JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



24 Januari 2011

ISU ICT : SKMM PERLU PANTAU PENULIS BLOG UNTUK ELAK MUNCUL "PENULIS UPAHAN"

Kemunculan media baru, khususnya blog dan laman sosial seperti Facebook dan Twitter kini menjadi alternatif masyarakat dalam mendapatkan maklumat, selain media konvensional seperti akhbar dan saluran televisyen. Kecanggihan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), khususnya internet memudahkan orang ramai mencapai maklumat secara lebih pantas dan mudah. Apatah lagi penembusan jalur lebar negara kita kini mencecah lebih 50 peratus. Kita tidak dapat menolak media baru mempunyai tarikan tersendiri mempengaruhi orang ramai. Justeru, jika seseorang itu mampu mengeksploitasi blog ini dengan menjadikannya medan perniagaan seperti menawarkan perkhidmatan, jualan dan pengiklanan secara kreatif, sudah pasti ia satu bentuk perniagaan baru yang menguntungkan. Akhbar ini kelmarin mendedahkan penulis blog mampu meraih keuntungan lumayan mencecah jutaan ringgit setahun. Pengendali blog yang konsisten, termasuk menggunakan kisah peribadi sebagai tarikan utama, mampu memperoleh pendapatan purata RM500,000 hingga RM700,000 dalam tempoh tujuh bulan atau purata hingga RM70,000 sebulan. Tawaran perniagaan di blog menyusul selepas kisah politik, peribadi dan komuniti, malah ia amat berkesan dalam menyampaikan mesej dalam dunia moden serta pantas dalam pencarian maklumat. Kita percaya jika penulis blog ini memanfaatkan kemahiran, daya kreativiti, potensi dan populariti mereka, ia mampu menjana pendapatan yang tinggi. Selain artis yang dapat menjana pendapatan tinggi dengan populariti mereka ketika ini, kini penulis blog juga boleh melakukan perkara sama melalui media alternatif ini. 

Yang pasti kemunculan blog ini berupaya mempengaruhi pandangan dan pendapat orang ramai dalam memperkatakan mengenai sesuatu isu. Ia jelas kelihatan, terutama ketika negara berhadapan dengan sesuatu pilihan raya umum atau kecil. Mahu atau tidak, kedua-dua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang akan menggunakan sepenuhnya blog ini untuk menjelaskan sesuatu perkara atau menangkis tohmahan lawan. Namun, pada masa sama kita bimbang ada laman blog yang disalahgunakan untuk tujuan memfitnah, membuat tohmahan dan menyebarkan pemikiran, malah ideologi yang bertentangan dengan kerukunan hidup masyarakat majmuk dan beragama di negara ini. Kita dapati ada penulis blog yang memaparkan pelbagai fitnah dan tuduhan tidak berasas bagi memenuhi agenda pihak tertentu walaupun tanpa bukti kukuh. Lebih buruk ia bebas menggunakan bukti palsu bagi menimbulkan kebencian kepada pihak lain. Malah, dalam dunia tanpa sempadan, kita turut berhadapan dengan cabaran pendedahan maklumat seperti isu kebocoran maklumat sulit menerusi laman WikiLeaks yang membabitkan penyaluran keluar pelbagai rahsia di beberapa negara. Laman WikiLeaks diasaskan pada 2006 oleh Julian Assange mencetuskan kontroversi global apabila ia mendedahkan rahsia diplomatik dan dokumen tentera kerajaan Amerika Syarikat. Justeru, apa yang kita harapkan penulis blog lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan pandangan dan idea mereka. Kita mahu mereka lebih beretika serta mengambil kira kesan yang mereka boleh cetuskan jika pandangan mereka membabitkan unsur provokasi. Kita tidak mahu wujudnya ‘penulis blog upahan’ bagi melaksanakan agenda pihak yang berkepentingan. Walaupun akhirnya orang ramai yang akan menentukan kesahihan sesuatu berita, adalah tidak adil bagi mereka untuk membuat pertimbangan jika terlebih dulu disogokkan dengan bukti palsu. Apapun kita mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa memantau kegiatan penulis blog ini. Kebebasan menyuarakan pandangan dan pendapat, bukanlah satu kebebasan mutlak sehingga boleh memporak-perandakan negara.

RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
24 JANUARI 2011

Tiada ulasan: