Pujangga pernah berkata kesihatan diri ialah permata yang harus dibiarkan bersinar terang dan bercahaya sepanjang masa. Jika sinarnya malap maknanya rasa sakit akan menyelinap dan mengigit tubuh kita tanpa mengira masa. Azabnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sepanjang masa kita akan dikelilingi oleh kerisauan dan kebimbangan yang berselang-seli dengan rasa sakit tidak tertahan. Tidur kita akan terganggu. Siang dan malam kita hanya mampu menahan dan tidak pernah berhenti berharap agar kesakitan itu hilang dan lenyap dengan cepat. Aduhai, apabila kita sakit segala nikmat yang kita kecapi selama ini akan hilang. Yang dimakan akan dimuntahkan. Rasanya tawar. Selera kita akan terputus untuk merasa dengan tiba-tiba. Jika selama ini kita gagah bejalan, berlari dan bekerja, secara tiba-tiba kita bagaikan kapal patah kemudi atau layar yang hilang sauhnya. Berjalan pun terasa diawang-awangan. Setiap saat seluruh tubuh digigit kesakitan.
"Cerita Setelah Sakit" merupakan pengalaman yang Cikgu Zul alami sendiri. Sepanjang tahun 2010, seluruh kehidupan diri saya digunakan untuk bekerja dan bekerja sahaja. Saya langsung tidak fikirkan kesihatan diri kerana tercabar dengan keputusan subjek yang saya ajar merundum dengan teruk dari segi peratusan dan GPS pada tahun 2009. Lantas, saya kuatkan tekad dan azam untuk mengembalikan kegemilangan lalu yang telah hilang bertahun lamanya. Sebagai guru berpengalaman, saya bagaikan tercabar dan rasa bersalah apabila pelajar-pelajar saya gagal merangkul kecemerlangan hanya disebabkan oleh subjek yang saya ajar iaitu Bahasa Malaysia STPM. Saya perah minda siang dan malam untuk membuat nota, memikirkan strategi, menyediakan panduan, menyemak latihan dan sebagainya. Lebih separuh daripada kehidupan saya difokuskan kepada akademik. Saya buat kelas tambahan, kelas pengayaan dan kelas pemulihan tanpa jemu. Walaupun rasa letih yang teramat saya gagahi jua untuk melangkah dan berpura-pura ceria di hadapan para pelajar demi suatu tekad iaitu mengembalikan semula kecemerlangan yang hilang itu. Alhamudillah, berkat kegigihan itu segalanya membuahkan hasil yang amat memuaskan.
Walau bagaimanapun, sewaktu saya sedang bergembira meraikan kejayaan pelajar-pelajar saya yang tersayang, saya tiba-tiba diserang sakit. Sakitnya teramat pedih. Dari pinggang hingga ke kaki bagaikan dicucuk-cucuk dengan belati tajam. Hendak ke bilik air pun kena merangkak. Seksanya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Hari-hari yang dilalui bagaikan meniti ranjau yang berduri. Walaupun sakit aku gagahi jua turun untuk mengajar dan berpura-pura sihat dihadapan rakan sejawat dan para pelajar tetapi emosi memang tidak dapat ditahan. Aku menjadi seorang guru yang mudah marah dan panas hati lantaran di samping mengajar aku juga terpaksa menahan rasa sakit yang teramat. Pergi ke hospital hanya diberi ubat penahan sakit sahaja oleh doktor. Lepas makan ubat sakitnya hilang untuk seketika tetapi selepas itu menyerang lagi untuk kesekian kalinya. Sakit memang sakit !.
Sebaik sahaja tamat hari persekolahan pada 11 Mac 2011 yang lepas aku bertekad untuk X-ray seluruh badan untuk mengesan punca rasa sakit yang tidak berpenghujung ini. Aku bertekad, jika ditahan di wad hospital pun biarlah disebabkan minggu hadapan adalah waktu cuti sekolah. Langkah pertamaku dihalakan ke salah sebuah hospital swasta di daerah Sibu. Keputusan X-ray kuserahkan kepada doktor pakar untuk dianalisis. Rupa-rupanya, tulang belakangku mulai retak. Setelah membuat bayaran di kaunter, akau diarahkan pergi mengambil ubat ke kaunter ubat. Kemarahan aku meledak apabila diberikan ubat gastrik dan panadol dengan bayaran melebihi RM200. Aku geram yang teramat sangat, sakit tulang belakang tetapi diberikan ubat gastrik dan penadol!. Aku pulangkan ubat tersebut kepada Si Pemberi untuk dia makan sendiri. Dalam kesakitan kugagahi jua ke kereta untuk memandu balik ke rumah sendiri.
Mungkin nasib aku agak baik, seorang kawan tiba-tiba menelefon untuk bertanya khabar. Lepas mendengar penerangan aku tentang kesakitan yang aku alami, dia mencadangkan diri untuk membawa aku berjumpa seorang tukang urut berbangsa Cina. Aku yang tidak berdaya hanya menurut sahaja. Lepas diurut oleh tukang urut selama dua jam, kesakitan yang aku alami hampir 80 peratus hilang. Rasa pening dan hendak muntah terus tiada. Aku kembali normal. Esoknya, aku pergi berurut lagi. Rasa sakit di pinggang hilang 100 peratus. Cuma dikaki masih ada mengigit sedikit sehingga ke hari ini tetapi aku bersyukur kerana aku mampu berjalan dan sehingga kini aku sudah pulih hampir 90 peratus. Harapanku, agar kesihatan aku pulih seperti sedia kala dan boleh menjalankan tugas-tugas sebagai pendidik dengan jayanya.
Aku tak tahu, apa rasionalnya aku berkongsi cerita ini dengan pembaca blog aku ini? Bagiku, kesihatan haruslah diutamakan sentiasa walau sesibuk mana pun kita kerana kita tidak tahu waktu kita akan sakit. Kadang-kadang kita terlalu ghairah dengan nikmat dunia sampai terlupa bahawa kita telah mengabaikan sesuatu yang amat berharga iaitu KESIHATAN DIRI KITA SENDIRI.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan