Oleh Razak Ghows
bhnews@bharian.com.my
Minggu depan rakyat Malaysia menyambut Merdeka Raya, iaitu ulang tahun kemerdekaan ke-54 dan Aidilfitri. Memandangkan sambutan hari kebangsaan ditunda ke 16 September sempena dengan ulang tahun Hari Malaysia, rata-rata kita lihat lebih banyak tumpuan diberikan kepada hari raya. Namun sambutan kemerdekaan yang menjelang tiba itu juga memeriahkan lagi suasana hari raya kali ini. Hari raya adalah hari di mana ahli keluarga dari jauh dan dekat berkumpul dan berjumpa setahun sekali bagi mengimbau kembali zaman silam serta bermaaf-maafan. Semuanya ini boleh dilakukan kerana negara ini aman, stabil dan bebas daripada sebarang ancaman dan huru-hara. Ia hasil daripada kemerdekaan negara yang kini mencapai usia 54 tahun. Bukannya senang untuk sampai ke usia itu. Usahlah pada usia ini kita menaburkan pelbagai fitnah dengan hasrat menjatuhkan pemimpin atau orang lain. Jangan direka cerita sehingga boleh mencetuskan masalah, sedangkan tidak wujud pun masalah yang disebut itu. Justeru, adalah wajar kita pelihara kestabilan itu seperti kita menjaga kesihatan tubuh kita sendiri.
Elakkan daripada diancam pelbagai penyakit yang boleh mengganggu kehidupan kita. Lihatlah huru-hara yang berlaku di Tunisia, Mesir dan Libya atau negara jiran kita Thailand. Usahlah pada usia ini kita menaburkan pelbagai fitnah dengan hasrat menjatuhkan pemimpin atau orang lain. Jangan direka cerita sehingga boleh mencetuskan masalah, sedangkan tidak wujud pun masalah yang disebut itu. Beberapa tetamu pada satu majlis berbuka puasa baru-baru ini mengimbas kembali zaman muda mereka pada 1960-an dan 1970-an lalu. Ketika itu, hubungan antara orang Melayu, Cina dan India begitu akrab sekali. Mereka tinggal di sebuah kampung yang wujud persefahaman dan kerjasama erat. Hubungan antara kaum begitu ikhlas tanpa ada prejudis. Anak orang Melayu, Cina dan India boleh bebas keluar masuk rumah rakan mereka. Malah menurut penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar, pada satu setengah dekad pertama selepas merdeka, agama tidak dilihat sebagai halangan kepada perpaduan nasional. Pada peringkat awal selepas kemerdekaan, masyarakat bukan Islam tidak menunjukkan sebarang bantahan terhadap status dan amalan agama Islam.
Identiti Islam itu tidak menyebabkan hak mereka ditekan. Perlembagaan negara melindungi hak mereka untuk bebas menganuti apa juga kepercayaan agama, menguruskan sendiri hal-ehwal amalan keagamaan, menubuhkan dan mengekalkan institusi keagamaan bagi tujuan beribadat dan kebajikan. Walaupun lebih 60 peratus penduduk di negara ini beragama Islam, namun kewujudan bihara Buddha, kuil dan gereja diterima sebagai sebahagian daripada landskap di negara ini. Orang Islam tiada masalah dengan itu. Pada hari raya, jiran Cina dan India berkunjung ke rumah orang Melayu. Hidangan ketupat, lemang serta rendang bukan lagi makanan asing bagi mereka. Ia sudah menjadi juadah rakyat Malaysia. Pada Tahun Baru Cina, orang Melayu dan India turut mengunjungi rumah rakan karib mereka. Tuan rumah tahu apa yang boleh dimakan Melayu dan apa yang menjadi larangan. Sebelum balik, anak muda dihadiahkan ‘ang pau’ oleh ibu bapa kawan mereka. Buah limau dan kacang menjadi ikon juadah Tahun Baru Cina. Sambutan sama diraikan ketika Deepavali dan muruku menjadi satu lagi simbol makanan rakyat Malaysia.
Kini muruku turut dihidangkan pada majlis rumah terbuka hari raya. Begitulah keadaan rakyat Malaysia yang seronok hidup secara bersama, walaupun berlainan agama dan adat. Namun menurut Dr Chandra, suasana tenang itu mula menampakkan sedikit ketegangan mulai 1980-an. Penambahan penduduk Melayu di kawasan bandar sejak 1970-an menyebabkan orang Islam berkongsi ruang fizikal dan budaya dengan penganut agama lain. Hasil interaksi itu, maka berlakulah perkahwinan dan perceraian antara agama. Kemudian timbul pula masalah pertukaran agama, hak penjagaan kanak-kanak dan status kepercayaan agama orang yang sudah meninggal. Keadaan sedemikian menimbulkan keluh kesah antara kaum, menyebabkan pihak terbabit cuba melindungi hak agama masing-masing. Sebarang tindakan yang melampaui garisan sempadan yang ditentukan sendiri oleh mereka boleh menimbulkan ketegangan. Antara contohnya adalah cubaan bukan Islam untuk menggunakan istilah ‘Allah’.Selain itu, tambah Dr Chandra, tindakan golongan tertentu cuba menyebarkan ajaran Kristian juga semakin diperhebatkan.
Sasaran mereka adalah masyarakat bukan Islam di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak. Tetapi ada cubaan mendekati masyarakat Melayu, walaupun peruntukan Perlembagaan melarang mereka menyebarkan sebarang doktrin agama di kalangan orang Islam. Secara umumnya, kebanyakan rakyat lebih suka nilai universal yang dikongsi bersama oleh penganut pelbagai agama. Prinsip ini penting dalam masyarakat pelbagai agama kerana ia menekankan nilai bersama kemanusiaan. Andainya agama mampu menjelmakan nilai kemanusiaan ini, pastinya ia dapat memperkukuhkan perpaduan di bumi ini. Alangkah seronoknya sekiranya kita dapat mengembalikan semula keakraban antara kaum seperti yang pernah kita lalui dulu. Gunakan sambutan Merdeka Raya ini bagi merapatkan semula perhubungan antara kaum.
Kekuatan perpaduan kaum kunci keamanan negara mesti dipertahan
SUMBER
BERITA HARIAN
27 OGOS 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan