Apabila menyebut tentang sampah, ia boleh ditemui di mana-mana pelosok di negara ini. Ia boleh ditemui di tepi-tepi jalan, berlonggok di belakang rumah, tersangkut di dalam sungai, terhampar di tepian pantai, malah di ceruk bukit-bukau dan gunung ganang sekalipun, sampah boleh ditemui. Ia bukan saja satu pemandangan yang menyakitkan mata, malah menyakitkan hati dan deria bau pula tidak terhidu dek busuknya sampah yang mula dimakan ulat. Itulah gambaran sebenar keadaan sampah di negara kita sehinggakan laporan muka depan akhbar ini semalam menyebut mengenai timbunan sampah yang dikumpul dalam masa lima hari boleh menutupi seluruh negeri Perlis!
Begitu sekali banyaknya sampah yang dibuang oleh penduduk negara ini. Kita tahu sampah-sarap yang berlonggok itu bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah mengeluarkan bau busuk serta mengundang pelbagai penyakit bawaan anjing atau kucing liar, tikus, lipas dan lalat. Ada beberapa penyakit yang boleh membawa maut seperti kencing tikus yang begitu berbahaya jika lambat dirawat. Lebih memburukkan keadaan kerana sampah yang dikumpul itu semakin bertambah dari sehari ke sehari, ekoran pertambahan isi rumah termasuk kehadiran pendatang asing yang kini dianggarkan berjumlah tiga juta orang. Ringkasnya, semakin bertambah penduduk maka semakin banyaklah sampah yang terpaksa dikutip, diangkut, dikumpul dan dilupuskan. Hari ini kita menyaksikan kira-kira 30,000 tan sampah dibuang oleh isi rumah sehari atau 10,950,000 tan sampah dalam setahun. Itu statistik sekarang melibatkan kira-kira 28 juta penduduk negara. Bayangkan, timbunan sampah yang lebih tinggi pada masa akan datang dengan penduduk yang bertambah berkali-kali ganda.
Tentu banyak pihak bingung memikirkan tentang bagaimana atau apa yang perlu dan sesuai dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut. Sebelum ini, banyak usaha telah dilakukan termasuk kempen kitar semula, kempen cintai sungai kita, pembinaan insinerator di beberapa lokasi di seluruh negara bagi melupuskan sampah secara moden dan lain-lain. Namun, boleh dikatakan kesemua kempen dan usaha itu gagal dilaksanakan. Hanya insinerator mini dibenarkan dan ia tentulah tidak cukup. Mahu membina insinerator bersaiz besar seperti di Kampung Broga, Semenyih, Selangor beberapa tahun lalu, masyarakat pula membantahnya. Campur tangan politik memburukkan keadaan dan akhirnya projek itu terpaksa dibatalkan dengan alasan kos terlalu tinggi. Bukan masanya sekarang untuk mengulas kenapa banyak usaha dan kempen yang dijalankan untuk memelihara alam sekitar daripada pencemaran sampah gagal. Yang lepas biarkan berlalu. Sebaliknya, kita perlu melihat jauh ke hadapan bagaimana menghadapi lautan sampah yang semakin menyesakkan itu. Sebagai permulaan awal, kanak-kanak perlu diberi pengetahuan tentang sampah.
Pendidikan berterusan mengenai pengurusan sampah yang betul dalam kalangan kanak-kanak akan membentuk jiwa yang menyayangi alam sekitar lebih daripada kepentingan lain. Ada orang sanggup mengadakan pelbagai demonstrasi di merata dunia untuk menyelamatkan alam sekitar. Banyak aktivis alam sekitar berjuang demi memastikan kelestarian kehidupan di muka bumi ini. Ia usaha individu dan kumpulan tertentu. Justeru, mengharapkan kerajaan semata-mata untuk menyelamatkan bumi daripada timbunan sampah, tentulah tidak memadai. Ia usaha setiap penduduk dan bagi pihak kerajaan pula, jangan mudah tunduk kepada tekanan politik untuk menjayakan projek besar demi penduduk. Hakikatnya, teknologi insinerator selamat digunakan di banyak negara termasuk Singapura di mana penghasilan gas dioksin yang menggusarkan sesetengah pihak adalah di bawah paras bahaya. Justeru, pembinaan insinerator untuk pelupusan sampah mungkin menjadi jalan penyelesaian. Sungguhpun begitu, insinerator yang dibina itu mestilah jauh dari penempatan penduduk dan itu bermakna kita perlu mencari kawasan yang tidak didiami oleh sesiapa bagi membinanya.
UTUSAN MALAYSIA
24 JANUARI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan