Banyak pandangan mengatakan bahawa zaman kegemilangan usaha memerangi jenayah rasuah adalah zaman ketika Tan Sri Harun Hashim memegang tampuk kepimpinan Badan Pencegah Rasuah (BPR) di era awal 1970-an. BPR ketika itu, digambarkan sebagai amat berkesan, digeruni dan semua tindakannya dikatakan memberi impak yang cukup besar kepada masyarakat. Tambahan pula kejayaannya mengheret seorang Menteri Besar ke muka pengadilan sehingga dijatuhi hukuman penjara. Berasaskan kejayaan tersebut, imej dan kredibiliti BPR berada di puncak sehingga masih dijadikan asas perbandingan sehingga hari ini. Sebenarnya banyak faktor yang perlu diambil kira untuk membuatkan perbandingan antara dua zaman ini menjadi perbandingan yang benar-benar adil. Antaranya yang paling utama adalah senario politik semasa, kemajuan ICT, sosiobudaya masyarakat pada hari ini adalah amat jauh bezanya berbanding zaman 1970-an.
Kalau di awal zaman 1970-an, masyarakat hanya bergantung pada akhbar dan radio untuk mendapatkan maklumat. Peti televisyen hitam putih hanya mampu dimiliki oleh segelintir masyarakat sahaja. Tetapi pada hari ini, televisyen yang dulunya hitam putih berkembang menjadi 3-dimensi. Adanya Internet, perkhidmatan jalur lebar, Facebook, blog, Twitter, Youtube dan sebagainya. Maklumat disalurkan sekelip mata ke serata pelosok dunia tanpa sebarang sekatan mahupun sempadan. Era globalisasi dengan kemajuan dan kecanggihan teknologi memacu daya pemikiran masyarakat pada hari ini. Masyarakat menjadi semakin terbuka, kritis dan berani menyuarakan pandangan dan hak masing-masing. Semuanya ini berbeza antara zaman 1970-an dengan zaman era milenium.
SPRM wajar muhasabah diri dengan menilai kekurangan dan kekuatan yang ada untuk menggalas tanggungjawab yang semakin berat dan mencabar ini. Strategi dan pendekatan harus dikaji untuk menyesuaikan senario semasa. Globalisasi, situasi politik, kecanggihan teknologi, perubahan budaya dan corak pemikiran masyarakat, tingkah laku dan modus operandi penjenayah yang semakin kompleks menjadi elemen-elemen penting yang harus difahami agar strategi dan pendekatan tidak tersasar. Persoalan-persoalan ini wajar dikupas untuk memastikan kelangsungan dasar-dasar pencegahan rasuah yang diperkenalkan kerajaan dimanfaatkan serta dinilai masyarakat sebagai suatu perjuangan yang memerlukan penglibatan serta kerjasama segenap lapisan masyarakat.
Ucapan Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM Tun Abdul Hamid Mohammed, menjelaskan bahawa usaha dan tindakan memerangi rasuah pada hari ini amat mencabar. Sekiranya Harun Hashim dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada hari ini sekalipun, beliau tidak akan berjaya sebagaimana yang telah dilakukannya pada zaman 1970-an. Kedua-dua zaman adalah amat berbeza sama sekali. Kesungguhan kerajaan sebenarnya tidak harus dipertikaikan. Ini kerana telah banyak inisiatif dan dasar dilaksanakan bagi mengekang masalah rasuah. Seminar "Crimilinalization of Bribery" yang dianjurkan SPRM dan ADB/OECD dalam bulan September 2010 memperlihatkan maklum balas yang cukup positif masyarakat antarabangsa terhadap usaha kerajaan dan SPRM dalam memerangi rasuah di negara ini.
Namun masih ada segelintir masyarakat yang memandang remeh usaha-usaha yang telah dilaksanakan selama ini. Bagi SPRM pujian bukanlah suatu perkara yang dijadikan KPI untuk menentukan keberkesanannya. Apa yang penting, kesungguhan dan sokongan sebilangan besar masyarakat merupakan faktor yang menjadi keutamaan. Jika diukur dasar dan kesungguhan Kerajaan Malaysia terhadap usaha memerangi rasuah berbanding negara-negara lain termasuk negara-negara yang sering dijadikan tanda aras seperti Hong Kong dan Singapura, dasar dan program yang diperkenalkan di Malaysia adalah jauh lebih baik. Cabaran yang paling getir dalam kita memerangi rasuah di alaf ini ialah apabila isu rasuah dipolitikkan. Rasuah dijadikan senjata untuk menghentam dan memburuk-burukkan pihak lawan khususnya pemimpin-pemimpin kerajaan. SPRM sering dijadikan 'makanan yang sedap diratah.' Dalam erti kata lain, SPRM adalah antara institusi terbaik untuk dihentam, dicaci dan ditaburkan kebencian. Ini kerana sifat SPRM sendiri berkait dengan isu integriti dan ketelusan kerajaan.
SPRM juga adalah kredibiliti dan imej kerajaan. Menghentam SPRM bermakna menghentam kerajaan. Sekiranya rakyat sudah tidak mempercayai SPRM maka rakyat juga tidak akan mempercayai kerajaan. Perbuatan segelintir pimpinan politik yang menjadikan rasuah sebagai bahan politiknya untuk memburuk-burukkan sesetengah pihak yang lain wajar dihentikan. Ini kerana ia amat berbahaya kepada aspek ketenteraman dan keharmonian negara. Maka itu banyak cerita bohong, fitnah dan tohmahan liar direka untuk mewujudkan kebencian rakyat terhadap pemimpin dan kerajaan. Mempolitikkan isu rasuah juga sering dijadikan strategi untuk mengelakkan tindakan pihak berkuasa khasnya SPRM. Siasatan dan tangkapan kes-kes rasuah di pihak parti pembangkang dikatakan sebagai konspirasi menjatuhkan mereka.
Terasa begitu pelik apa yang berlaku pada hari ini di mana suspek yang disiasat agensi penguat kuasa tanpa segan silu memanggil media massa untuk diadakan sidang akhbar bagi menjelaskan bahawa beliau disiasat dan konspirasi sentiasa dijadikan alasan bagi mengaburi dan memindahkan kesalahan yang dilakukannya. Kesannya, rakyat berasa simpati dengan si penjenayah dan menghentam agensi yang menyiasat. Masyarakat harus sedar dengan mainan kotor ahli-ahli politik sebegini. Petikan berikut wajar direnungi iaitu Corruption is not about who, but is about harm. Rasuah bukan mengenai kedudukan atau pangkat seseorang, ia harus dilihat berdasarkan kesan atau impak yang diwujudkannya. Dalam erti kata lain, isu ikan besar atau ikan bilis tidak penting, tetapi masyarakat harus melihat dari perspektif yang lebih besar iaitu kesan akibat daripada perlakuan rasuah yang berlaku.
Mengambil contoh beberapa kes kebelakangan ini iaitu berkaitan kecurian pasir di seluruh negara. Yang ditangkap hanya ikan bilis tetapi kesan persekitaran dan kerugian kewangan yang dialami kerajaan adalah besar. Begitu juga kes Imigresen di Pulau Ketam. Beberapa orang yang ditangkap dan didakwa hanya berjawatan Kumpulan Sokongan, tetapi kesan membenarkan warga asing masuk tanpa pengenalan perjalanan yang sah menyebabkan lain-lain jenayah berlaku dan seterusnya mengancam keselamatan negara. Rasuah adalah jenayah. SPRM bukanlah badan politik. Tindakan SPRM berlandaskan undang-undang. Tindakan SPRM bukan dek desakan atau bermotifkan politik. SPRM tidak tunduk kepada arahan atau telunjuk mana-mana pihak. Oleh itu, ahli-ahli politik jangan menggunakan SPRM atau rasuah sebagai senjata untuk menjatuhkan lawan masing-masing. Banyak kesan buruk boleh berlaku sekiranya rasuah dipolitikkan, antaranya: SPRM tidak lagi boleh berfungsi sebagai agensi yang berkesan kerana semua tindakannya dipolitikkan; SPRM akan lebih menumpukan strateginya kepada isu imej dan keyakinan masyarakat daripada menumpukan kepada siasatan kes rasuah; Penjenayah dengan mudah mengelakkan tindakan undang-undang dengan menjadikan konspirasi sebagai asas mengalih pandangan masyarakat; Menimbulkan kebencian rakyat kepada SPRM.
Datuk Ahmad Khusairi Yahaya
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat,
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Utusan Malaysia
10 November 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan