JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



07 Oktober 2010

ISU KENEGARAAN : BUNGA RAYA WARISAN KEBANGSAAN LAMBANG PERPADUAN NEGARA

Lima puluh tahun adalah usia yang matang. Dikatakan jika perangai seseorang tidak berubah walaupun sudah setengah abad, dia tidak dapat diubah sampai bila-bila. Bagi Malaysia, dalam tempoh 50 tahun, pembangunan fizikalnya begitu membanggakan berbanding negara lain. 2010 cukup bermakna kerana ia genap 50 tahun pemilihan bunga raya sebagai bunga kebangsaan. Masih ramai yang tidak tahu pemilihan bunga raya sebagai bunga kebangsaan. Walaupun tidak ada program pameran bunga raya diadakan secara besar-besaran sempena tarikh itu, apa yang penting ialah kesedaran orang ramai. Jika Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria) 2010 mendapat sambutan hangat daripada pengunjung, sambutan 50 tahun bunga raya tentunya boleh dianggap bertuah juga. Jika Floria menjadi kebanggaan kerana ia mempamerkan spesies pokok dan bunga tropika yang mungkin tidak pernah dilihat di tempat lain, program 50 tahun usia bunga raya tetap menjadi kebanggaan dan keceriaan tersendiri.

Jabatan Warisan Negara (JWN) mempunyai program tersendiri sempena dengan pemilihan bunga raya sebagai bunga kebangsaan. Bunga berbentuk seperti trumpet dengan ukur lilit lima hingga 20 sentimeter tetap indah dan tersendiri kerana ia bunga yang cantik tetapi tidak menghasilkan buah. Bunga raya terbukti hebat untuk perubatan tradisional dan industri kosmetik. Jadi pemilihan bunga raya berbanding bunga lain yang turut dicadangkan untuk Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu setengah abad lalu adalah tepat. Bunga raya dipilih sebagai bunga kebangsaan kerana warnanya merah yang melambangkan keteguhan politik dan ekonomi serta sifat keberanian dalam menempuh cabaran. Pemilihan bunga raya juga kerana kaitan dengan identiti dan ia perkara penting bagi sesebuah negara bertamadun. Selepas mencapai kemerdekaan, kita mempunyai Jalur Gemilang yang menjadi kemegahan, lambang negara merdeka lagi berdaulat. Lagu Negaraku dicipta khas sebagai lagu kebangsaan dinyanyikan dan digemakan dalam setiap upacara rasmi negara.

Mengapa perlu ada bunga kebangsaan? Banyak negara di dunia menjadikan bunga sebagai satu identiti negara mereka. Jepun terkenal dengan bunga sakura, England dengan bunga ros dan Belanda tersohor dengan bunga tulip. Proses memilih dan menentukan bunga kebangsaan adalah satu perkara sukar kerana bunga dipilih perlu berdasarkan cita rasa seluruh rakyat negara ini. Justeru, Kementerian Pertanian menjalankan satu kempen dan kajian berbentuk soal selidik secara rambang pada 1957. Bagaimanapun ramai yang tidak memberi maklum balas sewajarnya pada kaji selidik berkenaan menyebabkan ia dilanjutkan pada tahun berikutnya dan akhirnya dipilih bunga raya sebagai bunga kebangsaan negara.

Lima kelopak pada bunga raya dikaitkan dengan lima prinsip Rukun Negara yang mana salah satu elemen perpaduan negara untuk membentuk masyarakat adil dan saksama. Bunga raya melambangkan Persekutuan Malaysia dan sebagai bunga kebangsaan ia diguna dengan meluas pada majlis rasmi kerajaan. Dianggarkan ada kira-kira 300 spesies bunga raya di seluruh dunia, terdiri daripada jenis hiasan, sayuran, tumbuhan herba dan pokok hutan. Bunga raya yang ada di negara ini adalah dari jenis Rosa-sinensis berasal dari China. Pokok bunga raya ini terdiri dari rumpun Malvaceae mempunyai pelbagai bentuk, saiz dan warna. Antara warna yang ada termasuk merah jambu, putih, kuning dan merah. Di negara asalnya (China) pokok bunga raya ini menghasilkan biji benih yang baik untuk pembiakan.

Berbeza di Malaysia, yang mempunyai iklim lembab sepanjang tahun, bunga raya di sini tidak mengeluarkan biji benih yang boleh dijadikan baka. Kaedah pembiakan di sini adalah melalui keratan batang, cantuman mata tunas, tut dan teknik tisu kultur.  JWN akan meneruskan kempen memupuk kesedaran ramai terhadap bunga raya. Jabatan itu mengangkat status bunga berkenaan sebagai Warisan Kebangsaan 7 Julai 2007. Ini antara langkah untuk menaikkan semula martabat bunga raya sebagai bunga kebangsaan.

Oleh Ahmad Jamris
BERITA HARIAN
7 OKTOBER 2010

Tiada ulasan: