09 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : KONGRES PROFESOR NEGARA RUMUSKAN 14 RESOLUSI


Kongres Profesor Negara yang berakhir pada 8 Julai 2011, sebulat suara merumuskan 14 resolusi mengikut setiap kluster dalam usaha merealisasikan agenda transformasi negara. Pengumuman resolusi itu dibuat oleh Pengarah Kongres itu, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak sebelum diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.  Resolusi berkenaan termasuklah :

01.  Kluster sumber asli dan alam sekitar;
02.  Ekonomi dan kewangan
03. Tadbir urus, perundangan dan pengurusan awam;
04.  teknologi maklumat dan komunikasi (ICT);
05.  industri dan inovasi  
06. kejuruteraan dan teknologi.
07. kluster sains dan matematik;
08. pembangunan sosial dan kesejahteraan;
09. pendidikan dan pembangunan modal insan;
10. perubatan dan kesihatan;
11. politik, keselamatan dan hal ehwal antarabangsa;
12. farmasi dan sains gunaan;
13. sejarah, warisan dan sosiobudaya
14. pertanian dan makanan.

Mohamed Mustafa berkata, di bawah resolusi tadbir urus, perundangan dan pengurusan awam, adalah amat perlu kerajaan membangunkan kod tadbir urus sektor awam dan kaedah penguatkuasaan bagi melaksanakan sistem pengurusan kewangan, risiko dan pengauditan secara berkesan dan berintegrasi. Katanya, kod tersebut boleh dijadikan asas dalam pemantauan amalan tadbir urus dan prestasi setiap agensi sebagai pemangkin untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian, pengurusan dan pentadbiran awam. Resolusi ICT pula menyatakan keperluan pembangunan tekno-usahawan termasuk teknologi keselamatan ICT serta meningkatkan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang itu bagi melahirkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Polisi inovasi negara juga perlu diperkukuhkan secara konsisten ke arah kelestarian ekosistem inovasi tanpa sempadan yang diperluaskan di semua peringkat masyarakat sama ada di sekolah, institut pengajian tinggi, institut penyelidikan, agensi kerajaan dan industri.

Dalam pada itu, Mohamed Mustafa berkata, matlamat melahirkan tenaga kerja mahir di negara ini perlu lebih tegas iaitu sekurang-kurangnya seramai 60 penyelidik dan jurutera dapat dicapai berbanding hanya 27 pakar itu pada masa ini bagi setiap 10,000 tenaga kerja. Nisbah bagi pelajar aliran sains dan bukan sains harus dikekalkan pada tahap 60:40 berbanding 20:80 pada tahun ini di samping meningkatkan usaha pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah supaya dapat melahirkan masyarakat berfikiran intelektual. Beliau berkata, industri farmaseutikal negara perlu dimartabatkan dengan memberi tumpuan kepada pengeluaran bahan farmaseutikal aktif dan ubatan daripada sumber asli tempatan di samping berupaya menjadi negara pengeluar ubatan halal. Langkah itu supaya ia tidak terlalu bergantung kepada pasaran luar yang diragui kesesuaiannya sehingga boleh mengancam kesihatan rakyat. Jelasnya, masalah ketagihan dadah harus dipertanggungjawab bersama Kementerian Kesihatan kerana ketagihan dikenal pasti sebagai sejenis penyakit. Kesemua resolusi yang dirumuskan itu akan turut diserahkan kepada setiap kementerian untuk diberi perhatian selanjutnya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 JULAI 2011
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails