JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



10 November 2010

LONJAKAN KLCI PETUNJUK KESAN PROGRAM PEMULIHAN EKONOMI

BURSA saham Malaysia menunjukkan keceriaan apabila mencatatkan rekod kenaikan, keuntungan besar dan suasana peningkatan indeks komposit paling tinggi sejak 2008. Pada penutup kelmarin, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) meningkat 8.1 mata atau 0.54 peratus kepada 1,519.84, mengatasi paras penutup tertinggi sebelum ini iaitu pada 1,516.22 mata yang dicatat pada 11 Januari 2008. Semalam, pasaran kita melonjak lagi kepada 1521.71 mata semasa bursa dibuka dan ditutup pada 1526.53 mata - naik 6.69 peratus. Perkembangan ini didorong oleh aliran cergas dana asing ke pasaran tempatan berikutan jangkaan prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih cerah serta peningkatan berterusan nilai ringgit.

Pencapaian ini juga amat memberangsangkan. Peningkatan Indeks Komposit ini merupakan khabar berita yang amat baik. Kita yakin ia adalah petanda positif terhadap kekukuhan dan pencapaian pasaran kita berbanding dengan beberapa tahun lalu. Melalui aktiviti kempen pelaburan ke negara luar, hasilnya mula dirasai apabila pasaran modal negara kita menjadi tumpuan pelabur asing. Bursa saham kita menawarkan pelbagai tarikan antaranya saham-saham perladangan yang mampu menjana pulangan pelaburan tinggi serta nilai mata wang tempatan yang terus kukuh. Lonjakan dalam Indeks Komposit ini turut disokong oleh beberapa langkah kerajaan dalam mentransformasikan ekonomi negara.

Mahu tak mahu kita perlu akui pengurusan ekonomi negara sekarang kembali stabil dan kukuh. Ini menyebabkan pelabur-pelabur kembali yakin untuk melabur di pasaran Malaysia. Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri dan pemimpin kerajaan yang terus melahirkan idea untuk menjana ekonomi negara melalui Pelan Transformasi Ekonomi, Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia Kesepuluh dan banyak lagi program ekonomi. Perkembangan ini menunjukkan usaha berterusan kerajaan bagi menangani kegawatan ekonomi sudah berkesan apabila terdapat tanda-tanda ekonomi negara semakin pulih. Kita yakin bahawa langkah pemulihan ekonomi negara kini berada dalam fasa memberangsangkan, berdasarkan perkembangan positif Indeks Komposit sebagai petunjuknya.

Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) merupakan indeks pasaran saham umumnya diterima sebagai kayu pengukur pasaran saham tempatan begitu juga dengan ekonomi Malaysia. Apa pun usaha itu bagaimanapun belum mencukupi dan perlu dipertingkatkan bagi menarik lebih banyak pelabur untuk membuat pelaburan di negara ini. Kita berdoa agar Malaysia akan terus menjadi pilihan pelabur asing berdasarkan keadaan politik dan ekonomi negara ini yang semakin pulih dan stabil.

Tiada ulasan: