JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



09 Julai 2011

ISU UMUM : PEMIMPIN DUNIA YANG "TEWAS"

Oleh Nurul Anuar Khari
anuar.kari@utusan.com.my


Trend  bekas pemimpin hidup dalam buangan di negara lain bukanlah sesuatu yang baharu dan telah direkodkan sejak awal ketamadunan manusia di Eropah dan Asia Barat. Dahulu, golongan yang terlibat kebanyakannya terdiri daripada monarki sesebuah negara yang digulingkan hasil rampasan kuasa atau pemberontak yang tidak mahukan sistem beraja. Kini, golongan yang telah menggulingkan monarki juga tidak terkecuali daripada menjadi anggota kumpulan bekas pemimpin yang hidup terpaksa dalam buangan. Beberapa siri pemberontakan di negara-negara tertentu baru-baru ini telah menambah lagi bilangan bekas pemimpin yang melarikan diri ke luar negara. Antara bekas pemimpin dalam buangan yang kerap disebut ialah bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra. Namanya semakin disebut ekoran parti Puea Thai pimpinan adik perempuannya, Yingluck berjaya memenangi pilihan raya minggu lalu dan bakal dilantik Perdana Menteri Thailand yang baharu.

Bagaimanapun, Thaksin memberi jaminan dia tidak berminat untuk kembali berkuasa dan tidak akan memberi keutamaan untuk pulang ke Thailand dalam masa terdekat ini. “Saya tidak tergesa-gesa untuk pulang dan mahu melihat perdamaian terlebih dahulu. Saya akan pulang jika perlu sebagai penyelesai masalah tetapi jika menjadi masalah, lebih baik tidak,” jelas Thaksin yang melarikan diri daripada hukuman penjara atas dakwaan rasuah ke Dubai. Walaupun nama Thaksin begitu kerap dibangkitkan kini, hakikatnya masih ramai bekas pemimpin lain yang hidup dalam buangan di seluruh dunia. Antara nama paling popular adalah Dalai Lama ke-14 yang memimpin lebih 85,000 warga Tibet yang hidup dalam buangan, di samping berjuta-juta lagi tinggal di negara tersebut. Dalai Lama mengasaskan kerajaan dalam buangan Tibet selepas melarikan diri ke India pada 1959 ketika berlaku pemberontakan terhadap pemerintahan China.

Pada Mei lalu, Dalai Lama meninggalkan peranan politik kepada seorang Perdana Menteri baharu tetapi kekal selaku ketua kerohanian Buddha Tibet kerana bimbang kematiannya kelak akan membawa huru-hara atas campur tangan China dalam menentukan Dalai Lama ke-15. Selain dua bekas pemimpin itu, bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf juga kini hidup dalam buangan di sebuah flat tiga bilik tidur di London. Persaraan merupakan satu peralihan yang besar baginya, dari istana presiden kepada sebuah flat kecil di belakang bar shisha dan kedai kebab, di samping ancaman menghadapi pendakwaan di mahkamah di tanah airnya. Pada awal tahun ini, Mahkamah Antikeganasan Pakistan juga dilaporkan telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Musharraf berhubung pembunuhan bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto. Namun, Musharraf masih mempunyai penyokongnya sendiri di dalam dan luar negara, termasuk Raja Abdullah Abdul Aziz Al Saud dari Arab Saudi.

Terbaharu, pergolakan di Mesir turut menyaksikan Presidennya, Hosni Mubarak digulingkan tetapi gagal melarikan diri dan kini menanti perbicaraan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah bersama anak-anak dan kroninya. Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi pula masih gagal digulingkan pemberontak negaranya walaupun dengan bantuan tentera Amerika Syarikat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang lebih banyak membunuh orang awam daripada tentera kerajaan. Walaupun Gaddafi masih belum ditentukan bakal hidup dalam buangan atau ditangkap seperti Mubarak, yang pasti dia juga bukan pemimpin terakhir yang digulingkan dan terpaksa hidup dalam buangan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 JULAI 2011

Tiada ulasan: