JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



06 Ogos 2011

ISU UMUM : KONFLIK PENDUDUK SARAWAK DENGAN BUAYA BERTERUSAN


Sementara buaya di Sungai Seblak mungkin terlepas daripada langkah penakaian yang dibatalkan pada saat-saat akhir, kira-kira 1,000 penduduk Kampung Empelam di Kabong, kira-kira 60 kilometer dari sini masih bimbang akan keselamatan mereka. Sejak 2007 penduduk kampung ini dilanda ketakutan ekoran serangan maut ke atas dua penduduk kampung dan bilangan buaya yang terus meningkat di sungai berkenaan. Malahan sejak itu penduduk kampung berasa rimas dan cuba mengelakkan sebarang aktiviti di sungai itu yang mengalir di belakang rumah mereka dan ini menjejaskan kehidupan harian serta pendapatan mereka. "Sungai ini dipenuhi buaya termasuk ada yang boleh sampai saiz 20-kaki," kata ketua kampung Johan Jok, 64 tahun. Apabila ditemui di kediamannya, Johan, bekas kakitangan awam, berkata Jun terutamanya adalah bulan berbahaya kerana buaya betina mula bertindak agresif kerana ia musim bertelur. "Oleh itu Jun setiap tahun, saya akan menasihatkan berulang kali kepada penduduk kampung supaya elakkan menangkap ikan di Sungai," kata beliau.

HIDUP TERLALU DEKAT DENGAN MANUSIA

Mangsa pertama reptilia di kampung ini ialah Khamis Achong yang diserang pada Ogos 2007 dan yang kedua ialah Mankay Goheh yang menjadi mangsa pada Mei lepas. Beliau berkata mayat Khamis ditemui di Sungai Nyiar, kira-kira 13 kilometer dari kampung ini sementara mayat Mankay belum ditemui sehingga kini. Walaupun jarang sekali manusia dibaham buaya, ketika air pasang pada sebelah petang reptilia ini seringkali menyambar ayam dan itik milik penduduk yang berada di bawah rumah, jelas Johan. "Saya takut untuk memikirkan apa yang akan berlaku jika seekor buaya besar turut terlanggar tiang kaki rumah dalam proses itu," katanya. Johan berkata, mata pencarian 28 orang penduduk kampung yang rezeki mereka bergantung dari sungai itu terjejas kerana ancaman buaya. "Sungai Seblak terkenal kerana udang galahnya mampu mencapai harga RM40 sekilogram.

Jika rezeki murah, mereka boleh menangkap sehingga 50 kg," katanya dan menambah bahawa kerana ancaman buaya ini kebanyakan mereka tidak berani turun ke sungai. Johan berkata beliau mendapat tahu tinjauan yang dijalankan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menganggarkan terdapat sekurang-kurangya 306 ekor buaya di sungai itu dari Roban hingga Sessang. "Kami tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan. Kami tidak boleh menembaknya kerana ia adalah spesies yang dilindungi. Lagipun, kami tidak berminat membunuhnya kerana ada antara kami yang percaya reptilia ini bersifat pendendam. "Saya meragui yang penduduk tempatan sedia membunuhnya. Lagipun untuk membunuh buaya yang besar, anda memerlukan senjata yang berkuasa selain daripada senapang patah biasa," katanya. Pilihan lain ialah mendapatkan khidmat pakar atau "bomoh" untuk mengusir reptilia ini tetapi sekarang ini pilihan ini sukar dipertimbangkan kerana bayaran yang mereka kenakan boleh mencapai sehingga RM5,000 atau lebih.

OPERASI PENAKAIAN TIDAK MENJADI

Operasi penakaian selama seminggu, yang pertama seumpamanya di kawasan itu, sebenarnya dicadangkan pada minggu ketiga Julai membabitkan tentera, polis, RELA, Jabatan Bomba dan Penyelamat, pejabat daerah kecil Roban dan penduduk tempatan. Bagaimanapun operasi ini dibatalkan pada saat-saat akhir kerana kekurangan sumber dan kesukaran dalam mengenalpasti buaya-buaya ganas. Ketua Daerah Polis Saratok Deputi Supritendan (DSP) Lee Phai Lien berkata rancangan awal adalah untuk memburu sehingga 60 ekor buaya, yang panjangnya tidak kurang daripada 2.5 meter dan berpotensi mengancam manusia. Sementara itu, pengurus besar SFC Wilfred Landong berkata perbadanan itu sedang mempertimbangkan aktiviti pemburuan komersil untuk mendapatkan kulit dan daging buaya dalam usaha mengawal bilangannya. Beliau berkata Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 yang melindungi reptilia ini harus dipinda bagi membolehkan pemburuan komersil dari masa ke masa. Beliau berkata pada 1961, Sarawak mengeksport 7,245 kg kulit bernilai RM148,000, sementara pada 1970 ia mengeksport 692 kg bernilai RM13,000.

"Berdasarkan tinjauan kami yang dilakukan sejak 1995, populasi buaya tembaga (crocodylus porosus) di beberapa sungai telah meningkat dengan ketara. "Kejadian serangan ke atas manusia juga meningkat selaras dengan bilangannya," kata beliau. Wilfred menunjukkan bahawa reptilia ini lazim ditemui di 22 lembangan sungai di negeri ini dan SFC sedang memantau lima sungai utama khasnya Batang Sadong, Batang Lupar, Sungai Sarawak (Kiri dan Kanan), Batang Saribas dan Batang Samarahan. Beliau berkata sungai-sungai ini paling banyak menyaksikan konflik buaya-manusia dengan 42 kematian manusia dilaporkan dari 1980 hingga 2009. "Batang Lupar paling banyak menyaksikan insiden serangan buaya dengan 16 kematian disusuli Sungai Sarawak dengan lima kematian dan empat di Sungai Saribas," katanya. – BERNAMA

SUMBER
MSTAR ONLINE
3 OGOS 2011

Tiada ulasan: