JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



27 Ogos 2011

ISU EKONOMI : JANGAN BIARKAN ESSO MALAYSIA DIJUAL

Oleh Saranan Salleh


Berita yang paling hangat masa kini ialah penjualan kepentingan Exxon International dalam Esso Malaysia kepada syarikat San Miguel, sebuah syarikat Filipina dengan harga yang lebih rendah daripada apa yang ditawarkan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera. Kita tertanya-tanya kenapa Exxon berbuat demikian sedangkan mereka telah beropeasi di negara ini bertahun-tahun dan telah meraih keuntungan yang lumayan dengan operasi mereka di sini. Jelas, kata orang macam dia tak suka dengan kita, sampai sanggup menerima bidaan yang jauh lebih rendah dengan apa yang kita tawarkan. Kita juga ingin tahu apakah orang kita di peringkat kepimpinan tidak tahu menahu tentang hasrat syarikat ini jauh lebih awal sebelum keputusan mempelawa pembida dilakukan? Dalam perniagaan, banyak perkara yang boleh dirundingkan untuk mengelakkan sesuatu keputusan yang tidak diingini berlaku. Mungkin wajar bagi seseorang berpangkat tinggi berbincang dengan pihak Exxon sebelum mereka membuat keputusan menjual. Mungkin wakil-wakil Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia boleh membantu membincangkan hasrat sekiranya mereka ingin menjual kepentingan Esso mereka, menjualnya kepada syarikat kita.

Kalau perjanjian dengan San Miguel sudah ditandatangani, tidak banyak yang boleh kita lakukan yang tidak akan ditakrifkan sebagai campur tangan dalam sistem ekonomi bebas yang kita amalkan. Bagaimana pun mereka masih perlu kebenaran daripada pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industr (MITI), di sinilah letaknya suatu keputusan di pihak kerajaan yang agak rumit. Jika dibenarkan dijual maka kita melepas. Jika dibatalkan pula, apakah implikasinya kepada pelabur asing yang melihat kita mengamalkan sesuatu yang bertentangan dengan amalan urus niaga komersil. Walau apa pun saya rasa pihak MITI perlu mendapatkan jawapan yang jelas daripada syarikat ini tentang mengapa masih menjual kepada syarikat Filipina sedangkan kita menawarkan harga yang lebih tinggi. Kalau kita ingin membeli balik daripada pihak San Miguel, saya rasa satu kemungkinannya pertama, mereka tidak mahu jual balik dan kedua, mereka mungkin akan meletakkan harga yang bukan-bukan.

Kepentingan ini adalah terdiri daripada sesuatu industri yang penting dan sesiapa yang memilikinya tidak mudah akan melepaskannya. Exxon menjualnya kerana ingin menumpukan usaha mereka dalam eksplorasi minyak atau aktiviti huluan. Kadang-kadang kita perlu memberitahu pelabur kita ini siapa yang duduk dikerusi pemandu. Kalau keputusan yang dibuat tidak boleh diterima sekalipun, kita ada sebab jelas yang boleh kita terangkan kepada dunia. Misalnya, sejak mereka beroperasi di negara ini berapa banyak keuntungan yang telah dikaut dan pelbagai faedah yang telah mereka nikmati. Kita wajar melindungi apa yang kita ada, dan walau pun kadang kala keputusan kita tidak popular, itu tidak mengapa. Kerajaan mesti tegas dan tidak boleh dipermainkan sesuka hati oleh mereka yang menggunakan sistem ekonomi bebas untuk mengambil kesempatan.

DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
27 OGOS 2011

Tiada ulasan: