20 Ogos 2011

ISU PENDIDIKAN TINGGI : APAKAH YANG MAHU DIKEJAR OLEH NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYA?

Oleh Azman Anuar


Apabila  Datuk Rafiah Salim mengesahkan kontrak perkhidmatannya sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (UM) tamat pada 7 November 2008, ramai sudah menjangkakan sebabnya. Rafiah yang dilantik sebagai Naib Canselor UM pada 1 Mei 2006 tidak begitu disenangi oleh sesetengah warga akademik universiti itu. Lalu jawatan Rafiah diberikan kepada bekas Presiden Universiti Multimedia (MMU), Tan Sri Datuk Dr. Ghauth Jasmon. Rupa-rupanya, rasa tak puas hati kepada Rafiah turut melanda Ghauth. Sesetengah pelajar dan sekumpulan ahli Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) menyatakan rungutan mereka yang tidak senang hati dengan beberapa polisi baru yang diperkenalkan oleh Naib Canselor itu. Gaya, kaedah, dan tindakan kepimpinan Ghauth tidak disenangi. Kalau kita baca kenyataan akhbar ahli dan Presiden PKAUM mengenai pengurusan Ghauth - jika benar-benar berlaku, ia amat menyedihkan kepada masa depan agama, bangsa dan negara. Peletakan jawatan 122 orang yang bergelar profesor, profesor madya dan pensyarah serta ahli akademik dalam tempoh dua tahun sahaja (2009-2010) mengundang persoalan.

Kenapa golongan pakar-pakar bidang dan profesor kanan melepaskan jawatan dari universiti yang berprestij ini? Kenapa bilangan seramai itu sanggup meninggalkan jawatan dan gaji yang tinggi? Kita tidak boleh tolak hakikat bahawa mereka pergi meninggalkan UM bersama maruah. Mereka tidak mahu bersekongkol dengan pihak yang lupa kepada dasar-dasar kerajaan. Perkara yang menghairankan, apabila bilangan yang mahu meletakkan jawatan bertambah ramai, kenapa Ghauth tidak memujuk mereka? Kenapa beliau membiarkan mereka pergi hingga menyebabkan kini UM menghadapi krisis kemerosotan ilmuwan dan pakar. Dapatkah tenaga akademik yang diimport dari Negara Dunia Ketiga mengisi kekosongan mereka dalam erti yang sebenar-benarnya? Saya bertambah hairan apabila yang pergi seramai 122 orang itu diganti oleh 480 orang pensyarah baru. Lebih mengejutkan mengapa diambil 80 peratus daripada jumlah itu pensyarah daripada negara asing seperti Bangladesh, Nigeria, Filipina, Sri Lanka, India, Jordan, dan lain-lain. Adakah tujuannya untuk menarik pelajar asing dari negara-negara berkenaan?

Mengapa tidak menjemput sahaja pensyarah daripada negara maju supaya mudah taraf UM boleh melonjak ke tangga teratas dalam kedudukan universiti di dunia. Sekarang apa yang berlaku dalam UM ialah kualiti pengajaran ilmu dalam bahasa Melayu pada peringkat ijazah hingga sarjana dan Ph.D mulai terjejas. Semangat tenaga pengajar UM bagaikan disentap apabila prosedur kenaikan pangkat ke jawatan pensyarah kanan, profesor madya, dan profesor diperketatkan. Syarat calon menerbitkan dalam jurnal ISI (berbahasa Inggeris antarabangsa) diutamakan dan penerbitan dalam bahasa Melayu kurang diberi perhatian. Ini bermakna UM lebih mengutamakan bahasa Inggeris daripada bahasa kebangsaan sendiri. Barangkali pengurusan Ghauth mahu mengejar penarafan gabungan antara Times Higher Education Supplement (THES) dan syarikat Quacquarelli Symonds (QS), atau lebih dikenali sebagai THES-QS. Mungkin laporan 8 Oktober 2009 mengenai tembelang yang mempamerkan muslihat penarafan THES-QS terbongkar setelah pihak THES dan QS tidak lagi bergabung --tidak dibaca pihak UM.

 Jadi apa yang hendak dicari dengan penarafan universiti di dunia jika ia lebih tentang ‘angka’ daripada ‘isi.’ Apa yang nyata ialah kedudukan UM lebih parah jatuh ke tangga 207 (2010) daripada tangga 180 (2009) sedangkan ia telah melibatkan kos yang tinggi daripada segi kewangan dan moral. Seorang rakan yang juga bekas Naib Presiden PKAUM 2005-2006, Prof. Rahim Abdul Rashid memberitahu, beliau sedih melihat UM di bawah teraju dua Naib Canselor bagaikan tiada wawasan kebangsaan dan tidak ada kualiti kepimpinan. Trend yang berlaku sekarang wujud naib canselor bersikap mahu semua mengikut arahan mereka sahaja. Hal ini berbeza dengan universiti di United Kingdom dan negara maju lain yang bersikap lebih demokratik. Kepimpinan universiti di negara ini perlu diubah berasaskan kriteria yang sesuai dengan aspirasi nasional dan antarabangsa supaya Malaysia boleh maju. Naib canselor yang didapati gagal memenuhi aspirasi nasional harus diketepikan dan diganti. Janganlah pihak universiti di negara ini terlalu terikut-ikut dengan rentak yang tidak mendatangkan keuntungan, sebaliknya merosakkan sistem yang telah kita bina selama ini.

Ingatlah 
UM bukan milik individu. 
Ia adalah milik rakyat Malaysia.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
20 OGOS 2011
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails