JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



15 November 2010

ISU EKONOMI : INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA (IKS) MALAYSIA DI KEDUDUKAN TERATAS DALAM LAPORAN DAYA SAING BANK DUNIA


Berita mengenai Malaysia mengekalkan kedudukan teratas bagi tahun ketiga berturut-turut dalam Laporan Daya Saing Bank Dunia dari segi akses pembiayaan untuk sektor industri kecil dan sederhana (IKS) amat membanggakan. Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penarafan terbaru Bank Dunia itu selepas menamatkan hari pertama Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia. Fakta ini secara tidak langsung menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa pengusaha IKS di Malaysia sukar mendapatkan pembiayaan pinjaman untuk memajukan perniagaan mereka. Sebagaimana kata Muhyiddin, mungkin ada yang tidak berpuas hati tetapi hakikatnya berdasarkan laporan Bank Dunia itu, di dunia ini Malaysia adalah negara yang paling mudah bagi IKS mendapatkan pembiayaan. 

Kedudukan pertama itu hasil dasar dan dana besar yang disediakan kerajaan untuk sektor IKS serta pembiayaan yang ditawarkan bank tempatan. Sejak dahulu lagi Kerajaan Malaysia sentiasa memberikan perhatian kepada sektor itu kerana menyedari kepentingannya dalam menjana pertumbuhan dan kegiatan ekonomi negara. Selain penyediaan dana untuk memajukan IKS, usaha kerajaan dapat dilihat melalui penubuhan Majlis Pembangunan IKS Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pembentukan SME Corp. SME Corp. yang bertanggungjawab meluluskan peruntukan geran yang disediakan di bawah lapan kementerian dan 60 agensi yang terlibat dengan IKS sebenarnya adalah antara usaha penting kerajaan membantu para usahawan.

Berdasarkan pengalaman, kemelesetan ekonomi dan krisis kewangan global memang mencabar kewangan pengusaha IKS. Ramai yang 'bungkus' dan ada yang terus bertahan. Tetapi Malaysia cepat pulih daripada krisis ekonomi itu kerana kerajaan kita mempunyai strategi untuk menangani kemelut itu. Atas sokongan kerajaan kepada IKS yang turut mendapat bantuan pembiayaan daripada bank-bank, maka kita berjaya keluar daripada krisis ekonomi dunia beberapa kali. Walaupun sesetengah pengusaha IKS merungut mengenai syarat-syarat ketat bank-bank komersial dalam meluluskan pinjaman, tetapi semua itu sebenarnya diwujudkan untuk menghadapi pihak-pihak yang hanya mencari kesempatan atas skim yang disediakan oleh kerajaan untuk membantu usahawan tulen. Kita faham apabila syarat kelulusan pinjaman diperketatkan, maka yang susah adalah majoriti peniaga yang ikhlas dalam usaha mencari nafkah melalui perniagaan.

Pun begitu Malaysia tidak boleh leka dengan kedudukan itu semata-mata. Kita perlu mengenal pasti masalah, peluang serta cadangan bagi tujuan perancangan strategi ke arah mewujudkan golongan usahawan IKS yang lebih kreatif dan inovatif. Ini kerana sektor IKS jika dieksploitasi sepenuhnya ia mampu meningkatkan jumlah pekerjaan, hasil pengeluaran dan kadar pemilikan harta di kalangan rakyat. Kerajaan sejak dahulu begitu komited membantu usahawan IKS untuk mengembangkan perniagaan mereka. Pelbagai insentif penting untuk menggalakkan pertumbuhan IKS di negara ini diperkenal dan dilaksanakan. Sesungguhnya IKS di Malaysia beruntung.

Sumber
Utusan Malaysia
15 November 2010

Tiada ulasan: