JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



01 Februari 2011

ISU ALAM SEKITAR : MALAYSIA PERLU SISTEM AMARAN AWAL HADAPI BENCANA BANJIR


Teknologi sekarang membolehkan bencana alam seperti letusan gunung berapi, gempa bumi dan tsunami dapat dikesan lebih awal, sekali gus mampu menyelamatkan lebih banyak nyawa manusia, harta benda dan haiwan ternakan. Misalnya, sistem amaran awal gempa bumi di Jepun telah terbukti mampu memberi masa yang cukup kepada penduduk untuk bersedia menyelamatkan diri. Peralatan yang digunakan membolehkan amaran awal dikeluarkan empat saat sejurus gegaran pertama dikesan yang kemudiannya disebarkan kepada penduduk melalui stesen televisyen dan radio tempatan. Gempa bumi tidak berlaku di negara kita, tetapi kita sentiasa terdedah dengan bencana banjir.

Justeru, sudah tiba masanya kita mempunyai teknologi untuk mengesan lebih awal limpahan air dari tebing-tebing sungai ke kawasan berpenduduk. Setakat ini, negara hanya mempunyai sistem amaran tsunami. Itupun ia diperkenalkan selepas 66 nyawa penduduk melayang di Kedah dan Pulau Pinang dalam kejadian tsunami 2004. Kita tidak mahu hanya apabila begitu banyak nyawa penduduk melayang, barulah satu sistem diperkenalkan untuk memberi amaran awal kepada penduduk tentang bahaya yang menanti. Setakat semalam, sebanyak dua nyawa melayang di Johor iaitu Rohani Ismail, 51, ditemui mati di Chaah selepas keretanya dihanyutkan arus deras. Manakala satu lagi tragedi berlaku di Kulaijaya apabila Aw Yoke Lin, 53, ditemui lemas selepas keretanya terhumban ke dalam sebuah sungai di Kampung Rahmat.

Memanglah ajal dan maut di tangan Tuhan, tetapi sekurang-kurangnya ada usaha dilakukan untuk mengelakkan kecelakaan. Untuk itu, sistem amaran awal banjir perlu ditempatkan di beberapa lokasi bagi mengelakkan tragedi berulang. Lihat saja banjir yang melanda Labis, Segamat, Kluang, Ledang dan beberapa daerah lain di Johor sejak tiga hari lalu. Kesannya begitu buruk sehingga menjejaskan keinginan rakyat untuk keluar membuang undi dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada Ahad lalu. Malah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri turut terperangkap ketika meninjau beberapa pusat pembuangan undi dan terpaksa menaiki trak tentera untuk keluar dari kawasan banjir.

Kita mempunyai banyak pakar dan ahli sains yang belajar tinggi sehingga ke luar negara dan tentulah ada di antara mereka mampu mencipta peralatan yang boleh digunakan untuk mengesan bilakah tebing sungai mulai dilimpahi air dan selama mana masa diperlukan untuk limpahan air itu sampai ke kawasan penduduk. Para penyelidik di institusi pengajian tinggi awam atau swasta serta institusi penyelidikan boleh bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Jabatan Meteorologi Malaysia bagi mencari kaedah yang sesuai. Peralatan yang boleh diberi apa nama sekalipun itu juga mampu digunakan untuk memberitahu penduduk tentang jalan raya-jalan raya yang tidak selamat untuk ditempuhi serta kawasan-kawasan yang tidak boleh dilalui kenderaan.

Justeru, saranan Muhyiddin agar agensi-agensi kerajaan berbincang bagi mencari kaedah memperkenalkan sistem amaran awal banjir yang lebih berkesan perlu dilaksanakan segera. Janganlah sudah terhantuk baru tengadah. Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, Muhyiddin tentu lebih faham keperluan mendesak rakyat dalam menghadapi bencana banjir. Sistem amaran awal banjir itu bukan saja dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa penduduk, malah harta benda termasuk haiwan ternakan juga dapat segera diselamatkan dengan lebih berkesan dengan bantuan pasukan penyelamat.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
01 FEBRUARI 2011

Tiada ulasan: