Oleh Mustapa Mohamed
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
HALONG BAY DI VIETNAM |
Sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan tanggungjawab terhadap FDI dan pelaburan dari sumber dalam negeri, saya melihat perkembangan mutakhir ini sebagai suatu yang amat membimbangkan. Jika tidak dibendung, ia boleh memberi kesan yang negatif terhadap iklim pelaburan negara, terutama apabila pemimpin-pemimpin negeri berasa tertekan untuk membawa masuk FDI sehingga boleh menjejaskan kepentingan negara. Saya tidak menyatakan persaingan ini tidak baik. Malah, ia menyuburkan dan melebar luas pilihan. Bagaimanapun, ia juga boleh membawa kepada amalan yang tidak sihat dan merosakkan jika tidak disandarkan kepada daya fikir yang waras. Dalam hal sebegini, kita perlu berpegang kepada prinsip susila: negeri-negeri di Malaysia harus adil serta matang dan berlandaskan fakta-fakta yang kukuh sebelum membuat sebarang kenyataan. Adalah tidak salah untuk bersaing menarik FDI antara negeri, selagi kita menjaga hubungan dalaman kita dan memastikan bahawa ia membawa hasil yang positif kepada negara. Selain itu, semua pemimpin negeri, tanpa mengira fahaman politik perlu sedar bahawa kita semua adalah rakyat Malaysia ketika berjumpa dengan pelabur-pelabur asing. Justeru adalah tidak beretika sama sekali jika kita merendah-rendahkan negeri-negeri lain di luar negara semata-mata untuk menarik pelaburan asing ke negeri sendiri.
Warga asing tidak melihat kita sebagai penduduk Pulau Pinang, Selangor atau Johor, tetapi secara kolektif sebagai rakyat Malaysia. Apabila kita ke luar negara, kita mewakili seluruh Malaysia, bukan sahaja negeri masing-masing. Sesuatu yang menyakitkan sebuah negeri sudah pasti menjejaskan negara secara keseluruhannya. Sungguh malang sekali ada bertindak keterlaluan dan tidak beretika. Baru-baru ini misalnya, kita mendapat maklumat bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, telah mengkritik Johor ketika berada pada satu majlis di luar negara. Beliau mendakwa bahawa mereka yang berkunjung ke Johor berkemungkinan besar akan “diculik”, berbeza di Pulau Pinang yang beliau isytiharkan sebagai negeri yang paling selamat di Malaysia. Kita semua mahu keamanan dan keselamatan dan itu sebabnya perkara ini dijadikan sebagai salah satu NKRA atau bidang keberhasilan yang penting dalam Program Transformasi Kerajaan. Kenyataan Guan Eng adalah agak tidak tepat dan tidak mencerminkan realiti sebenar, sedangkan hakikatnya kedua-dua negeri telah mencatatkan penurunan kadar jenayah sepanjang tahun lalu, seperti yang ditunjukkan melalui data terbaru indeks jenayah negeri-negeri yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Dengan itu, kritikan beliau terhadap Johor adalah tidak benar dan lebih-lebih lagi tidak wajar apabila dibuat di negara asing.
Guan Eng dalam ucapannya begitu berbangga dengan kejayaan Pulau Pinang sebagai hab atau pusat pengeluaran komponen dan produk elektrikal dan elektronik (E & E) bertaraf dunia yang beliau kaitkan hasil daripada kira-kira tiga tahun pentadbiran pakatan rakyat di negeri itu. Beliau juga menyatakan bahawa Pulau Pinang telah menarik jumlah pelaburan tertinggi pada 2010 berbanding negeri-negeri lain, seolah-olah pencapaian ini adalah disebabkan oleh usaha beliau semata-mata. Beliau tidak pula menyebut mengenai semangat keusahawanan dan daya tahan rakyat Pulau Pinang itu sendiri. Hakikatnya kejayaan Pulau Pinang tidak datang sekelip mata. Ia menjadi hab industri hari ini sebahagian besarnya adalah kerana kerja-kerja yang dimulakan sejak awal 1970an di bawah pimpinan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional negeri seperti mendiang Tun Dr. Lim Chong Eu dan kemudiannya diteruskan oleh Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon. Guan Eng patut mengakui bahawa beliau membangunkan negeri itu di atas asas kukuh yang dibina oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Beliau juga dalam beberapa kenyataan lain membayangkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengabaikan Pulau Pinang. Kenyataan ini sebenarnya jauh daripada kebenaran. Kerajaan Persekutuan, melalui MIDA dan agensi-agensi lain telah bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membina persekitaran ekosistem E & E yang kukuh di Pulau Pinang dan akan sentiasa meneruskan kerjasama itu sebagaimana yang dilaksanakan sejak empat dekad lalu.
Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang, Pembesaran Terminal Lapangan Terbang Pulau Pinang dan pembinaan Empangan Mengkuang adalah manifestasi jelas Kerajaan Persekutuan tidak mengetepikan Pulau Pinang. Begitupun, kita tidak menafikan kenyataan Guan Eng bahawa Pulau Pinang mendahului senarai pelaburan yang diluluskan pada 2010. Pulau Pinang adalah di tempat pertama dengan jumlah pelaburan RM12,237 juta, diikuti Selangor (RM10,641 juta), Johor (RM7,464 juta) dan Sarawak (RM3,945 juta). Tetapi kita harus ingat bahawa jumlah pelaburan yang diluluskan bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun 2011 mencatat keadaan berbeza: Pulau Pinang kini telah jatuh ke tangga keempat (RM4, 624 juta), manakala Johor kini di tangga pertama (RM5, 950 juta). Angka-angka ini berubah dari bulan ke bulan tetapi trend akhir-akhir ini meletakkan Johor, Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak di tangga keempat teratas. Untuk menyatakan Pulau Pinang adalah satu-satunya negeri yang cemerlang di Malaysia dan pada masa sama mencemar nama negeri-negeri lain adalah tidak jujur dan bertentangan dengan semangat 1Malaysia. Sesungguhnya kemasukan FDI bergantung kepada banyak faktor. Para pelabur memutuskan untuk memilih lokasi pelaburan berdasarkan pelbagai pertimbangan, antaranya seperti kemudahan prasarana, penawaran tanah serta kosnya, modal insan serta setakat mana sokongan dapat diberikan terhadap operasi mereka.
Semua faktor ini mengambil masa untuk disediakan dan memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Oleh itu, tiada individu atau sesuatu pihak boleh mendabik dada bahawa dialah satu-satunya pihak yang bertanggung jawab dalam membawa masuk pelaburan. Ia adalah hasil usaha semua pihak didorong oleh dasar-dasar serta insentif yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan. Perlu dijelaskan di sini bahawa bukanlah niat saya untuk mengkritik mana-mana kerajaan negeri atau kerja-kerja Ketua Menteri / Menteri Besar. Tetapi keremehan politik yang sempit akan memberikan kesan negatif kepada negara kita dalam jangka masa panjang. Adalah tidak wajar merendahkan antara satu sama lain, sebaliknya kita perlu bekerja bersama-sama dalam semangat 1Malaysia sebagai persediaaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global dan menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Persaingan adalah baik, tetapi jika bekerjasama kita akan meraih manfaat lebih besar untuk semua. Marilah kita bersama-sama menjaga tatasusila dan etika dalam usaha menarik FDI ke negeri masing-masing. Ini akan menjadikan kita pemimpin yang bekerja keras untuk memajukan Negara kita tanpa menyentuh perasaan rakan-rakan kita yang lain serta menjejaskan kepentingan Negara.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan