JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



09 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : PROFESOR DIMINTA KAJI KEJAYAAN NEGARA


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta golongan profesor mengkaji formula kejayaan negara dalam pelbagai bidang selepas 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. Antaranya beliau berkata, kejayaan Malaysia dalam bidang pentadbiran negara, pengurusan ekonomi, penciptaan teknologi termasuk hubungan antara kaum. Ujarnya, langkah itu penting memandangkan kesemua kejayaan itu telah membolehkan negara mampu membangunkan ekonomi dengan pesat, mengekalkan kestabilan politik, memelihara keamanan negara serta mewujudkan keharmonian kaum dan agama. Beliau percaya di sebalik segala kejayaan kita ini terdapat ramuan penting yang telah membawa kita ke tahap di mana kita berada sekarang. Sesungguhnya tidak mudah bagi sebuah negara pelbagai kaum dan agama seperti di Malaysia mencipta pelbagai kejayaan dalam bidang ekonomi, politik dan sosial dalam masa singkat.

Semestinya terdapat rahsia di sebalik pelbagai kejayaan ini yang boleh dijadikan pedoman untuk kita merangka pembangunan negara pada masa depan. Muhyiddin berkata, dalam usaha mencapai cita-cita untuk menjadi sebuah negara maju beracuan sendiri adalah amat penting kesemua formula kejayaan itu digali, dikaji dan dijadikan landasan serta panduan. Janganlah disebabkan terlalu ghairah untuk menjadi sebuah negara maju, kita mengenepikan khazanah kekuatan yang ada pada negara kita selama ini. Maka para profesor selaku manusia intelektual adalah golongan paling layak memegang amanah ini. Mengenai resolusi kongres, beliau di dalam ucapannya berkata, kerajaan akan meneliti kesemua isi kandungan resolusi tersebut yang disifatkannya sebagai hasrat para profesor yang hadir pada kongres kali ini. Beliau memaklumkan bahawa beliau telah menerima resolusi kongres yang saya pasti mencerminkan hasrat para profesor di negara kita untuk mengambil bahagian secara lebih bermakna dalam proses pembangunan dan kemajuan negara.

Beliau memberikan jaminan bahawa isi kandungan resolusi ini akan diteliti oleh kerajaan dan mudah-mudahan ia akan membantu kerajaan dalam menjayakan agenda transformasi negara. Sementara itu, di dalam sidang akhbarnya selepas itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan kini dalam proses merangka untuk menaik taraf salah sebuah universiti di negara ini untuk dijadikan universiti sains sosial. Kita setakat ini telah mempunyai lima universiti penyelidikan berasaskan sains dan teknologi iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kita memerlukan sebuah lagi universiti penyelidikan berasaskan sains sosial bagi mempergiatkan usaha-usaha penyelidikan dalam hal-hal yang penting seperti perpaduan nasional, kestabilan politik, penerimaan antara kaum, kebudayaan dan kesenian.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 JULAI 2011

Tiada ulasan: