JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



01 Februari 2011

ISU SOSIAL : ISU KEBERSIHAN, KEMUDAHAN ASAS FOKUS UTAMA KUALA LUMPUR


Hari ini Bandar Raya Kuala Lumpur berusia 37 tahun. Banyak program pembangunan dirancang dan dilaksanakan bagi meningkatkan taraf kehidupan di ibu kota. Sebagai bandar raya bertaraf dunia, Kuala Lumpur harus memastikan infrastruktur, persekitaran, pengurusan bandar dan kemudahan masyarakat memenuhi harapan tinggi penduduk, pekerja, pelawat dan pelabur. Namun, apa yang dihasratkan itu tidak dicapai sepenuhnya walaupun pada mata kasar kita tidak nampak kepincangannya. Pelancong yang menginap di hotel lima bintang mungkin boleh membuat andaian bahawa bandar raya ini memang bersih dan tahap pemikiran penduduknya tinggi. Malah, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen, baru-baru ini dilaporkan berkata majoriti pelancong asing mengakui Malaysia negara cantik, namun mempunyai masalah kebersihan. 

Antara aspek kebersihan yang sering dibangkitkan pelawat membabitkan gerai makan, longkang dan tandas. Rata-rata gerai makan di kota ini kotor, begitu juga kebanyakan restoran, terutama di luar kawasan pusat bandar. Kata orang, kalau hendak makan di gerai atau restoran, jangan ke tandas atau dapurnya, nanti hilang selera. Benarkah? Menurut cerita seorang rakan yang membawa keluarganya makan di sebuah medan selera berdekatan Kuala Lumpur baru-baru ini, ketika makan, lipas berkeliaran di kakinya, menandakan gerai itu memang kotor sehingga lipas pun berani keluar dari bawah meja makan. Mereka terus berhenti makan dan beredar selepas membayar harga yang tidak setimpal dengan makanan dan tahap kebersihannya.  Tahap kebersihan di kawasan perumahan juga seperti tidak ada penguatkuasaan. Di kebanyakan kawasan, tiada tong sampah disediakan, dan kalau adapun tidak dijaga dengan betul oleh pengguna dan pihak berkuasa.

Yen Yen menarik perhatian bahawa aspek kebersihan itu akan kekal menjadi masalah jika rakyat di negara ini tidak menjadikannya amalan kehidupan. Dalam satu lagi insiden, Menteri Pelancongan juga terkejut apabila Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menghantar sistem pesanan ringkas (SMS), menyatakan pelancong dari London merungut mengenai tahap kebersihan di negara ini.  Susulan laporan akhbar itu, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusof, berkata pihaknya melakukan usaha berterusan memantau serta mempertingkatkan tahap kebersihan di sekitar ibu kota bagi mengelak berlaku pencemaran dan sampah sarap. Kenyataan retoriknya bagaimanapun tidak meyakinkan banyak pihak.  Salleh sepatutnya mengajak menteri dan Datuk Bandar meninjau kawasan di Gombak, Sentul, Cheras dan lain-lain bagi melihat sendiri keadaan di sana. Mereka perlu masuk ke Kampung Padang Balang dan melihat sendiri sampah bertaburan seolah-olah ia bukan kawasan DBKL.

Bagi melihat sendiri keadaan di bawah, adalah wajar Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Raja Nong Cik Raja Zainal Abidin, mengamalkan konsep turun padang dan tidak hanya menunggu laporan pegawai di pejabat. Kadangkala laporan yang diterima dalam mesyuarat tidak mencerminkan keadaan sebenar di kawasan yang ditadbir.  Cuba bayangkan Kuala Lumpur sebagai sebuah kawasan penduduk yang cantik, bersih, nyaman dan segar. Pembahagi jalan dan tepi jalan dihias dengan landskap dan pokok bunga indah. Lampu jalannya berfungsi dengan elok bagi menerangi kegelapan malam. Bandar raya ini juga sering menghadapi masalah jalan raya berlubang sehingga menyebabkan pemandu terpaksa mengelaknya ketika memandu. Sering juga penunggang motosikal menjadi mangsa kerana keadaan jalan tidak rata, kata Timbalan Pengerusi Komuniti Bestari Jelatek, Jabar Sarpin.

Kita berharap Kuala Lumpur menjadi bandar raya selamat, bebas daripada kejadian ragut dan jenayah lain, serta tidak terus mengalami kesesakan jalan raya, seperti di bandar raya lain. Begitulah impian dan harapan warga kota yang sudah berusia 37 tahun ini. Rasanya tidak perlu bagi kita menunggu sehingga 2020 untuk menikmati segala kemudahan itu.  Selain itu Jabar berharap masalah meletak kenderaan diatasi bukan saja dalam bandar bahkan di kawasan seperti rumah pangsa. Pihak berkuasa, katanya, tidak harus menyaman pemilik kenderaan kerana meletakkan kereta atau motosikal di tempat lain kerana kawasan meletak kenderaan amat terhad. Masalah lain meliputi jalan keluar masuk ke taman perumahan yang tidak teratur. Malah ada kawasan yang mempunyai beberapa taman dengan jumlah penduduk ramai, tetapi hanya satu jalan keluar masuk, seperti yang dihadapi penduduk di Taman Melewar, Taman Changkat Desa dan Taman Koperasi Polis Fasa Satu.

Selain itu, kita berharap Kuala Lumpur menjadi bandar raya selamat dan bebas daripada kejadian ragut dan jenayah lain, serta tidak terus menerus mengalami kesesakan jalan raya, seperti di bandar raya lain. Begitulah impian dan harapan warga kota yang sudah berusia 37 tahun ini. Rasanya tidak perlu bagi kita menunggu sehingga 2020 untuk menikmati segala kemudahan itu.

OLEH :
Oleh Razak Rashid Ghows
BERITA HARIAN
01 FEBRUARI 2011

1 ulasan:

Penditakainsingkat berkata...

Salam Cikgu Zul,

Blog Sdra sangat baik dan bermanfaat kepada banyak pihak terutamanya para pelajar.

Teruskan dan anggap sebagai sumbangan ikhlas untuk membantu masyarakat terutama generasi muda.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.