Institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan, khususnya universiti adalah wadah untuk menimba ilmu. Pada masa sama, ia juga tempat melahirkan bakal pemimpin, profesional, ahli akademik, sasterawan, ahli korporat, pekerja mahir serta individu yang menguasai pelbagai cabang ilmu dan kemahiran. Bersandarkan kepada impian untuk ke menara gading, setiap tahun beribu-ribu pelajar memohon memasuki IPT. Namun, disebabkan tempat terhad ramai yang gagal, walaupun memiliki kelayakan. Apapun, sejak akhir-akhir ini wujud kebimbangan, IPT gagal melaksanakan tanggungjawab sebenarnya melahirkan insan berilmu berikutan ada kakitangan akademiknya terlalu leka berpolitik.
Ada antara warga akademik ini berlumba-lumba mengejar jawatan sehingga mengabaikan tugas hakiki, iaitu mengajar dan melakukan tugas penyelidikan. Kebimbangan itu, turut disuarakan Datuk Seri Najib Razak yang mahu tenaga akademik IPT tempatan tidak terlalu asyik berpolitik, termasuk mengejar jawatan tinggi sehingga mengabaikan tanggungjawab mendidik dan membentuk modal insan berkualiti. Perdana Menteri ketika berucap sempena lawatan rasmi beliau ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Pekan, kelmarin, tegas menyatakan rasa malu dengan senario itu dan mahu budaya tidak sihat itu dikikis, sebaliknya tenaga pengajar IPT memberi tumpuan kepada meningkatkan kualiti minda anak bangsa. Kita amat memahami hasrat Perdana Menteri itu, ketika beliau berusaha melakukan transformasi dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, sebaliknya IPT tempatan seakan statik dan berundur satu langkah ke belakang.
Yang jelas kita mahu IPT turut melakukan transformasi pada semua peringkat. Warga akademik, kakitangan dan pelajarnya perlu sanggup dan sedia berubah dan maju menuju kecemerlangan akademik setanding universiti asing. Justeru, pelantikan Naib Canselor atau Timbalan Naib Canselor mahupun pelbagai jawatan penting lain di universiti tidak sewajarnya turut dipolitikkan. Pelantikan individu untuk sesuatu jawatan itu sebenarnya satu amanah dan tanggungjawab berat. Mereka yang dilantik untuk jawatan itu sudah pasti melalui satu proses temu duga yang ketat, berdasarkan merit, pengalaman dan kelayakan tinggi diperlukan. Oleh itu, penyebaran surat layang mempersoalkan pelantikan seseorang Naib Canselor atau Timbalan Naib Canselor, pada masa sama, melobi untuk individu tertentu bagi memenuhi jawatan itu tidak sepatutnya timbul. Dalam kelompok komuniti universiti yang didiami golongan cerdik pandai, sememangnya akan ada segelintir yang tidak berpuas hati terhadap sesuatu pelantikan itu.
Sudah pasti akan ada dalam kalangan warga akademik yang berasakan mereka lebih layak menjawat sesuatu jawatan berdasarkan prestasi semasa. Namun, hakikatnya pelantikan perlu dibuat dan tugas mentadbir serta mengurus universiti perlu diteruskan bagi memastikan semua aspek berkaitan pembelajaran dan pengurusan pelajar berjalan lancar. Kita tidak mahu ketika universiti tempatan terlalu mengejar ranking untuk berada dalam kelompok terbaik dunia, pihak universiti mungkin terlepas pandang bahawa ia bukan segala-galanya. Reputasi sesebuah universiti bukan saja diukur daripada prestasi akademiknya, tetapi sejauh mana kakitangan akademiknya dapat berinteraksi secara berkesan dengan pelajar dan seterusnya memenuhi keperluan intelektualnya. Malah, lebih penting sejauh mana IPT dapat melahirkan pelajar yang dapat memenuhi keperluan negara dalam pelbagai bidang mengikut acuan kita sendiri.
BERITA HARIAN, 14 MAC 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan