JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



02 Oktober 2010

ISU EKONOMI : MEWUJUDKAN MALAYSIA MAKMUR


Kerajaan akan membentangkan Bajet 2011 pada pertengahan bulan Oktober 2010 nanti. Bajet kedua Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selaku Menteri Kewangan ini adalah untuk memenuhi agenda pelaksanaan rancangan bertahap dan jangka panjang khasnya Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMKe-10) dan Wawasan 2020. Apa juga bentuk bajet tahun depan adalah bermatlamat untuk mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur. Sebahagian besar masalah dalam negara ini akan selesai apabila kehidupan rakyat sampai ke tahap makmur. Ini bukanlah perkara mudah kerana dalam perjalanan bagi mencapai matlamat itu, banyak rintangan yang terpaksa ditempuhi khasnya tentangan politik parti pembangkang. 

Tidak ada parti pembangkang di negara mana sekali pun mahu melihat kerajaan yang ditentang, berjaya memakmurkan negaranya. Bila negara maju dan rakyat hidup makmur, pembangkang ketiadaan isu untuk diperjuangkan. Ruang yang ada hanyalah dengan mengeksploitasi keadaan seperti berlaku hari ini.  Dalam keadaan semasa pun, pembangkang sebenarnya ketandusan isu untuk diputarbelitkan. Rakyat sebenarnya sudah pun berada pada garisan hidup selesa, walaupun belum sampai ke tahap makmur. Itulah sebabnya isu yang dihebohkan pembangkang hari ini bukan soal kemakmuran rakyat. Mereka menggunakan isu perkauman dan agama, selain tuntutan kebebasan dan hak asasi sebagai agenda perjuangan politik mereka. Apabila negara makmur pembangkang kehilangan modal untuk menentang kerajaan.

Kemakmuran negara akan menyebabkan rakyat hidup selesa dan masing-masing mempunyai peluang pekerjaan. Bila semua orang ada kerja, keluarga gembira dan banyak masalah sosial boleh diatasi. Walaupun masalah jenayah tidak boleh dihapuskan sepenuhnya kerana ia turut membabitkan faktor lain, ia boleh dikurangkan jika rakyat ada wang. Di Malaysia, masalah jenayah turut dikaitkan dengan pendatang asing, selain masalah psikologi dan latar belakang penjenayah. Kemakmuran negara juga akan menyebabkan rakyat mampu memiliki rumah yang selesa mengikut kemampuan masing-masing. Dengan fenomena suami isteri bekerja, pendapatan keluarga meningkat dan kemampuan untuk hidup selesa bertambah tinggi. Hari ini pembantu pejabat atau tukang kebun sekali pun, mampu memiliki kereta sendiri. Pastinya, kemakmuran negara juga meningkatkan kemampuan kerajaan dan sektor swasta membina banyak rumah kerana yakin dengan permintaan memiliki rumah yang tinggi. Permintaan membeli rumah dan kenderaan yang tinggi turut membuka ruang perniagaan yang besar kepada bank. Keyakinan bank memberi pinjaman menunjukkan kemakmuran hidup rakyat.

Secara tidak langsung, pembangunan fizikal begini akan mendorong peningkatan pembinaan prasarana lain daripada bekalan air dan elektrik hinggalah pembinaan jalan dan lebuh raya. Kemakmuran hidup akan meningkatkan kemampuan ibu bapa memberi peluang kepada anak mereka mengikuti sistem pendidikan negara tanpa sebarang masalah.  Selain menghantar anak ke sekolah, ibu bapa juga mengeluarkan wang untuk tuisyen. Masing-masing mahu anak mereka maju dalam pelajaran hingga ke peringkat tertinggi kerana yakin ia akan memudahkan mereka mendapat pekerjaan yang baik pada masa depan. Jika tidak yakin dengan kemudahan pekerjaan, sudah tentulah anak berhenti sekolah dan bekerja di pasar atau menjadi jurujual di kompleks beli-belah. Kemakmuran negara juga akan menyebabkan rakyat sihat. Jika sakit mereka mendapat rawatan sama ada di hospital kerajaan atau swasta.

Kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya membina hospital di bandar dan desa kerana mahu rakyat hidup sihat. Pihak swasta membina hospital di merata tempat kerana yakin sambutan rakyat untuk menggunakan kemudahan selesa yang disediakan, selain yakin dengan kemampuan rakyat untuk membayar bil yang lebih tinggi. Oleh itu, kemakmuran hidup rakyat mempunyai makna yang sangat besar kepada negara. Ia boleh mengubah suasana politik. Bila negara makmur dan rakyat hidup selesa, tidak ada sebab mereka menyokong parti pembangkang.  Rakyat perlu yakin dengan kemampuan kerajaan untuk memakmurkan negara. Malaysia adalah sebuah negara subur yang hanya didiami 26 juta rakyat. Banyak lagi potensi yang belum diterokai. Najib dan kerajaan pimpinannya bekerja keras untuk memakmurkan negara, termasuk mengadakan rundingan dengan syarikat multinasional di Amerika Syarikat dan setiap negara yang dilawatinya. Beliau sendiri berusaha menarik seramai mungkin pelabur supaya menanam modal di negara ini bagi mempercepatkan proses pembangunan rakyat dan negara.
 
Ukuran mudah mengenai kemakmuran ialah apabila seseorang individu boleh memiliki sesuatu barang yang berharga lebih daripada satu. Hari ini kemampuan mereka yang memiliki ‘lebih satu benda’ menjadi fenomena biasa bagi rakyat Malaysia. Sudah ramai rakyat memiliki lebih daripada sebuah rumah. Sebuah rumah untuk didiami dan selebihnya disewakan atau untuk bekalan anak-anak. Memiliki lebih daripada sebuah kereta juga menjadi perkara biasa – sebuah untuk pergi kerja, sebuah untuk kegunaan harian, sebuah lagi untuk keluarga khasnya kenderaan pelbagai guna. Ini tidak termasuk kereta untuk isteri dan anak. Telefon bimbit juga lebih daripada satu kononnya untuk lebih mudah berkomunikasi dan urusan lain. Mereka sebenarnya tahu tidak ada orang yang boleh bercakap serentak menggunakan lebih daripada satu telefon.  Di rumah ada telefon dan di pejabat juga ada telefon lain. Ini tidak termasuk kemudahan telefon untuk anak. Paling sensitif ialah apabila suami mempunyai lebih daripada seorang isteri.
 
 
Tajuk Rencana :Mewujudkan Malaysia makmur
Sumber : Berita Harian
Oleh Mior Kamarul Shahid
02 Oktober 2010

Tiada ulasan: