Rusuhan di Mesir berlanjutan lebih seminggu. Kita berasa bimbang keselamatan warga Malaysia di sana kerana banyak kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa dilaporkan. Sehingga kini tunjuk perasaan bukan saja berlaku di Mesir tetapi menular ke Kedutaan Mesir di London dan Amerika Syarikat. Rakyat yang merusuh tidak mengendahkan tindakan Presiden Hosni Mubarak (yang memerintah 30 tahun) membuat sedikit perubahan dalam pemerintahan dengan melantik Naib Presiden dan Perdana Menteri baru. Ini kerana rakyat sudah tidak mahukan itu.
Apa yang rakyat mahukan ialah perubahan yang lebih besar. Rakyat Mesir menuntut perubahan pimpinan atau pertukaran regim pemerintah. Apa yang berlaku ini khususnya, adalah natijah daripada rasa tidak puas hati rakyat negara berkenaan terhadap pemimpinnya. Mungkin tidak silap untuk saya gambarkan keadaan di Mesir ini sebagai satu ‘revolusi’ walaupun ada yang menganggap ia hanyalah rusuhan yang membabitkan kehilangan nyawa. Saya katakan keadaan ini sebagai revolusi kerana sifatnya yang menggunakan tekanan dan mahukan perubahan besar. Ia mungkin berbeza dengan apa yang dinamakan evolusi, yang lebih bersifat beransur-ansur dan mengikut peringkat yang dirancang secara lebih bersistematik. Secara umum, perkara seperti ini bukan perkara baru di serata dunia.
Terdahulu, kita sering merujuk kepada revolusi seperti revolusi Perancis, Nazi dan komunis. Tujuan revolusi ialah menuntut perubahan di dalam sistem pentadbiran kerana tumpuan kuasa kepada pemerintah yang tidak bertanggungjawab. Revolusi ini berlaku dengan satu persamaan, iaitu perasaan tidak puas hati rakyat kepada pemerintah, sama ada dalam aspek ideologi, agama, politik, sosial atau ekonomi. Jika dilihat kepada sejarah, Mesir sudah mengalami dua revolusi penting dalam dua episod berbeza – masing-masing pada 1919 dan 1952. Kedua-duanya memaparkan kisah yang lebih kurang serupa, iaitu menentang pemerintahan dan seterusnya membina pemerintahan yang baru. Revolusi 1919 memberikan kemerdekaan kepada Mesir daripada British.
Revolusi kedua, yang bermula pada 1952, menjadikan Mesir sebuah negara republik dengan menghapuskan sistem beraja. Selepas penghapusan sistem beraja dalam revolusi kedua, Mesir mengamalkan sistem republik. Setelah sistem republik ini diamalkan, rakyat masih juga belum berpuas hati kerana pemimpin dikatakan gagal memenuhi kehendak rakyat. Ini dapat di lihat di dalam senario kehidupan rakyat Mesir yang terpaksa menelan ketidakdilan sosial di bawah pimpinan Presiden Hosni Mubarak. Penghapusan kuasa raja tetap gagal membebaskan Mesir daripada ketidakadilan sosial. Pemerintahan sistem republik umpama di Mesir ini saya anggap sebagai satu kegagalan. Ini kerana ‘demokrasi’ yang sebegini masih membuka ruang kepada penumpuan kuasa kepada pemerintah.
Satu perkara lain yang menjadi perhatian banyak pihak di dalam perkembangan mutakhir di Mesir ialah penggunaan media baru. Rakyat berhubung melalui internet seperti laman web sosial, terutama Twitter atau Facebook untuk mengumpul pendapat dan menyusun strategi. Tindakan kerajaan Mesir menyekat akses internet dan laman web sosial ini seolah-olah masih belum mampu membendung rakyat daripada terus membuat rusuhan dengan menjadikan laman sosial ini sebagai penghubung. Semua kita menyedari akan hakikat pengaruh besar laman sosial ini dalam rusuhan di Mesir. Mungkin saya bukan orang terbaik untuk mengulas apa yang telah, sedang atau yang akan berlaku di Mesir akibat daripada penghapusan kuasa raja, sistem republik yang memberi penumpuan kuasa presiden dan juga penggunaan internet.
Namun begitu, apa yang menjadikan saya berminat untuk sentiasa menatap perkembangan terkini di persada dunia (bukan saja di Mesir) ialah untuk menjadikan ia teladan, ataupun sempadan kepada kita di Malaysia. Semoga perkembangan di negara lain memberi pengajaran kepada kita yang menetap di negara yang aman, makmur dan sejahtera ini. Ia boleh mengajar kita supaya lebih berhati-hati menjalankan hak, kuasa dan amanah. Ia juga dapat memberikan kita panduan agar peristiwa berdarah seperti ini tidak berlaku di negara kita. Ia semestinya dapat memberikan kita peringatan supaya sentiasa menjaga kemakmuran dan kestabilan negara. Antara pengajaran yang dapat kita lihat di sini ialah, semua pihak, sama ada pemimpin atau rakyat, mempunyai tanggungjawab masing-masing. Segala tanggungjawab yang terletak di atas bahu setiap kita bukanlah sesuatu yang mudah.
Ia adalah amanah dan tidak boleh dikendalikan secara sambil lewa. Ia perlu dilaksana dengan adil dan saksama. Penumpuan kuasa kepada sesiapa saja amat jelas akan mendatangkan keburukan. Sementara itu perubahan di dalam sistem pentadbiran (perubahan daripada sistem beraja kepada sistem republik) tidak semestinya mendatangkan kebaikan – bahkan ia mungkin lebih mendatangkan keburukan. Ini kerana, apa yang telah dilihat sebagai elok dan baik di luar negara tidak semestinya elok dan baik untuk negara kita. Selain itu, penggunaan komunikasi moden perlulah dikendali sebaik mungkin. Mekanisme komunikasi ini perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab supaya ia tidak menjadi pendorong kepada pertumpahan darah dan kemusnahan. Semoga kita kekal dalam sistem yang telah membawa kecemerlangan kepada negara dan kekal mengecapi nikmat kemerdekaan dan kemodenan.
OLEH :
Shamrahayu A Aziz
Penolong Profesor
Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM
BERITA HARIAN
01 FEBRUARI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan