Kementerian Pengajian Tinggi merangka satu pelan tindakan membudayakan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) bagi tempoh 2011 hingga 2020 yang akan dilaksanakan sebagai dasar dan petunjuk pelaksanaan dalam mendemokrasikan pendidikan negara. Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pelan tindakan itu bertujuan memastikan negara bersedia bergerak ke arah status negara berpendapatan tinggi seperti yang disasarkan kerajaan. Katanya, ketika ini kementerian menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai tonggak ketiga dalam Sistem Pendidikan Negara bagi membolehkan kerajaan menyediakan modal insan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing. Proses mendemokrasikan pendidikan dalam negara adalah sebahagian usaha kerajaan untuk mengupayakan masyarakat supaya mereka tidak tercicir dan menyertai proses pembangunan dan kemajuan negara.
Khaled berkata, kementerian juga merancang mewujudkan sistem PSH yang mapan sebagai agenda nasional selaras Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) dan konsep 1Malaysia, dengan penekanan terhadap latihan berterusan dan memahirkan semula tenaga kerja bagi pekerjaan bernilai tinggi. Katanya, kementerian kini dalam usaha mengumpul maklumat melalui satu pangkalan data khusus dari semua institusi pengajian tinggi tempatan untuk melihat sejauh mana tahap pelaksanaan pembelajaran sepanjang hayat ketika ini memberikan peluang kepada rakyat mendapatkan pendidikan tanpa mengira kelompok tertentu. Melaluinya, kita nak tahu di mana kedudukan kita setakat ini dan akan membolehkan kementerian merancang lebih baik serta memberikan peluang sama kepada rakyat untuk menyambung pengajian ke tahap tertinggi yang mereka mampu. Katanya, maklumat dikumpul melalui pangkalan data berkenaan akan memudahkan rakyat menyambung pengajian melalui satu mekanisme lebih mudah, termasuk mengiktiraf pengalaman bekerja sebagai syarat umum menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan