Putrajaya, nama yang gah di seluruh negara hatta pelosok dunia. Walaupun baru menginjak usia 'remaja' namun kemajuan pembangunannya setanding sebuah bandar di negara maju. Menyoroti kembali sejarah penubuhannya, idea tercetus tatkala pemimpin negara pada ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu memindahkan pusat pentadbiran kerajaan dari ibu kota ke lokasi lebih strategik - keluar dari kesibukan kota. Bandar tersebut haruslah sebuah bandar terancang yang menitikberatkan persekitaran hijau, mendamaikan dan sejahtera. Maka, Daerah Prang Besar, Sepang yang sebahagian besarnya merupakan ladang getah dan kelapa sawit dipilih untuk tujuan itu iaitu kira-kira 30 kilometer dari ibu kota dan berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Setelah dinamakan Putrajaya pada 12 Oktober 1994, skop utama pembangunannya adalah berkonsepkan Bandar Warisan Islam Berinspirasi iaitu digambarkan seolah-olah berada di syurga yang dihiasi taman nan indah, deruan air mengalir tanpa menjejaskan habitat semula jadi hidupan flora dan fauna. Operasi pentadbiran kerajaan pula bercirikan bandar pintar apabila ia diletakkan di dalam lingkungan Multimedia Super Koridor (MSC) yang berorientasikan Kerajaan Elektronik (e-Government). Bagaimanapun, pelbagai kajian telah dibuat kepada skop utama pembinaannya agar ianya memenuhi keperluan sosial, komersial dan faktor ekonomi dengan memberi tumpuan keadaan infrastruktur dan jaringan pengangkutan di kawasan seluas 4,930 hektar. Berasaskan keperluan itu mengikut acuan yang dirancangkan, pembangunan pada fasa pertama dimulakan pada tahun 1995 dengan ciri-ciri kehijauan melalui pembinaan taman-taman, landskap di dataran dan jalan-jalan utama di samping tidak meminggirkan konsep semula jadi melalui pembinaan tasik.
Mengikut perancangan, kawasan seluas itu dibahagikan kepada 20 presint bagi kepadatan penduduk sebanyak 350,000 dan 500,000 orang bekerja melalui pembangunan di kawasan seluas 3.8 juta kaki persegi bangunan kerajaan dan 3.4 juta kaki persegi bangunan komersial dan 65,000 unit kediaman penduduk. Pembinaan pada fasa pertama itu difokuskan untuk membangunkan kompleks pejabat kerajaan seluas 2.9 juta kaki persegi yang meliputi beberapa buah kementerian dan jabatan utama kerajaan di Kompleks C dan Kompleks D termasuk Pejabat Perdana Menteri. Selain itu, kemudahan dan keselamatan awam turut dibina seperti Balai Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, klinik kesihatan, hospital, jambatan Seri Perdana, Masjid Putra dan Dataran Putra. Ini termasuk pembinaan kuarters kerajaan, banglo, teres, apartmen yang kini diduduki seramai 21,094 penduduk serta pembinaan tasik dan Taman Wetland yang berjaya disiapkan dalam tempoh lima tahun.
Pembinaan fasa kedua pula diteruskan dalam tempoh tahun 2001 hingga tahun 2006 dengan menyiapkan pejabat kerajaan, Istana Kehakiman, pejabat komersial seperti menara Putrajaya Holdings sebagai pemaju utama Putrajaya dan pusat beli-belah Alamanda dan bandar diplomatik yang dibangunkan di Presint 15. Sebagai melengkapkan kemudahan infrastruktur, sembilan jambatan dibina antaranya Jambatan Seri Saujana, Seri Wawasan dan Seri Gemilang bertujuan menghubungkan kawasan pulau yang dipisahkan melalui tasik berkeluasan 400 hektar. Seni bina jambatan-jambatan itu diilhamkan melalui reka bentuk jambatan terkenal di seluruh dunia seperti Jambatan Putra seakan-akan Jambatan Khaju di Isfahan, Iran. Putrajaya kini dihiasi 12 taman rekreasi dan yang dibuka kepada orang awam untuk pelbagai tujuan rekreasi dan aktiviti kekeluargaan antaranya Taman Botani, Taman Wetland, Taman Wawasan, Taman Cabaran, Taman Warisan Pertanian, Taman Rimba Alam dan Taman Putra Perdana.
Bagi kemudahan sebahagian penduduk dan pengunjung yang majoritinya beragama Islam, masjid kedua di Putrajaya telah disiapkan dan dinamakan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin. Masjid bernilai RM200 juta yang mula dibina pada 5 April tahun 2004 menggunakan 70 peratus besi dan selebihnya daripada konkrit itu mampu menampung sehingga 20,000 jemaah dan dilengkapi dengan dewan solat utama, tiga unit kuarters dua tingkat, 10 unit kedai, dewan orang ramai dan kemudahan WiFi. Kini, Putrajaya Holding Sdn. Bhd. dalam peringkat membangunkan projek bercirikan futuristik dan berprestij bagi tempoh lima tahun akan datang ke arah menjadikan pusat pentadbiran kerajaan itu sebagai bandar bertenaga dengan menampilkan konsep bandar hijau. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azlan Abdul Karim berkata, projek yang dianggarkan bernilai RM1.14 bilion itu membabitkan pembinaan pusat perniagaaan di sepanjang kawasan pulau di Presint 2 hingga 4 termasuk pembinaan ruang pejabat, kompleks perniagaan, hotel bertaraf lima bintang, institusi pendidikan serta pusat rekreasi dan hiburan.
Ini termasuk pembinaan hub antarabangsa berpusat di Presint 8 yang mampu menarik lebih ramai pelabur dan pelancong asing. "Pembinaan ini turut memberi fokus untuk membangunkan lebih banyak kawasan kediaman berkualiti kepada orang awam tidak hanya membina kuarters untuk kakitangan kerajaan. ''Perancangan pembinaan ini adalah bagi menjadikan Putrajaya sebagai tempat bandar terancang dan selamat yang dilengkapi sistem pengangkutan dan telekomunikasi yang efisien," katanya kepada pemberita ketika sesi lawatan media ke beberapa tapak projek pembinaan PjH di sekitar Putrajaya, baru-baru ini. Ketika dibawa menyusuri tasik dengan menaiki Cruise selama 30 minit, penulis teruja melihat kepesatan pembangunan Putrajaya yang berprestij dan mengagumkan melalui seni binanya yang pasti mengujakan sesiapa sahaja apabila disaksikan dari sisiran tasik. Maka, tidak hairanlah ramai pengunjung menjadikan bandar ini sebagai salah satu lokasi pengambaran bagi aktiviti-aktiviti mereka serta merakamkan detik bersejarah yang mana setiap sudutnya memberikan imej terbaik.
Dalam pada itu, Azlan berkata, empat bangunan kerajaan iaitu bangunan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Penerangan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Kemajuan Luar bandar dan Wilayah kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada pertengahan tahun depan. ''Empat bangunan kementerian ini merupakan antara bangunan tertinggi di Putrajaya yang mempunyai 33 hingga 40 tingkat bertempat di Presint 4. "Reka bentuk empat bangunan itu juga bertemakan songket, bunga kantan, formula matematik dan dua tangan sedang berdoa bertepatan dengan matlamat reka bentuk bangunan di Putrajaya yang setiap satu mempunyai tema masing-masing," katanya. Bagaimanapun, Putrajaya kini dan seterusnya melaksanakan pembangunan hijau melalui penggunaan tenaga, pembuangan sisa pepejal, pengangkutan awam serta reka bentuk bangunan dan tahap pencemaran air dan persekitaran.
Putrajaya telah diisytiharkan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan pada tahun 2001 selain Kuala Lumpur dan Labuan. Operasi pengurusannya pula dipertanggungjawab kepada Perbadanan Putrajaya di bawah Akta 536 Perbadanan Putrajaya 1995 untuk menyelaraskan dan merancang aktiviti-aktiviti yang boleh dilaksanakan. Sehingga kini, pelbagai program tempatan dan antarabangsa dianjurkan di sini antaranya Pertandingan Perahu Naga peringkat antarabangsa, Putrajaya Sailing Week dan Pesta Flora yang mampu menarik jutaan pengunjung dalam dan luar negara. Apa yang pasti, pembangunan bandar Putrajaya yang dikritik banyak pihak pada awal pembinaannya bukan lagi satu projek pembaziran malah mampu memberi pulangan pelaburan berganda terhadap ekonomi negara.
Oleh
SITI MAISARAH SHEIKH ABD. RAHIM
pengarang@utusan.com.my
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
15 NOVEMBER 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan