Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Semakin hari semakin dekat hari yang ditunggu. Jika hari ini hanya 46 hari lagi, esok sebaik sahaja kita celikkan mata pada pukul 5.00 pagi jumlah itu berkurang 1, menjadi 45 hari. Begitulah keadaannya sehingga detik yang ditunggu-tunggu itu tiba jua ke pangkuan kita akhirnya. Masa itu bermulalah perjuangan anak-anak didik sekalian di medan peperiksaan STPM. Cikgu Zul percaya, semuanya sibuk membuat ulangkaji tika dan saat ini bersama guru-guru yang tersayang. Walau bagaimanapun, jika ada 1000 orang guru pun yang memberi nasihat, bimbingan, dorongan, pesanan, dan tunjuk ajar, jika pelajar tidak mampu untuk menjelmakan semua itu dengan sebuah kejayaan yang indah dan manis, segalanya hanyalah sia-sia sahaja.
Kadang-kadang Cikgu Zul lihat hanya guru yang mengelabah dan sibuk membuat persediaan sehingga tiada masa untuk melakukan hal-hal peribadi mereka sendiri. Pelajar hanya tunggu untuk disuap dengan segala maklumat sehingga kenyang dan padat. Selepas semalaman maklumat dihadam, keesokan hari apabila guru mengajar semula topik yang sama, pelajar lupa. Alangkah lukanya hati guru pada ketika itu. Sayang sekali luka yang berdarah itu tidak dapat dipertontonkan kepada pelajar-pelajar sekalian. Hanya pelajar sahaja yang mampu mengubati luka itu dengan kejayaan!
Pelajar-pelajar yang disayangi,
Yakinlah bahawa anda semua mampu menempuh segala cabaran dan ujian itu dengan tabah dan tenang. Jika UPSR mampu ditembusi, liku-liku berduri PMR pula berjaya dilalui, dan seterusnya tembok bergerigi SPM mampu ditempuhi, tidak mustahil lautan berapi STPM juga pasti dapat direnangi. Yakinlah bahawa anda semua mampu mengatur masa dan mengawal emosi dalam detik-detik terakhir ini. Jangan jerumuskan diri dengan pelbagai masalah yang boleh memunahranahkan segala persediaan yang telah diatur dan diadun selama ini.
Bermimpilah untuk menjadi orang yang berjaya kerana kejayaan itu akan mengubah perjalanan hidup kalian untuk sejuta tahun lagi. Keseronokan yang mengoda dan melalaikan yang melingkari ruang hidup kalian pada ketika ini boleh ditinggalkan sejenak. Semburkan racun berbisa untuk memusnahkannya untuk seketika. Percayalah, sebaik sahaja kertas terakhir anda duduki nanti, semuanya akan tumbuh subur kembali. Pada ketika itu, berseronoklah dari pagi hingga ke dini hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan