Komunikasi sering menjadi alat yang menakjubkan. Ia boleh menghubungkan sesama manusia selain mendekatkan yang jauh, atau merenggangkan yang dekat. Ia menjadi sebahagian daripada strategi kehidupan. Akhbar, majalah, radio dan televisyen sejak 1800 sudah menjadi wahana sejagat yang amat ghairah. Manusia mendekatinya kerana komunikasi sebahagian daripada pencetus tamadun baru dunia. Hari ini internet, laman web, facebook dan twitter memberi tafsiran berbeza terhadap erti kebebasan media itu sendiri. Sebelum tentera Jepun menyerbu Pearl Harbor, radio menjadi alat sebaran am terpenting. Perisik Negara Matahari Terbit menyerbu wilayah timur Amerika Syarikat (AS) di pesisir Lautan Pasifik ketika pertukaran jam kerja ketenteraan.
Mereka menafsir arah angin dan bentuk gelombang di lautan. Mereka merisik kegiatan tentera AS dan mendapatkan maklumat sebelum menyerbu pantai dan ruang udara. Alat komunikasi mempunyai natijah tersendiri ketika perancangan peperangan. Di Tanah Melayu dan Indonesia, ramai penduduk tempatan ditahan dan diseksa tentera Jepun semata-mata kerana memiliki radio. Memiliki alat sebaran am dianggap mencelikkan minda dan boleh mengubah strategi penjajahan. Komunikasi juga boleh menghasut rakyat menentang penguasa atau mendedahkan sikap diktator seseorang tokoh kepada massa.
Menjelang kemerdekaan negara, pejuang kebangsaan sebahagian besar menggunakan media untuk menggerakkan rakyat menentang penjajah. Pak Sako, A Samad Ismail, Said Zahari, Usman Awang dan Keris Mas adalah pewaris perjuangan Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob dan tokoh media lain menggerakkan pemikiran massa. Mereka menggunakan media untuk membangkitkan kecintaan terhadap makna kebebasan itu sendiri. Mereka melaporkan dan ada masanya, menggunakan genre puisi dan cerpen untuk menyedarkan makna kebebasan. Presiden Sukarno pula menggunakan medium ‘surat layang’ ketika menggerakkan usaha mengganyang Malaysia pada era konfrontasi pada 1960-an. Pelbagai propaganda Indonesia Raya dan kesatuan bangsa serumpun dipergunakan semata-mata mahu menghalang penubuhan Malaysia yang lebih berdaulat.
Ketika era Perang Dingin yang membabitkan persaingan Pakatan Atlantik Utara (Nato) yang didokong AS dan Pakatan Warsaw (blok komunis Eropah Timur) yang diketuai Soviet Union, alat komunikasi menjadi senjata penting untuk mencuri maklumat pihak musuh. Negara komunis yang diasuh oleh KGB (Komitet Gosudarstvennoy Bezopasnosti) tidak kalah bersaing dengan Agensi Perisik Pusat (CIA) AS dari segi penguasaan maklumat dan mempengaruhi massa. Menguasai sebaran am dianggap kemenangan mutlak dalam persaingan Nato dan Pakatan Warsaw. Ketika runtuh Tembok Berlin dan hancurnya Soviet Union, media massa terus berperanan menghebahkan kegagalan sistem sosialis dan kejayaan golongan kapitalis naungan AS dan Britain.
Rumah Putih dan penghuninya dianggap manusia paling berpengaruh di dunia. Media massa mengangkat dan mengiktiraf kehebatan demokrasi dan kapitalis Barat. Golongan sekular dianggap terbaik dan institusi agama dituduh fanatik, pengganas, jumud dan pengikut Taliban! Kerajaan China pula memperkenalkan ‘Green Dam’ ketika kebangkitan prodemokrasi di Beijing. Negara komunis itu tidak mahu penyaluran maklumat yang bebas bakal meruntuhkan Revolusi Kebudayaan yang digerakkan Mao Tse Tung empat dekad sebelumnya. Membenarkan kebebasan media seperti mengundang kehancuran sesebuah sistem yang dianuti sebelumnya.
Di Malaysia, peranan internet dan media baru menjadi pencabar utama sebaran am tradisional. Menjelang akhir 1998, media baru mencetuskan budaya tersendiri di negara ini. Ada masanya, pertuduhan dan pendakwaan memadai melalui internet saja. Media baru sudah menggerakkan pemikiran generasi muda dengan ritma tersendiri. Seseorang boleh didapati ‘bersalah’ dan ulangi bersalah menerusi laman blog dan portal berita. Tiada siapa yang bebas untuk menyelamatkan diri kerana media baru sudah mendapat reputasi hebat untuk merayakan kebebasan media.
Ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Koridor Raya Multimedia, kerajaan menyediakan Bill of Guarantees, yang memberikan jaminan kebebasan internet dan bermaklumat seperti dimiliki negara maju lain. Bagaimanapun takrif kebebasan itu sendiri mencetuskan polemik kerana sering tersasar daripada matlamat. Jika kebebasan ditakrifkan bebas untuk menuduh seseorang tanpa bukti dan menyalahi hak peribadinya, apakah ia perlu dibenarkan? Pada sisi lain pula, pindaan Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 (PPPA) boleh merisaukan banyak pihak. Mungkinkah media baru turut terpalit dengan peraturan dan larangan pemberitaan jika ia mempunyai asas untuk disiarkan kepada umum? Apakah media baru akan setaraf media tradisional?
Polemik ini bakal mencetuskan perdebatan tidak berkesudahan. Ketika ada pihak berasakan media baru perlu diberi kuasa lebih meluas untuk menyalurkan pendapat dan menyebar maklumat, pihak sama juga perlu menyedari kesan maklumat yang tidak benar dan dakwaan melulu. Kawalan melulu terhadap media bakal mencetuskan penentangan berterusan. Ia boleh diterjemahkan menerusi peti undi kerana media menjadi kuasa ketiga di sesebuah negara, selain institusi pemerintahan dan perundangan. Larangan penyiaran terhadap sesuatu isu boleh mengundang tohmahan tidak berkesudahan. Kerajaan boleh menggunakan Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi jika sesuatu laporan itu boleh menjejaskan keselamatan awam.
Tentunya media baru menjadi perayaan sejagat jika alat komuniksi dipergunakan untuk penyebaran maklumat, bukan tohmahan melulu. Tentunya kebebasan itu sendiri memberi kesan besar kepada pemikiran sejagat kerana menjadi naluri manusia untuk bebas daripada penguasaan pemikiran orang lain. Persaingan media baru dan media tradisional tentunya terus tidak berkesudahan. Yang beruntung adalah proses komunikasi itu sendiri kerana ia memberi pilihan kepada pecintanya!
OLEH : IMLAN ADABI
BERITA HARIAN
01 FEBRUARI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan