JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



11 November 2010

ISU SOSIAL : MENENTUKAN KETAHANAN KELUARGA


Forum Keempat Peringkat Menteri Asia Timur Mengenai Keluarga (EAMFF) yang berakhir di Kuala Lumpur semalam bersetuju supaya kerajaan dalam setiap polisinya mengambil kira perspektif institusi keluarga terutamanya dalam aspek pembangunan ekonomi dan sosial. Delegasi dari 14 buah negara yang menyertai forum berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan di akhir forum tersebut berpendapat peranan institusi keluarga pada hari ini perlu diperluaskan berdasarkan struktur keluarga tradisional yang kian berubah ekoran modenisasi dan cabaran pembangunan. ''Globalisasi mendedahkan institusi keluarga kepada situasi risiko dan risiko tinggi. Struktur keluarga yang semakin lemah dan perubahan dalam nilai keluarga dan perhubungan boleh mengancam aspek psikososial masyarakat serta masa depan generasi hari ini dan akan datang, '' tambah kenyataan tersebut.

Forum tersebut turut mengakui bahawa ketahanan sesebuah institusi keluarga adalah penting dan perlu menjadi fokus utama bagi kerajaan, masyarakat sivil dan sektor awam. Pada masa yang sama, sistem sokongan adalah perlu untuk membolehkan sesebuah institusi keluarga terus kukuh, sihat dan mampu bertahan. Antara resolusi yang dicapai dalam forum berkenaan ialah meningkatkan jaringan dan kerjasama di kalangan negara anggota EAMFF untuk berkongsi maklumat mengenai polisi keluarga, data, kajian, amalan yang baik dan pembangunan kapasiti dalam menangani masalah yang sering timbul dalam institusi keluarga. ''Perspektif yang memenuhi keperluan keluarga termasuklah keluarga yang menghadapi risiko atau berisiko tinggi perlu dimuatkan dalam setiap polisi dan program yang digubal. Komitmen untuk menjalankan kajian dan program-program pencegahan dan intervensi juga perlu ditingkatkan.

EAMFF yang berlangsung pada setiap dua tahun menjadi platform berkongsi pengalaman demi meningkatkan peranan institusi keluarga sebagai tulang belakang kepada perpaduan, keselamatan dan pembangunan negara. Ia merupakan medan terbaik bagi negara Asia Tenggara untuk berkongsi pengalaman mengenai isu-isu kekeluargaan dan mencari idea terbaik untuk menjalinkan kerjasama serantau. Menurut kenyataan yang diedarkan pada forum tersebut, menyedari ketahanan mampu menyerlahkan kekuatan seseorang individu, sebuah keluarga dan sebuah masyarakat, Malaysia sudah menyiapkan Dasar Keluarga Kebangsaan yang akan akan dibentangkan kepada Kabinet pada hujung tahun ini. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang menyatakan rasa puas hatinya dengan kejayaan EAMFF berkata, kerajaan akan membantu institusi keluarga untuk berhadapan dengan pelbagai risiko agar institusi keluarga tidak terhakis. 
''Esok merupakan sambutan Hari Keluarga Kebangsaan. Antara masalah yang dihadapi oleh keluarga ialah kegagalan mendapat cahaya mata. Dari kajian yang dijalankan punca ramai pasangan berselisih faham dan bercerai ialah kegagalan mendapat cahaya mata. ''Sejumlah 30 peratus daripada masalah kesuburan yang berlaku berpunca dari suami, 30 peratus lagi berpunca dari isteri, 30 peratus lagi disebabkan oleh kedua-duanya dan 10 peratus lagi disebabkan masalah yang tidak diketahui," jelasnya. Tambah Shahrizat, masalah kesuburan menyebabkan tekanan psikologi yang hebat dan beban tekanan yang ditanggung oleh mereka yang mengalaminya dikatakan sama dengan tekanan yang dialami oleh seorang pesakit barah. Selain itu rawatan kesuburan di pusat kesihatan swasta biasanya menelan kos yang tinggi. Sejak 1979, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melalui klinik rawatan kesuburannya sudah berjaya mencatatkan 3,000 kelahiran dari pasangan yang menghadapi masalah untuk mendapatkan zuriat. Ini merupakan satu berita gembira yang boleh dikongsi dengan seluruh dunia.

Tiada ulasan: