JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



20 Ogos 2011

ISU BAHASA : PENGAJARAN MATEMATIK DAN SAINS SECARA DWIBAHASA AKAN MENGORBANKAN BAHASA MELAYU

Laporan Khas oleh Mohd Feroz Abu Bakar dan Basir Zahrom


Kementerian Pelajaran tidak harus terperangkap dengan permintaan pihak tertentu yang masih menuntut pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Tindakan menjadikan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu sebagai pengantar yang setara di sekolah adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Jika kita membenarkan sistem dwibahasa di negara ini, akhirnya bahasa Melayu akan kalah pada peringkat global. - Shaharir Mohamad Zain, Bekas Profesor Matematik , Universiti Kebangsaan Malaysia Pejuang bahasa beranggapan pelaksanaan dwibahasa dalam sistem persekolahan kebangsaan dengan memberi pilihan kepada sekolah tertentu menggunakan bahasa Inggeris akan melenyapkan kelangsungan bahasa Melayu pada peringkat global. Namun, demi kepentingan murid yang bahasa ibundanya adalah bahasa Inggeris dan penguasaan bahasa Melayu mereka sangat lemah sehingga menjejaskan pemahaman terhadap konsep Sains dan Matematik, sekolah di negara ini boleh menggunakan model di Amerika Syarikat (AS) atau Eropah.

Bekas Profesor Matematik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Shaharir Mohamad Zain, berkata Amerika Syarikat membenarkan guru sekolah rendah menggunakan bahasa ibunda seperti bahasa Sepanyol untuk menyampaikan kandungan mata pelajaran bagi beberapa tahun awal persekolahan sementara murid itu menguasai bahasa Inggeris. Tetapi, katanya, bahasa Inggeris tetap bahasa rasmi sistem pendidikan di sekolah dan semua pelajar perlu menguasai bahasa itu selepas menamatkan persekolahan.  “Perancis, Jerman atau negara maju lain di Eropah pula membenarkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris sehingga mereka menguasai bahasa itu hampir sama dengan penutur asal tetapi tidak sehingga menjadikan bahasa Inggeris setara dengan bahasa kebangsaan masing-masing. “Jika kita membenarkan sistem dwibahasa di negara ini, akhirnya bahasa Melayu akan kalah pada peringkat global kerana hegemoni politik dunia Inggeris pada peringkat antarabangsa jauh lebih berkuasa,” katanya ketika dihubungi, semalam. Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sekolah mungkin diberi pilihan menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu untuk Sains dan Matematik.

Muhyiddin berkata, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sudah dimansuhkan pada 2009 dan diganti dengan program Memartabat Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) tetapi Kementerian Pelajaran masih mengkaji untuk memberi opsyen menggunakan bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik. Sebelum ini, Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) meminta Kementerian Pelajaran membenarkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menentukan sendiri sama ada sekolah masing-masing mahu kembali kepada PPSMI. Shaharir yang kini bertugas di Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya, berkata kajian oleh Kementerian Pelajaran itu menunjukkan pihak berkuasa masih bersikap berdolak-dalik dalam isu PPSMI dan mahu memenuhi permintaan PAGE. Beliau menyifatkan pihak yang meminta PPSMI dihidupkan semula sebagai cendekiawan dan pemimpin terpasung atau ‘komprador’. Katanya, PIBG ditubuhkan untuk memajukan pendidikan sekolah mengikut dasar yang ditetapkan oleh kerajaan, bukan menentukan dasar pendidikan khususnya bahasa pengantar atau kurikulum.

Beliau berkata, jika PIBG dibenar menentukan dasar bahasa, mudahlah akhirnya semua sekolah ‘diinggeriskan’ seperti di negara bekas jajahan yang sudah merdeka seperti Singapura, Timor Leste, Papua New Guinea, Filipina, India dan beberapa negara di Afrika. “Pemimpin dan cendekiawan negara ini tentunya terlepas hati budinya makna kemerdekaan sesebuah negara daripada penjajahnya. “Bahagian yang tidak boleh diremehkan ialah pemerdekaan sistem pendidikan negara daripada penjajah itu. “Ini bertujuan memerdekakan hati budi rakyat terbanyak negaranya itu, khususnya meminimumkan golongan pemimpin dan cendekiawan yang tidak berjiwa kewatanan dan keperibumian itu yang diistilahkan sebagai jiwa terpasung atau jiwa komprador,” katanya. Dari sudut kepentingan minoriti, Shaharir berkata, walaupun bahasa Melayu bukan bahasa ibunda kepada suku kaum seperti Iban, Kadazan, Bajau atau Orang Asli, bahasa itu dari keluarga yang sama, iaitu rumpun Austronesia/Malayonesia. Katanya, bahasa Melayu adalah yang paling dekat dengan jiwa mereka selepas bahasa suku kaumnya sendiri.

“Bahasa Inggeris tiada kena mengena dengan jiwa suku kaum ini dan oleh itu pelaksanaan semula PPSMI kepada suku kaum ini adalah suatu bentuk kezaliman,” katanya.  Antara alasan yang diberikan untuk meminta kebenaran supaya PIBG diberi hak menentukan pelaksanaan semula PPSMI di sekolah masing-masing ialah bahasa Inggeris menjadi bahasa ibunda kepada beribu-ribu murid. Persatuan Penulis Nasional (PENA) antara pertubuhan bukan kerajaan yang lantang menentang PPSMI sebelum ini berkata, keadaan itu boleh bertukar kepada tragedi jika mereka hanya menguasai bahasa Inggeris dan tidak tahu berbahasa Melayu sedangkan negara mempunyai hak untuk mewajibkan warga negara berbahasa Melayu. Presidennya, Saleeh Rahamad, berkata Perlembagaan Persekutuan sudah memaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. “Jika Perlembagaan hanya dianggap perhiasan dan bukannya satu monumen jati diri yang bersifat perundangan, warga negara yang sedemikian sepatutnya dilucutkan taraf kerakyatan,” katanya. PAGE sebelum ini juga memberi alasan bahasa Melayu tidak mampu mengejar kepesatan Sains dan Matematik kini walaupun ada usaha terjemahan.

Jalan penyelesaiannya ialah belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Shaharir berkata, sebenarnya negara maju juga masih menterjemah bahan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dengan hebatnya. Beliau berkata, Amerika Syarikat umpamanya melakukan banyak terjemahan daripada bahasa lain di Eropah, bahkan dari China, Korea Selatan dan Jepun. Begitu jugalah sebaliknya. Dari segi perkembangan ilmu, katanya, tidak benar perubahan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris begitu pantas sehingga tidak akan terkejar sesuatu bangsa yang tidak berbahasa Inggeris untuk menterjemah. “Teori baru Sains atau Matematik memakan masa sekurang-kurangnya 30 tahun untuk dijadikan bahan sukatan pelajaran sekolah atau universiti. “Kedua, perkembangan Sains dan Matematik tidak hanya berlaku menerusi bahasa Inggeris saja, bahkan ahli Sains dan Matematik berbahasa Inggeris masih melakukan terjemahan daripada bahasa lain,” katanya. Shaharir berkata, negara ini juga mempunyai ahli Sains dan Matematik yang mencukupi untuk memindahkan ilmu sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Katanya, Kementerian Pelajaran patut bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memanfaatkan kepakaran profesor dan pensyarah Sains dan Matematik di institusi pengajian tinggi di negara ini bagi membangunkan ilmu berkenaan pada semua peringkat.

Negara maju 
masih terjemah ilmu 
ke bahasa ibunda

SUMBER
BERITA HARIAN
20 OGOS 2011

Tiada ulasan: