24 Januari 2011

ISU ALAM SEKITAR : KENAPA KEMPEN PEMBUANGAN SAMPAH TERUS GAGAL?


Masalah pembuangan sampah yang semakin tinggi oleh rakyat Malaysia nampaknya masih tidak ada jalan penyelesaian. Program kesedaran yang dilancarkan dan yang digerakkan oleh agensi kerajaan yang diamanahkan masih gagal menyedarkan rakyat. Sikap keprihatinan rakyat terhadap masalah sampah yang semakin meruncing, nampaknya tidak wujud di hati rakyat. Tong-tong sampah kitar semula yang diletakkan di beberapa tempat, juga tidak mendapat sambutan rakyat. Di manakah silapnya? Adakah ketamadunan rakyat Malaysia terhadap kebersihan sudah terhakis atau kempen-kempen kesedaran yang dilancarkan tidak sebaik seperti kempen 'Tak Nak' yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Saya sebagai rakyat yang prihatin terhadap masalah sampah, amat kecewa dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang suka membuang sampah di merata-rata. Mereka tidak memikirkan akibat di kemudian hari, jika sampah-sampah yang dibuang akan tersangkut di dalam longkang dan ia boleh menyebabkan longkang-longkang tersebut tersumbat. Jika hujan lebat berterusan, ia akan mengakibatkan masalah banjir jika masalah longkang tersumbat tidak diatasi segera. Kemudian, rakyat yang menghadapi masalah banjir akan memarahi dan menuduh kerajaan gagal menjalankan tugas sehingga mengakibatkan banjir, sedangkan sebahagian punca banjir adalah kerana aliran longkang dan sungai tidak teratur akibat banyaknya sampah yang tersangkut di dasar sungai dan longkang. Walaupun kerajaan telah berbelanja ribuan dan jutaan ringgit bagi menangani masalah banjir, namun kerana ada segelintir rakyat yang tidak prihatin ini (suka membuang sampah di merata-rata tempat), ia telah mengakibatkan sebahagian besar rakyat merana kerana masalah banjir yang berpunca daripada aliran air yang tersangkut dari longkang-longkang yang sepatutnya mengalirkan air terus ke sungai dan kawasan tadahan. Namun, saya tidak hanya ingin menyalahkan 'segelintir rakyat yang tidak prihatin' ini, tetapi kesalahan juga harus dipikul dan ditanggung bersama oleh agensi kerajaan yang telah diamanahkan oleh kerajaan persekutuan untuk menangani masalah sampah ini. Kempen kesedaran pembuangan sampah yang kosnya berharga ratusan dan jutaan ringgit telah dihabiskan oleh agensi tersebut, namun impaknya masih gagal dan tidak berjaya menukar minda rakyat mengenai masalah pembuangan sampah yang betul. 

Malah saya difahamkan masalah ketidakmampuan mengurus sampah di beberapa tempat pengumpulan sampah juga semakin meruncing. Ini menunjukkan sikap rakyat dalam pembuangan sampah masih kekal sama dan gagal diperbetulkan. Soalnya, tidakkah pegawai-pegawai di agensi sisa pepejal negara tidak melihat perkara ini sebagai kegagalan dari agensi tersebut? Atau mereka ini tahu bahawa kerajaan akan sentiasa memberikan dana untuk mereka habiskan dengan membina beberapa lagi cadangan kempen kesedaran tanpa ingin mengetahui sejauh mana kempen tersebut berjaya. Inilah hakikatnya yang perlu kerajaan tahu iaitu sikap segelintir pegawai-pegawai kerajaan yang tidak mementingkan kepuasan dan kepentingan rakyat. Yang mereka tahu dan lakukan setiap hari ialah membuat kerja bagi mencukupkan masa kerja harian sahaja dan menuntut bayaran lebih masa jika disambung kerja pada waktu petang tanpa melihat keberhasilan kerja yang dilaksanakan, 'adakah ia dapat menyelesaikan masalah kerajaan dan rakyat'?. Sikap tidak profesional segelintir ketua-ketua jabatan dan ketua pegawai eksekutif (syarikat berkaitan kerajaan, GLC) juga telah merencatkan perjalanan kerajaan dalam memastikan 'rakyat didahulukan' dan 'pencapaian diutamakan'. Kegagalan dan ketidakcekapan pegawai tertinggi ini juga telah menyebabkan rakyat 'menunjukkan' kemarahan kepada kerajaan, sedangkan 'mereka' ini yang sepatutnya dipersalahkan. Di sini saya tidak menyalahkan menteri atau timbalannya di kementerian tersebut kerana gagal menyedarkan rakyat kerana mereka ini silih berganti. Yang harus dipersalahkan ialah Ketua Setiausaha Kementerian tersebut dan Ketua Pengarah Jabatan yang seharusnya memikul tanggungjawab itu sepenuhnya.

Pegawai tertinggi kerajaan ini haruslah meletakkan jawatan atau mengambil tindakan drastik terhadap jabatan yang diamanahkan dengan menukar pengurusan agensi tersebut kepada pegawai yang lebih berdedikasi. Masalah pemborosan perbelanjaan pejabat, memberikan tender-tender berimpak tinggi kepada syarikat-syarikat kroni serta memberikan syarikat yang tidak berkelayakan dalam menjalankan urusan kempen haruslah dihentikan segera. Saya juga menyarankan pihak SPRM untuk melihat lebih mendalam terutamanya penglibatan agensi ini dalam pengurusan syarikat kerana kegagalan melaksanakan tugas yang diberi serta 'ada'nya pemberian tender yang tidak telus sehingga mengakibatkan kerajaan kerugian ratusan juta. Apa yang diluahkan ini, tidak ada sekelumit pun irihati terhadap mana-mana pegawai di dalam kerajaan tetapi kerana kehabisan duit kerajaan yang keterlaluan tanpa ada banyak membantu rakyat, yang membuatkan kekecewaan terhadap kakitangan kerajaan yang diamanahkan oleh rakyat terhadap kerajaan yang memerintah.


Siti Nur Nadhirah Hazirah
Melaka

UTUSAN MALAYSIA
24 JANUARI 2011
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...