JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



06 Ogos 2011

ISU SOSIAL : MENGKEBANGSAANKAN BUDAYA BUKAN MUDAH


Ketika berusia lima tahun, saya berbaris bersama rakan persekolahan sepanjang jalan Muar ke Segamat menunggu pemimpin negara melalui pekan Jementah, tempat saya dilahirkan.  Ingatan peristiwa itu masih segar, tarikh keramat 31 Ogos 1957 itu seolah-olah satu pesta besar untuk rakyat Tanah Melayu. Maksud sebenar kemerdekaan masih kurang jelas bagi kami ketika itu yang berbaris dan mengibar bendera negara. Sejak itu, istilah kemerdekaan dan kebangsaan adalah konsep yang sering dilaungkan pelbagai pihak, khususnya pemimpin politik pemerintah untuk menyeru rakyat supaya memupuk semangat kebangsaan dan menanam rasa cintakan negara. Kerajaan mula memperkenalkan konsep kebangsaan melalui bahasa kebangsaan. Selayaknya, bahasa Melayu, bahasa majoriti dan bahasa penduduk pribumi diangkat menjadi bahasa kebangsaan. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diwujudkan, minggu dan bulan bahasa kebangsaan diperkenalkan untuk meningkatkan kesedaran peri pentingnya rakyat negara ini mengamalkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan bangsa.

Cogan kata berbunyi Bahasa Jiwa Bangsa dilaungkan untuk meyakinkan rakyat pelbagai bangsa, jika kita berhasrat membentuk negara bangsa yang bersatu dan membina semangat kebangsaan, bahasa yang satu inilah menjadi tali pengikatnya. Strategi penting untuk membina negara bangsa yang bersatu ialah dengan memperkenalkan sistem pendidikan sekolah berasaskan bahasa kebangsaan. Hasilnya, sekolah rendah dan menengah kebangsaan diperkenalkan. Sekolah kebangsaan sudah berkembang pesat dan kini boleh dibanggakan pencapaiannya. Ramai rakyat berbangsa Cina dan India turut belajar di sekolah kebangsaan. Sebahagian besar daripada pemimpin dan pentadbir negara serta cerdik pandai yang ada di kebanyakan universiti awam, adalah mereka yang terdidik daripada sekolah kebangsaan.  Agenda kebangsaan turut diperkenalkan melalui budaya kebangsaan. Budaya Melayu dijadikan asas pembentukan budaya kebangsaan dan amalan bangsa lain yang bersesuaian boleh diserapkan untuk memperkayakan budaya kebangsaan yang diinginkan. Mengkebangsaankan budaya nampaknya kurang berjaya kerana Perlembagaan Persekutuan masih mengizinkan bangsa lain mengamalkan budaya dan agama masing-masing.

Sehingga hari ini, budaya Melayu, Cina dan India serta pelbagai budaya pribumi di Sabah dan Sarawak masih berkembang segar. Konsep kesatuan dalam kepelbagaian budaya dilihat sebagai keunikan dan keistimewaan rakyat Malaysia.  Kemuncak kepada kejayaan memperkenalkan konsep kebangsaan ialah pewujudan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai lambang keupayaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu pada peringkat pengajian tinggi. Sejak kebelakangan ini, rakyat pelbagai bangsa sangat berminat belajar di UKM, dan lebih penting lagi, universiti ini mampu meningkatkan kecemerlangan akademiknya sehingga diangkat menjadi universiti unggul bertaraf universiti penyelidikan. Kini UKM tidak saja menjadi lambang kebanggaan rakyat, tetapi turut menjadi sumber rujukan negara untuk pelbagai bidang ilmu. Tidak semua negara mempunyai universiti kebangsaan. Amerika Syarikat, negara di Eropah dan Jepun umpamanya, tiada universiti kebangsaan. Universiti di sana muncul kerana tuntutan pengajian tinggi dan keperluan meneroka ilmu dalam bidang sektoral.  

Di negara kita, Australia, Korea Selatan dan Taiwan – tuntutan masyarakat untuk membina negara bangsa yang bersatu dan berwawasan mendorong kepada penubuhan universiti kebangsaan. UKM umpamanya ditubuhkan atas desakan rakyat, khususnya untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sambil memberi peluang lebih ramai anak masyarakat luar bandar menjejak kaki ke menara gading.  Apa erti kebangsaan? Ia adalah lambang kesatuan masyarakat dalam sebuah negara bangsa. Bahasa, budaya dan institusi ilmu kebangsaan seharusnya menjadi jiwa dan raga yang menyuburkan inspirasi dan iltizam seluruh rakyatnya.  Sementara kita menghargai kepelbagaian, semua rakyat perlu yakin, sebuah negara bangsa perlu mempunyai hanya satu bahasa kebangsaan, satu budaya kebangsaan dan satu universiti kebangsaan.  Institusi ilmu seperti UKM mempunyai tanggungjawab besar untuk membina negara dan masyarakatnya berasaskan semangat kebangsaan. Di samping memperkukuhkan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, ia perlu memimpin masyarakat ke arah pembangunan, menatang imej kecemerlangan ilmu dan mewakili bangsanya ke arena global.

Pada prinsipnya, komuniti akademik di UKM perlu berfikiran global, tetapi bertindak lokal! UKM juga perlu menjadi pelopor hala tuju pembangunan rakyat Malaysia berbilang bangsa. Di samping memajukan ilmu dalam bidang sains dan teknologi, persoalan masyarakat, membina tamadun bangsa dan isu kemiskinan komuniti terpinggir perlu diperjuangkan bersama.  Kebangsaan ialah semangat cintakan keamanan dan perpaduan untuk sebuah negara bangsa merdeka. Ia tidak mengabaikan pegangan kepelbagaian agama, kepercayaan dan budaya warganya. Ia hanya menuntut iltizam untuk bersatu, menghargai keupayaan bangsa dan negara. Jadilah rakyat Malaysia yang sentiasa menyintai bangsanya dan memupuk semangat kebangsaannya.

Penulis ialah Felo Utama, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM

SUMBER
BERITA HARIAN
6 OGOS 2011

Tiada ulasan: