hyundai iaitu dengan memikirkan cara terbaik untuk berkongsi ‘premium value’ bersama pelanggannya menerusi idea kreatif mengikut perkembangan terkini secara berterusan.

Itu cerita Hyundai, salah satu hasil produk Korea Selatan yang sudah pun mendapat tempat masyarakat antarabangsa. Rasa kagum tidak terhenti di situ, malah penulis juga rasa kagum dengan kesungguhan rakyatnya untuk memajukan diri dalam pelbagai bidang dengan mempelajari bahasa asing seperti bahasa Inggeris, Jepun dan Mandarin. Rata-rata penduduk di situ yang penulis temui fasih salah satu antara tiga bahasa tersebut dan ia boleh didengari bukan sahaja di hotel-hotel bertaraf lima bintang malah di tempat menjual pelbagai barangan terkenal seperti di Namdaemun, Dongdaemun dan Myeungdo. Satu lagi perkara yang membuatkan penulis mengagumi rakyat Korea adalah kerana pembawaan diri mereka yang bukan sahaja ramah, tetapi penuh dengan adab dan sopan santun termasuk artis yang telah mencipta gelombang Korea di serata dunia. Jika tidak percaya, sebagai contoh lihat sahaja artis-artis wanita Korea yang sememangnya terkenal dengan keseksian mereka tidak kira ketika membuat persembahan mahu pun dalam cara berpakaian menggiurkan yang mampu mencuri tumpuan mana-mana lelaki.

Namun, seseksi mana pakaian dan tarian yang mereka persembahkan, adab dan sopan itu masih menjadi keutamaan. Ini dapat dilihat apabila mereka duduk untuk melakukan temuramah, pasti ada sehelai kain lain diberi untuk menutup sebahagian kaki yang terdedah. Cuba sesekali menonton rancangan hiburan Korea yang dapat dinikmati menerusi kaca televisyen di negara kita seperti Star King, Strong Heart, Vitamin dan Hero kerana anda pasti dapat melihat senario tersebut. Yang jelas, Korea Selatan bukan sahaja indah menerusi drama atau filem atau melodi lagunya atau ‘indah’ dengan kreativiti, komitmen serta kecekapan masyarakatnya bekerja tetapi indah juga dalam budi bahasa, keramahan serta adab sopan rakyatnya, itu sesuatu yang mengagumkan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 NOVEMBER 2011


Tiada ulasan: