05 April 2023

ALHAMDULILLAH, ALLAH JADIKAN SAYA SEORANG PENDIDIK

 


Tahun 2023 ini genaplah 26 tahun saya menjadi pendidik. Permulaan kerjaya saya amat unik, saya menjalani latihan mengajar untuk menjadi guru di sekolah rendah tetapi penempatan pertama saya di sekolah menengah. Sekolah menengah tempat saya mengajar pula bukan calang-calang sekolah, sekolah lelaki pula tu, salah sebuah sekolah primer yang bukan sahaja terkenal di Sibu malah di Sarawak dan Malaysia. Saya mengajar di sekolah itu hanyalah 19 tahun 5 bulan, tidak lengkap 20 tahun sebelum saya berpindah kerana dilantik menjadi Penolong Kanan Kokurikulum di salah sebuah sekolah yang ramai murid di daerah Sibu juga.

Selama 19 tahun mengajar pelajar lelaki di sekolah satu jantina saya mempunyai pengalaman yang amat banyak untuk dikenang. Pelajar lelaki yang saya ajar terbahagi kepada dua iaitu pelajar lelaki yang datang dari aliran SJKC dan pelajar lelaki yang datang dari sekolah kebangsaan. Pelajar lelaki yang datang dari sekolah kebangsaan inilah kelas yang saya selalu ajar, malahan saya juga menjadi guru kelas mereka. Tahap kenakalan mereka ini memang luar biasa, suka melawak dan mengajuk semasa saya mengajar. Saya masih teringat seorang pelajar saya yang kini bakal menjadi guru besar. Aduhai, dia ini kalau ketawa tak boleh berhenti. Saya rotan pun dia masih ketawa sampai keluar air mata. Pelajar ini jenis tidak makan saman, semua guru yang mengajar kelas itu akan bercerita tentang dia dengan perangainya yang suka ketawa.

Ragam pelajar kelas 1A2 ini saya terpaksa hadapi setiap tahun. Pelajar Cina yang berasa di kelas ini memang fasih bahasa Melayu malah boleh bercakap bahasa Melayu Sarawak. Pelajar kelas ini tiada masalah dalam bidang akademik tetapi cukup aktif. Seorang lagi pelajar yang masih saya ingat, dia suka memuji dirinya handsome. Dia ketua kelas. Duduk pun betul-betul depan meja guru. Kalau dia ada mod pada hari itu, mulut dia macam bertih jagung. Pernah suatu hati saya geram hingga tidak sengaja terpukul mulut dia dengan pembaris. Saya ingat dia marah tetapi sebaliknya tidak. Dia kata tak sakit. Dia ni kalau datang sekolah kemas bukan main. Baju memang bersegi. Emak dia memang jaga betul-betul. Sekarang dia jadi Medical Assistant (MA). Dia selalu mesej saya sampai sekarang.

Seorang lagi pelajar yang saya masih ingat ialah pelajar Cina yang memang cemerlang dalam akademik. Pelajar ini sentiasa bawa bekal ke sekolah. Dalam kelas dia sentiasa menumpukan perhatian semasa guru mengajar. Markah dia dalam semua subjek memang melebihi 90%. Dia sentiasa bawa Kamus Dewan datang ke sekolah pada setiap hari. Habis SPM dia dapat tajaan JPA belajar ke Korea (kalau saya tidak lupa). Perangai pelajar ini baiknya tak tahu saya hendak gambarkan. Kalau ada soalan dia akan tanya dengan sopan. Mengikut ayahnya dia kini menjadi Jurutera di Kuala Lumpur. Saya teringin hendak jumpa pelajar ini tetapi belum ada rezeki. Suatu hari saya pasti akan jumpa dia. Dia ini juga pelajar kelas tuisyen saya.

Saya rasa bertuah kerana semua pelajar saya kini ramai yang berjaya dalam hidup. Saya selalu memohon kemaafan jika sepanjang mendidik mereka saya terkasar bahasa atau terlanjur kata. Saya hanyalah guru biasa yang tidak terlepas daripada melakukan salah dan silap. Walau bagaimanapun, jalinan silaturrahim antara saya dan pelajar-pelajar saya sentiasa saya jaga dan doa-doa saya sentiasa mengiringi mereka. Saya sebagai guru tidak meminta lebih melainkan kebahagiaan apabila melihat anak-anak didik saya berjaya. Sesayup mata memandang mereka dari kejauhan saya panjatkan kesyukuran pada-Mu Tuhan, biarlah mereka lupa pada wajah dan jasa saya tetapi jangan sesekali lenyapkan ingatkan saya terhadap semua anak-anak didik saya.

SESAYUP MATA MEMANDANG HATI TERINGAT MASA LALU


Sesekali dalam kesibukanku aku selalu menoleh masa lalu yang selalu dirindu. Perjalanan kerjaya diri ini amat berwarna warni, Tuhan pertemukan aku dengan mereka tatkala aku masih belajar untuk menjadi hamba-Nya yang solehah. Alhamdulillah, hubungan kami terjalin indah dan manis hinggalah aku terpaksa melangkah dek kerana haluan berbeza. Namun begitu aku masih dibalut kenangan dan dihantui kemesraan dan kemanisan hubungan yang terjalin. Aku tidak mudah untuk melupakan mereka tetapi aku nekad untuk menimbulkan kebencian dihati mereka agar aku tidak lagi bermain dengan kenangan yang tercipta sejak sekian lama.

Alhamdulillah, tahun lalu doaku termakbul berjumpa dengan sebahagian daripada mereka. Walaupun pedih aku terpaksa melakonkan watak antagonis supaya terlihat angkuh dan tidak manis seperti sewaktu dahulu ramahnya pada mereka tidak terbilang dan tak terkata kerana bagiku merekalah keluarga, sahabat dan teman setia. Sepanjang pertemuan itu, aku senyapkan dan mengasingkan diri. Ya, aku tahu mereka pun sudah tidak menganggap aku saudara cuma aku yang sentiasa ingat pada mereka. Ramuan aku berjaya, sekembalinya ke Sibu aku tulis sesuatu di ruangan ini. Sesungguhnya, dengan izin-Nya aku bukanlah seperti itu tetapi untuk menghilangkan sakitnya rindu, aku harus menghapuskan semuanya.

Ya, segalanya terhapus dengan mudah. Akan tetapi, sesekali teringat juga namun tidaklah seperti dahulu. Mereka semua ilmuan yang dipertemukan dengan aku yang kurang ilmu dan kurang pengalaman. Segala ilmu yang ku catat dalam semua perbincangan selalu aku jadikan rujukan hingga kini. Kini, aku tidak pernah alpa mendoakan mereka agar terus sukses berkelana memberi khidmat dan bakti di medan yang tidak sedenai dengan aku. Ya, Allah, berikanlah aku keampunan andai silap buat ku telah menjadikan kami berpatah arang berkerat rotan. Aku hanya insan biasa yang tidak sempurna laku dan minda. Aku ikhlas menerima andai mereka tidak lagi ramah seperti dahulu. Aku buka hati seluas samudera andai mereka tidak lagi mengenali diriku kerana itulah yang menyeksa jiwaku selalu.

Aku akan selalu ingat waktu kami bersekang mata, bertelagah idea hingga heboh bilik persidangan. Aku akan selalu ingat hotel itu rumahku dan rumahku hotel. Petang jumaat aku terbang ke Kuala Lumpur dan balik pada petang Ahad ke Sibu dan malam sampai di rumah. Esok paginya aku ke sekolah. Oleh sebab selalu naik kapal terbanglah doktor sahkan aku sakit gegendang telinga hingga kini. Akan tetapi, aku tidak pernah kesal kerana aku pergi bukan bermain tetapi untuk diskusi ilmu. Ketika itu, aku tidak pernah kongsikan keletihan, kepayahan dan kesakitan. Aku selalu bersyukur dan menghargai setiap waktu bersama. Kami semua bagaikan keluarga hinggakan ahli keluarga sesetengah daripada mereka pun sering bercerita dan menyapa setiap kali kami bertemu.

Pada-Mu aku mohon, berikan mereka kesihatan dan rezeki yang tidak pernah putus. Limpahi mereka dengan kebahagiaan  sepanjang hayat agar hidup mereka sentiasa mewangi dan mengharum. Doaku juga, agar mereka terus cekal dan tabah berbakti di medan yang orang tidak fahami kerana pengorbanan mereka hanya Engkau sahaja yang melihat dan memberikan ganjaran pahala. Andai kami bersua dalam dunia yang sempit ini, berilah peluang untukku memandang andai mereka sudah tidak mengenali, dan berikan aku waktu untuk menyapa walau hanya di dalam hati.