JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



14 Mac 2011

ISU ALAM SEKITAR : SIAP SEDIA HADAPI KESAN TSUNAMI YANG MELANDA JEPUN


Seluruh masyarakat antarabangsa bersimpati dengan Negara Matahari Terbit yang dilanda tragedi tsunami. Gambar dan video mengenai kejadian yang berlaku di timur laut Jepun itu dengan kekuatan 8.9 skala Richter amat mengharukan. Perkara yang paling membimbangkan sekarang ialah kesan susulan selepas tsunami. Sekarang Jepun berdepan bahaya kesan daripada loji nuklear Fukushima Daiichi 1 meletup dan terbakar. Ia dikhuatiri menyebarkan radiasi ke kawasan sekitar, negara-negara jiran serta Lautan Pasifik. Kejadian tsunami di Jepun nampaknya memberi kesan kepada seluruh dunia. Kesan segera yang lain ialah kedudukan ekonomi dan pasaran dunia yang sudah tentu akan terjejas kerana Jepun merupakan kuasa ekonomi dunia. Merana ekonomi Jepun bermakna perit juga ekonomi negara lain di dunia. Maknanya kita di Malaysia perlu bersedia menerima kesan-kesan secara langsung dan tidak langsung susulan tragedi tsunami di Jepun. Banyak yang perlu kita fikirkan segera dalam menangani kesan-kesan ekonomi yang boleh kita jangkakan, misalnya harga pasaran minyak dunia, turun naik harga pasaran komoditi dan lain-lain.

Hakikatnya, negara kita harus bersedia menghadapi semua jangkaan ini. Tragedi tsunami di Jepun ini juga mengingatkan kita supaya bersyukur kerana negara kita dilindungi daripada bahaya bencana gempa bumi dan tsunami. Namun begitu, kita tidak boleh terus leka dan ambil mudah bahawa gempa bumi dan tsunami tidak akan melanda Malaysia. Walaupun negara kita tidak terletak di dalam Lingkaran Api Pasifik tetapi kejadian tsunami pada Disember 2004 dan beberapa siri gegaran di kawasan tanah tinggi berhampiran Janda Baik akibat kesan gempa bumi di Sumatera adalah petanda bumi kita juga belum selamat. Mengambil pengajaran persediaan rakyat Jepun menghadapi tsunami Jumaat lalu, maka kita perlu melakukan perkara yang sama. Rakyat Malaysia kena bersiap sedia menghadapi sebarang malapetaka. Kita tidak boleh lambat bertindak selepas berlaku sesuatu bencana alam. Alangkah baiknya jika kita mempunyai kecekapan dalam sistem pengurusan bencana dan memiliki teknologi canggih yang dapat mengurangkan impak bencana alam.

Seperti di Jepun, jika boleh kita mahu kebanyakan pekan dan bandar disediakan sistem pembesar suara yang boleh menyalurkan maklumat kecemasan kepada penduduk.  Kanak-kanak perlu dilatih sejak kecil menyorok di bawah meja atau menyelamatkan diri semasa berlaku kecemasan. Semua masyarakat diberitahu di mana pusat penempatan sementara yang terdekat dengan kediaman mereka apabila berlaku bencana. Pendekatan masyarakat kita dalam menghadapi bencana banjir seperti pesta perlu diubah. Begitu juga murid sekolah yang hanya dilatih keluar segera dari bilik darjah apabila loceng kebakaran berdering.  Sedang kita masih tercari-cari kaedah mereka bentuk bangunan tinggi yang tahan gempa, mereka di negara maju sudah pergi jauh dengan memberi penekanan kepada pendidikan sebagai persediaan menghadapi bencana alam. Apa pun kita tidak dapat melawan kuasa dan takdir Tuhan, tapi kita harus berusaha mengurangkan kecelakaan.

UTUSAN MALAYSIA, 14 MAC 2011

Tiada ulasan: