JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



30 September 2011

ISU UMUM : KADAR GAJI MINIMUM PERLU SESUAI DENGAN PERMINTAAN DAN BEKALAN


PULAU BORA BORA
DI PERANCIS, POLINESIA
Selepas hampir 12 tahun Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memperjuangkan isu gaji minimum, kelmarin kesatuan itu mengemukakan tuntutan agar gaji minimum ditetapkan pada RM1,500. Kadar itu dianggap wajar untuk membolehkan pekerja berpendapatan rendah hidup lebih selesa dan keluar daripada kelompok berpendapatan di bawah paras kemiskinan. Tuntutan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN). Penubuhan majlis itu sendiri mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang diwartakan 15 September lalu, membuka laluan kepada pelaksanaan gaji minimum di negara ini yang bakal mengikuti langkah beberapa negara maju dan membangun menetapkan paras gaji minimum pekerja.  Soal baik atau buruknya pengenalan gaji minimum ini sudah bertahun-tahun dibincangkan dan kini dipersetujui kerajaan agar ia ditetapkan. Malah, Menteri Sumber Manusia, Datuk S Subramaniam memberi jaminan ia akan dilaksanakan menjelang hujung tahun ini. Berikutan itu sama ada ia dilaksana atau sebaliknya tidak menjadi isu lagi. Apa yang akan disyor oleh MPGN sekarang ialah bila dan kadar gaji minimum yang harus ditetapkan kerajaan. Majlis itu juga akan mengesyorkan sektor mana yang akan diliputi oleh gaji minimum berkenaan.

Soal dilaksanakan sudah dijawab oleh menteri terbabit iaitu menjelang akhir tahun ini. Bagaimanapun lebih penting daripada soal bila ialah kadar gaji minimum itu sendiri. Penetapan kadar ini harus dilakukan dengan teliti berikutan kesannya boleh membantu atau memakan diri pekerja itu sendiri. Jika ia ditetapkan pada paras bersesuaian dengan keadaan permintaan dan bekalan semasa, pekerja akan mendapat manfaat dari segi pendapatan yang lebih tinggi daripada sekarang. Bagaimanapun, jika ditetapkan pada paras terlalu tinggi, ia akan menjejaskan pekerja yang ingin dibantu itu. Mengikut pakar ekonomi, dalam mana-mana pasaran jika harga dinaikkan, permintaan terhadap barangan itu akan menurun. Sama juga dengan pasaran buruh. Jika gaji minimum ditetapkan pada kadar yang terlalu tinggi, sudah tentu majikan akan berfikir dua kali sebelum mengambil pekerja tambahan. Malah, akan ada majikan bertindak mengurangkan tenaga pekerja jika kos buruh melonjak pada paras lebih tinggi daripada apa yang mampu ditanggungnya. Dalam pasaran global sekarang, tidak kurang pula ada majikan yang akan bertindak memindahkan operasi ke negara lain yang mempunyai kos buruh lebih rendah. Apa yang penting kesatuan tidak harus hanya pandai meminta kadar gaji tinggi, sebaliknya membantu pekerjanya meningkatkan kesedaran betapa pentingnya gaji minimum ini diikuti dengan lonjakan produktiviti.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
30 SEPTEMBER 2011



Tiada ulasan: