Hanya 306 batang sungai di negara ini dikategorikan sebagai sungai bersih pada tahun lalu berbanding 334 sungai pada tahun sebelumnya. Dalam pada itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas memberitahu, sungai tercemar pula terus menunjukkan peningkatan yang mana pada tahun lalu 54 sungai dikategorikan sebagai tercemar iaitu peningkatan enam sungai jika dibandingkan tahun sebelumnya. Katanya, sungai sedikit tercemar juga terus menunjukkan peningkatan apabila pada tahun lalu 217 sungai dilaporkan sebagai sungai kategori itu iaitu meningkat sebanyak 20 sungai jika dibandingkan 2008 lalu. Kerajaan memandang serius perkara ini dan sedang mengambil beberapa langkah pencegahan dan pemulihan bagi membersihkan sungai yang tercemar. Antaranya, menyediakan pusat informasi sungai yang menjelaskan sejarah sungai berkaitan dan kepentingan penjagaan sungai.
Dalam pada itu, kementerian itu juga mahu pihak swasta dan korporat bekerjasama bagi menangani masalah pencemaran sungai serta mengadakan aktiviti riadah dan rekreasi dalam koridor sungai. Tambahnya , Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan telah menjadikan Sungai Penchala sebagai 'sungai angkat' bagi program 'Satu Negeri Satu Sungai'. Selain itu, mereka berhasrat untuk memulihkan kualiti air ini ke tahap kelas dua menjelang 2012 di sepanjang tiga kilometer. Menurutnya, Sungai Penchala merupakan sebatang sungai yang berada dalam keadaan semulajadi dan bersih yang mana hulu sungai itu mempunyai kepelbagaian hidupan akuatik yang menunjukkan secara biologi ia merupakan sebuah sungai yang hidup dan sihat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan