JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



11 November 2010

ISU PENDIDIKAN : SEJARAH AJAR MANUSIA BENTUK KEHIDUPAN MASA KINI LEBIH BAIK

Sejarah mampu membentuk keperibadian diri seseorang. Kita menjadi apa yang kita jadi pada hari ini kerana kita mengenali sejarah diri. Sejarah membentuk ciri-ciri fizikal dan pemikiran seseorang, lalu membolehkan ia menghargai dirinya sendiri dan memahami hak orang lain. Manusia pada hari ini, perlu faham mengenai sejarah hidupnya, keturunan, asal-usul dan masyarakatnya. Orang Amerika Syarikat berbangga dengan sejarah penubuhan negara itu dan memartabatkan George Washington sebagai wira kemerdekaan yang membebaskan negara yang baru itu daripada penjajahan British pada 1776. Mereka berbangga dengan perisytiharan kemerdekaan mereka. China bermegah dengan kebangkitan Mao Tze Tung, India dengan Mahatma Gandhi dan tidak melupai sejarah kegemilangannya pada masa silam membabitkan individu serta perubahan masyarakat. 

Israel tidak akan melupakan peristiwa Holokos yang mengorbankan jutaan nyawa rakyatnya di tangan Nazi. Britain pula mempunyai Oliver Cromwell yang menjatuhkan Raja Charles I, memenggal lehernya dan menghapuskan kerajaan beraja pada 1649 untuk beberapa ketika saja. Kemudian beliau terpaksa mengembalikan kerajaan beraja di Britain kerana kerajaan tanpa raja yang dibentuknya itu tidak dapat memerintah negara, sebaliknya menjadi kucar-kacir. Oliver Cromwell sendiri menggantikan raja dan menggelarkan dirinya Lord Protector. Tetapi Britain terjerumus ke kancah kecelakaan yang amat teruk. Beliau sudah belajar daripada sejarah perbuatannya itu lalu membetulkannya dengan membawa kembali sistem kerajaan beraja. Oliver Cromwell kemudian mati dijangkiti malaria. Tiada doktor dapat mengubatinya. Contoh berkenaan hanyalah segelintir, tetapi semuanya membuatkan bangsa itu lebih peka dengan peristiwa sejarah, untuk merancang kehidupan masa depan masing-masing.

Hidup pada zaman ini, manusia perlu membuat perancangan masa depan. Ada orang berpendapat bahawa sejarah tidak penting dipelajari kerana apa yang sudah berlaku sudah tinggal kenangan. Ada yang berasakan mata pelajaran Sejarah tidak diperlukan lagi untuk dipelajari murid sekolah. Bagaimana seseorang itu hendak maju ke hadapan kalau dia tidak mengetahui mengenai apa yang sudah berlaku pada zaman lampau. Bukankah pengalaman dari sejarah mengajar kita membentuk kehidupan yang lebih baik? Pada waktu ini ada pihak mempertikai mengapa perlu ada kedudukan istimewa bagi orang Melayu. Pertikaian ini timbul kerana mereka tidak faham sejarah. Golongan ini akan terus mempertikai kerana mereka buta sejarah. Analisis semasa yang tidak mengambil kira fakta sejarah kenapa kedudukan istimewa orang Melayu itu perlu diteruskan, tidak akan dapat memberikan sebarang manfaat kepada golongan itu. Saya pasti golongan ini akan lebih bersikap jujur sekiranya mereka mempelajari sejarah dan mengetahui bahawa kedudukan istimewa itu sudah diberikan kepada orang Melayu dalam Perjanjian Sosial yang dipersetujui semua bangsa dalam sejarah tanah air kita kerana bangsa Melayu sudah memberikan kerakyatan kepada bangsa lain sebagai kompromi.

Peristiwa dalam sejarah memberi tapak kepada kehidupan masa kini. Masyarakat wajib mengingati masa lampaunya dengan segala kesilapan dan pencapaian demi untuk terus maju dan berkembang. Bukankah peristiwa hitam 13 Mei 1969 banyak mengajar kita untuk terus berwaspada dan mengambil iktibar agar peristiwa itu tidak berulang?  Di negara kita sendiri Malaysia, ada ramai yang mahukan mata pelajaran Sejarah diajar kepada pelajar sekolah tetapi ada segelintir manusia yang tidak mahukan perkara ini dilakukan. Orang yang tidak mahu mengetahui mengenai sejarah yang mana bumi dipijaknya, memang tidak mempunyai semangat nasionalis dan tidak berbangga dengan akar umbi keturunannya. 
 
Oleh Dr Hashim Yaacob
Berita Harian
11 November 2010

Tiada ulasan: