Oleh Sapora Sipon
Dalam negara menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-54, satu bentuk amalan yang semakin kuat dijajah adalah penyakit suka memfitnah. Budaya memfitnah termasuk di alam maya seperti blog semakin menjadi tidak terkawal dan jika dibiarkan berterusan, banyak kemudaratan yang merosakkan masyarakat akan berlaku. Menurut Kamus Besar Bahasa Melayu (2002), fitnah dapat diertikan sebagai tuduhan jahat yang diada-adakan atau yang dibuat. Ia juga dapat diertikan sebagai umpatan, gunjing ataupun celaan dan pesona. Manakala memfitnah diertikan sebagai memburuk-burukkan orang lain di belakang. Budaya fitnah walaupun berlaku di mana-mana, tetapi lebih signifikan dalam budaya politik. Ini tidak menghairankan kerana senario fitnah memfitnah bukan saja berlaku di negara ini. Musuh-musuh bekas Presiden hebat Amerika Syarikat, Abraham Lincoln menyebarkan berita liar mengenai karakter dan juga kehidupan peribadinya. Apa yang paling membimbangkan ialah budaya fitnah memfitnah dalam politik negara berada dalam keadaan yang sangat membimbangkan sehingga menzahirkan rasa muak rakyat jelata.
Akibat fitnah bukan calang-calang bahayanya. Ia membawa banyak kemudaratan yang merosakkan masyarakat. Selalunya, fitnah dirancang kerana wujud sifat hasad dan dengki, atau sifat kemarahan yang membuak-buak kerana tujuan tertentu. Fitnah berlaku akibat pelbagai faktor. Di dalam politik, antara punca berlaku fitnah ialah kerana perbezaan fahaman sehingga pemimpin difitnah dengan perkara yang tidak sepatutnya. Selain itu pemimpin difitnah untuk pembunuhan karakter. Pembunuhan karakter adalah usaha untuk mencemar nama baik atau reputasi seseorang. Budaya fitnah untuk merosakkan nama baik seseorang dilakukan melalui pernyataan yang tidak benar, melebih-lebihkan atau manipulasi fakta dengan bertujuan untuk memberikan satu persepsi atau citra yang tidak benar tentang orang yang difitnah. Pembunuhan karakter mengakibatkan reputasi mangsa menjadi rusuk di mata awam. Menabur fitnah juga adalah satu perang psikologi ke atas lawan. Serangan ke atas karakter atau pemikiran secara berterusan, tersusun dan terancang dengan baik yang dilakukan boleh saja membinasakan masa hadapan mangsa.
Budaya fitnah bertambah liar apabila tempoh pilihan raya semakin dekat. Akibat fitnah bukan calang-calang bahayanya. Ia membawa banyak kemudaratan yang merosakkan masyarakat. Selalunya, fitnah dirancang kerana wujud sifat hasad dan dengki, atau sifat kemarahan yang membuak-buak kerana tujuan tertentu. Kesan yang lebih buruk akan membawa kepada sikap tidak percaya dan kepercayaan yang tidak benar mengenai sesuatu isu atau individu. Kesan fitnah terhadap masyarakat boleh meruntuhkan institusi sosial. Dalam konteks bangsa, sentimen perkauman boleh timbul dan menyebabkan huru-hara serta kadangkala boleh berlaku peperangan. Keadaan ini boleh membantutkan sebarang usaha positif ke arah perdamaian. Sentimen ragu-meragui antara satu sama lain juga boleh timbul walaupun setelah berlaku perdamaian. Fitnah membawa kesan negatif sehingga boleh menumpahkan darah. Tentunya amat bermakna sekali jika setiap individu dapat memerdekakan diri daripada sikap suka memfitnah. Ini kerana amalan fitnah membawa kehancuran dan malapetaka kepada keharmonian negara. Dalam konteks negara Malaysia yang aman makmur, pelakuan fitnah tidak boleh dijadikan satu amalan atas nama perpaduan, kebenaran dan keadilan. Budaya fitnah memfitnah benar-benar mengongkong jiwa merdeka.
Penulis adalah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia
SUMBER
BERITA HARIAN
27 OGOS 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan