28 Disember 2011

ISU UMUM : HADIAH MALAYSIA UNTUK DUNIA

Penulis ialah Profesor Ulung di UKM dan Timbalan Pengerusi, Majlis Profesor Negara (MPN).


Dalam ucapan beliau di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata "Melampaui batasan semua agama, tanpa disedari kita telah membenarkan suara-suara sumbang golongan serpihan menenggelamkan banyak suara rasional dan munasabah." Perdana Menteri mengagaskan Gerakan Kesederhanaan Global (Global Movement of the Moderates - GMM) merentasi semua kepercayaan "untuk melawan dan menyisihkan pelampau yang telah menjadikan dunia sebagai tawanan mereka melalui sifat prasangka dan berat sebelah." Beliau menyebut 'keseimbangan' yang dicapai di Malaysia sebagai satu contoh yang membawa kepada kesederhanaan atau wasatiyyah dalam tradisi keadilan bersama dalam Islam. Di East-West Centre, Hawaii bulan lalu, beliau mengumumkan sebuah persidangan antarabangsa mengenai Gerakan Kesederhanaan Global akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 17 sehingga 19 Januari, tahun hadapan.

Apa yang membimbangkan masyarakat dan kerajaan di seluruh dunia adalah apabila perilaku ganas pelampau diangkat ke taraf gerakan sosial yang lebih besar atas justifikasi sejarah, agama, ekonomi dan politik, yang akhirnya telah mengorbankan ratusan ribu nyawa mereka yang tidak berdosa. Untuk kembali kepada kesederhanaan adalah sesuatu yang rasional dan logik malah sangat mustahak dari moral, perilaku dan peradaban. Persoalannya siapakah yang bakal menjuarai "kesederhanaan" di pentas global. Perdana Menteri kita dan juga Malaysia sekarang merupakan juara dan peneraju inisiatif bermakna ini dalam politik global. Jika diterima pakai secara global, Malaysia mampu mentakrif semula dan mentransformasi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), dan memimpinnya dalam bentuk baru dengan nama baru, iaitu, GMM. Seimbas pandang, usaha ini kelihatan seperti mudah, rasional dan suatu agenda yang munasabah untuk sebuah gerakan besar. Namun begitu, menyempurnakan tugas ini melibatkan perancangan diplomatik yang kompleks dan realpolitik yang halus.

Saranan mengenai GMM ini telah disokong di Mesyuarat Asia-Eropah (ASEF) kali ke-8 di Brussels pada tahun lalu dan Communique Akhir Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2011 pada tahun ini, yang menyatakan komitmen untuk menambah baik keadaan keselamatan dunia dengan mengambil beberapa langkah, salah satunya adalah "menghayati kesederhanaan sebagai nilai penting untuk mengatasi segala bentuk ekstremisme, sebagaimana disarankan oleh "Gerakan Kesederhanaan Global". Sesuailah untuk istilah wasatiyyah digugurkan daripada digunakan. Biarpun betapa penting istilah ini, khususnya dari segi politik domestik, namun adalah tidak bijak untuk kita terus menggunakannya sebagai saingan kepada istilah "moderate', yang sudah diterima pakai di pentas antarabangsa. Diharapkan Seminar Kebangsaan Mengenai Pemahaman Wassatiyyah dan 1Malaysia, pembuka tirai Perhimpunan Agung UMNO bulan lalu, harus menjadi acara terakhir bagi istilah wasatiyyah digunakan dan dikaitkan dengan dengan promosi GMM.

Kehadiran istilah wasatiyyah sebagai tandingan kepada moderate akan mencairkan impka GMM kerana orang akan tertanya-tanya, apakah ini GMM atau GWM (Global Wasatiyyah Movement). Yang jauh lebih penting lagi untuk segera dilaksanakan ialah pengisian konseptual GMM yang boleh difahami dan dihayati oleh rakya Malaysia dari semua lapisan dan juga rakyat serta pemimpin seantero dunia. Perdana Menteri percaya bahawa keseimbangan wujud dalam masyarakat Malaysia "yang membawa kepada kesederhanaan bukan wasatiyyah". Para 'pemikir' yang mendampingi Perdana Menteri tentunya telah bersedia untuk menghurai perkara-perkara yang berikut yang pokok kepada GMM. Pertamanya, konsep keseimbangan itu perlu diperjelas. Kedua, kaedah yang digunakan oleh kerajaan Malaysia selama ini untuk mencapainya juga perlu digariskan satu-persatu. Ketiga, langkah praktikal yang telah dilaksanakan untuk membina dan mengekalkan keseimbangan tersebut perlu diperturunkan.

Keempat, penjelasan bagaimana pemantauan dilakukan terhadap impak setiap amalan praktikal telah menghasilkan keseimbangan itu. Kelima, cara menilai kejayaan, kegagalan dan akibat yang tidak dijangka daripada kegiatan untuk mencipta kestabilan tersebut. Keenam, menyediakan suatu pakej komprehensif yang bermanfaat mengenai cara keseimbangan ini akhirnya tercapai, contohnya, yang boleh diguna dan mudah difahami dari peringkat pra-sekolah ke universiti, sebagai prosedur untuk digunapakai oleh masyarakat, secara global. Yang paling utama sebenarnya adalah untuk kita menjelaskan asal-usul dan prasyarat kewujudan keseimbangan sosial yang terdapat hari ini di Malaysia yang pula berjaya membuahkan kesederhanaan yang telah diperagakan oleh Perdana Menteri kita ke seluruh dunia.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
26 DISEMBER 2011

ISU PENDIDIKAN : KECEMERLANGAN BUKAN SEKADAR AKADEMIK SEMATA-MATA

Tan Sri Allimuddin Mohd Dom
Pengerusi
Yayasan Guru Malaysia Berhad


Tahniah kepada 34,271 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang iaitu A dalam semua mata pelajaran. Demikian juga kepada pelajar lain yang mendapat sekurang- kurangnya beberapa A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan baru-baru ini. Kepada mereka yang tidak cemerlang atau tidak mendapat satu A pun janganlah kecewa dan berputus asa kerana dunia masih belum lagi berakhir. Ada banyak lagi perkara yang perlu anda fikirkan dalam hidup ini dan kejayaan masa depan bukan semata-mata bergantung kepada kecemerlangan akademik tetapi melibatkan beberapa kriteria lain. Kepada ibu bapa janganlah menunjukkan sikap marah atau mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hati anak sekiranya mereka tidak mendapat keputusan cemerlang. Elakkan suka berleter atau menyindir kerana ia boleh mengecilkan hati anak. Ada juga ibu bapa yang sengaja membandingkan dengan anak jiran atau sanak saudara lain yang mendapat keputusan lebih baik. Pada ketika ini apa yang perlu dilakukan ialah memberi mereka kekuatan semangat atau kata-kata galakkan supaya membuat penilaian atau muhasabah diri dan berusaha lebih keras agar mendapat keputusan lebih baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan ditempuhi dua tahun lagi.

Tidak dapat dinafikan fenomena dalam setiap kali peperiksaan sama ada di peringkat rendah atau menengah ibu bapalah yang paling sibuk jika dibandingkan dengan anak yang mengambil peperiksaan. Sebelum tarikh peperiksaan bermula pergerakan anak sentiasa dikawal. Ada di antara ibu bapa yang tidak membenarkan anak mengikuti aktiviti kokurikulum dan permainan di sekolah kerana dikatakan akan mengganggu rentak mereka membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan. Kelas-kelas tuisyen sudah menjadi kemestian, tidak cukup di sebelah petang maka waktu malampun terpaksa menghadiri kelas tersebut. Bagi yang lebih prihatin akan mengambil cuti khas untuk membolehkan mereka menghantar dan mengambil anak ke sekolah sepanjang masa peperiksaan. Debaran ibu bapa kian memuncak apabila keputusan peperiksaan diumumkan. Di sesetengah sekolah bilangan ibu bapa yang hadir melebihi bilangan calon yang mengambil peperiksaan. Bila keputusan diumumkan ibu bapa akan tersenyum lebar sekiranya anak mendapat keputusan cemerlang tetapi akan masam mencuka jika keputusan sebaliknya. Ada juga yang tidak berpuas hati dengan keputusan lantas berjumpa pengetua untuk mengisi borang bagi menyemak semula keputusan peperiksaan yang baru diumumkan itu.

Turut terdapat kes yang keterlaluan iaitu dengan marah-marah dan menyalahkan guru atau pihak sekolah yang menyebabkan anaknya tidak mendapat keputusan baik. Suasana meriah apabila keputusan peperiksaan UPSR, PMR, SPM atau STPM diumumkan turut dimainkan oleh media massa. Wartawan akhbar atau televisyen bukan sahaja membuat liputan semasa pengumuman keputusan peperiksaan di Kementerian Pelajaran tetapi turut menghantar wartawan ke sekolah-sekolah tertentu. Suasana hiruk-piruk semasa penyerahan slip peperiksaan atau ketika pelajar bersorak riang diberikan fokus utama. Gambar pelajar dijulang atau sedang menangis kegembiraan turut diberi liputan. Menjadi kebiasaan temu bual dibuat dengan pelajar cemerlang dan ibu bapa. Ironinya jarang yang memberi pujian kepada jasa dan sumbangan guru atau pengetua. Akibat terlalu banyak liputan dan publisiti oleh media massa terhadap pencapaian pelajar dalam peperiksaan maka ada yang bertanya adakah matlamat pendidikan seolah- olah terletak kepada keputusan peperiksaan?

Sekolah-sekolah yang cemerlang hanya dinilai terhadap berapa peratus keputusan cemerlang dalam setiap mata pelajaran atau berapa ramai pelajar yang mendapat A dalam peperiksaan tersebut. Terlalu menekankan pencapaian dalam peperiksaan atau komponen intelek sahaja maka bidang jasmani, rohani dan emosi seolah-olah telah diabaikan. Sedangkan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan menghendaki perkembangan seimbang dalam keempat komponen tersebut supaya dapat dilahirkan modal insan atau individu yang bersifat holistik dan berketerampilan sesuai dengan keperluan cabaran global dan tuntutan masa. Jika ditanya kepada pengetua atau guru- guru mengapa mereka turut memberi penekanan kepada bidang akademik. Jawapannya telah dijangka bahawa inilah yang dikehendaki oleh ibu bapa iaitu ingin melihat anak- anak mereka mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan. Tidak dapat dinafikan pencapaian itu pula ada kaitan dengan peluang untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dan bagi mendapat biasiswa atau bantuan pelajaran.

Ternyata bahawa peluang memasuki institusi pengajian tinggi awam yang ternama dan memilih bidang kajian yang diminati adalah banyak dipengaruhi kecemerlangan keputusan peperiksaan. Sesungguhnya keadaan ini adalah di luar kawalan pihak sekolah dan norma itu telah lama wujud dalam masyarakat kita. Apakah ukuran sebenar untuk menjadi seorang pelajar yang berjaya di masa hadapan? Tidak dapat dinafikan bahawa pencapaian cemerlang dalam peperiksaan adalah salah satu kriterianya. Walau bagaimanapun ciri-ciri lain perlu ada iaitu mempunyai pemikiran yang kreatif, inovatif, kemahiran berkomunikasi, kebolehan membuat keputusan, sikap berani mencuba, tidak takut gagal, rajin, ada kesungguhan, proaktif dan mempunyai tubuh badan yang sihat. Individu yang mempunyai ciri-ciri tersebut dikatakan mempunyai kelebihan, peluang dan kekuatan selepas meninggalkan bangku sekolah. Mereka mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran dan berkeupayaan bersaing dalam dunia yang kian mencabar.

Oleh itu kepada pelajar yang tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang lepas jangan merasa kecewa atau berputus asa. Cuba bermuhasabah diri dan renungkan kembali apakah sebab atau punca yang yang menyebabkan keputusan tidak menyerlah. Ambil langkah susulan dan tindakan segera bagi memperbetulkan keadaan tersebut. Walaupun peperiksaan SPM akan menjelang dua tahun lagi tetapi buatlah persediaan awal supaya pencapaian yang akan datang lebih cemerlang. Kepada ibu bapa pula berikan dorongan dan bimbingan agar anak sentiasa merasa lebih dihargai dan yakin dengan kebolehan diri mereka sendiri.

Selamat berusaha.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
26 DISEMBER 2011

ISU UMUM : APABILA MULUT MEMBAWA PADAH

Oleh Johardy Ibrahim


Begitu bingit isu penyerang Liverpool FC, Luis Suarez didapati bersalah menuturkan perkataan perkauman atau rasis terhadap kapten Manchester United, Patrice Evra minggu ini. Suarez dikenakan hukuman penggantungan lapan permainan dan denda 40,000 pounds (RM200,000). Isu itu menjadi rumit kerana banyak pihak tidak mengendahkan bantahan Liverpool FC terhadap kaedah yang digunakan oleh Persatuan Bolasepak Inggeris atau FA tidak sama seperti kaedah konvensional amalan mahkamah sivil. Ramai yang memilih untuk melihat Suarez sudah didapati bersalah semata-mata dan mahu dia menjalani hukuman tersebut, selain menjadikannya kes contoh kepada semua yang terlibat atau meminati bola sepak Inggeris. Kes serupa dihadapi oleh kapten Chelsea, John Terry yang dituduh menuturkan perkataan seumpamanya kepada Anton Ferdinand dari kelab Queen's Park Rangers, yang juga adik pemain Manchester United, Rio Ferdinand. Bezanya, kes Terry disiasat oleh polis ekoran laporan oleh orang awam dan dia perlu hadir ke mahkamah pada 1 Februari tahun depan. Hanya selepas itu dan jika didapati bersalah, barulah FA pula akan menjatuhkan hukuman.

Chelsea, seperti Liverpool berdiri teguh menyokong pemainnya dalam kes itu. Namun, kes Suarez ditangani secara tertutup dalam FA kerana tuduhan Evra adalah tuduhan dari mulutnya seorang terhadap Suarez dan tiada laporan polis dibuat. Kedua-dua kes tuduhan perkauman dalam dunia bola sepak Inggeris sebenarnya adalah cerminan kepada masyarakat Inggeris itu sendiri yang antara paling awal terbabit dalam perdagangan hamba abdi Afrika pada kurun ke-18 dan sentimen perkauman itu berlarutan ke hari ini. Meskipun banyak usaha asimilasi dan integrasi dilaksanakan oleh kerajaan British di seluruh tanah jajahannya di United Kingdom, isu perkauman terus wujud dan ia makin sulit dengan kewujudan Islamofobia pula. Sementelah profiling kaum di pintu-pintu masuk berkait rapat dengan isu keselamatan, ia menjadi satu dilema dalam masyarakat. Industri bola sepak adalah satu daripada sumber pendapatan terbesar kepada Britain dan diikuti oleh pelbagai lapisan masyarakat Britain umpama agama kedua. Kata-kata kesat yang dilemparkan kepada pemain berkulit hitam terutama oleh penyokong lawan di dalam stadium, menjadi pendorong kepada FA untuk melancarkan kempen KICK IT OUT (sepak ia keluar), Say No To Racism (Katakan tidak kepada rasisme).

Bagi para penyokong Liverpool, dalam kes Suarez ia bukan semata-mata soal sebuah kelab menentang pertuduhan terhadap pemain utamanya. Bukan kerana kesetiaan membuta-tuli. Jika ada bukti jelas dan melangkaui keraguan munasabah (beyond reasonable doubt), pasti penyokong setia akan akur dan terima hukuman terhadap Suarez tersebut. Tatkala Suarez mengaku ada menyebut 'negro' yang dianggap satu ayat perkauman, dia mendakwa datang daripada Uruguay, perkataan itu bukan penghinaan. Masalahnya, hujah tersebut tidak teguh dan mungkin di sini panel penyiasat FA mendapati wujud kes pada Suarez. Laporan penuh secara bertulis keputusan FA masih ditunggu dan hanya selepas itu, barulah Liverpool dan Suarez akan mengemukakan rayuan. Isu yang menjadi kemarahan ramai penyokong Suarez (termasuk di Uruguay), tuduhan asal itu hanya tuduhan mulut sebelah pihak. Tiada bukti video, atau didengar oleh pihak ketiga dan pengadil tidak mengetahuinya hanya selepas Evra membawa bosnya, Sir Alex Ferguson membuat aduan rasmi semasa perlawanan kedua-dua pasukan Februari lalu.

HANYA TUDUHAN

Bila ia hanya "tuduhan sebelah pihak'' tetapi FA telah membuat keputusan mendapati Suarez bersalah, kemudiannya menjatuhkan hukuman paling berat untuk kes seumpamanya iaitu gantung lapan perlawanan. Bermakna, sesiapa pun selepas ini boleh membuat aduan kepada FA bahawa Alex Ferguson telah menghina pemain menggunakan kata kesat dalam dialeg Scotland dan pengurus veteran itu patut menerima nasib serupa dengan Suarez. Apa pun, semua kelab di dunia mungkin risau untuk mengimport pemain dari Montenegro. Saya tidak arif mengenai butiran perundangan tetapi seharusnya pihak pengadilan seperti FA mempertimbangkan juga hujah Suarez yakni perkataan 'negro' bukan bersifat rasis di negara asalnya, malah Uruguay sendiri memperakui kenyataan Suarez. Orang akan berkata, tidak peka bukan suatu alasan tetapi hakikatnya , tidak peka tetap diterima sebagai satu alasan. Perbezaan budaya Uruguay dan Britain wajar diberi pertimbangan oleh FA.

Ia samalah seperti penggunaan perkataan 'Indon' yang dibantah oleh Kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak (siap hantar surat rasmi ke pejabat!) tetapi apa bezanya perkataan 'Malingsia' yang diguna akhbar Indonesia dan dilaungkan oleh penyokong Garuda semasa mereka tewas di tangan Malaysia pada perlawanan akhir Sukan Sea yang lalu? Budaya seberang membenarkan penyokongnya mencemuh orang lain sebegitu rendah maruahnya tetapi budaya di Malaysia kita hormat permintaan orang asing. Cuba Kedutaan Malaysia hantar surat ke akhbar Indonesia supaya berhenti guna perkataan Malingsia atau mengeluarkan berita berbaur hasutan hingga bangunan kita diserang berkali-kali tahun ini. Cubalah. Tengok mereka layan atau tidak. Dalam konteks Suarez, perbezaan budaya jelas mempunyai merit. Lagipun, dia bukan saja-saja menuturkannya. Ia tercetus setelah Evra berkali-kali melakukan provokasi terhadapnya. Apakah ia satu taktik permainan kotor setelah Evra naik penat mengawal pergerakan Suarez?

Perlawanan antara Liverpool dan Manchester United sentiasa menjanjikan perlawanan yang hebat kerana para pemainnya akan bermain bermati-matian. Buktinya boleh dilihat dari segi jaringan gol dan kad kuning serta merah yang dilayangkan. Perkataan kesat adalah sebahagian daripada permainan. Jika benar-benar hendak mematuhi kempen anti-rasisme, maka seluruh penyokong Manchester United hendaklah digantung daripada menyaksikan perlawanan apabila menyebut 'you Scouse thieves' (awak Scouse si pencuri). Scouse adalah loghat penduduk Liverpool. Tentunya ini tidak akan berlaku. Aspek inilah yang dilihat oleh penyokong Liverpool sebagai suatu ketidakadilan terhadap Suarez. Tindakan FA dianggap bersifat mencari kambing hitam dan sekadar mahu mendapatkan kes contoh untuk kempen anti-rasisme, maka Suarez adalah mangsanya. Ramai berpendapat bukti yang digunakan dalam siasatan kes itu tidak menepati kriteria prinsip pengadilan di mahkamah sivil.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
25 DISEMBER 2011

ISU ANTARABANGSA : WAJAH-WAJAH KEMISKINAN DI AMERIKA SYARIKAT

Oleh Hafizahril Hamid


Wajah Dylan Burger, yang hanya berusia lapan tahun kelihatan gembira menari bersama rakannya di sebuah kelab kanak-kanak di Santa Monica, California. Namun kegembiraan wajahnya itu hanya sementara berikutan dalam usia semuda itu dia terbeban dalam realiti kemiskinan yang melanda keluarganya. Bapanya Tracy Burger, 45, dan ibunya Elizabeth, tidak dapat berselindung tentang kesusahan hidup setelah kini terpaksa tinggal di garaj rumah ibunya. Kedua mereka merupakan pekerja kolar putih dengan pendapatan digabungkan mencecah AS$100,000 juta (RM310,000) setahun. Namun akibat krisis sub prima, kedua mereka hilang pekerjaan, diikuti apartmen sebelum semua harta benda mereka yang lain dirampas. Itulah realiti yang berlaku di negara yang terkenal dengan jolokan Uncle Sam. Setelah dilanda kegawatan ekonomi yang berlanjutan sejak empat tahun lepas akibat krisis sub prima, nampaknya keadaan masih belum nampak sebarang perubahan. Kini tahun baru 2012 bakal menjelang tiba tidak berapa lama lagi. Dan berdasarkan kajian pihak berkuasa AS, kedudukan ekonomi mereka masih jauh dari pulih malah kemiskinan dan kesengsaraan rakyatnya semakin ketara.

KADAR YANG TERTINGGI

Angka terbaru jumlah kemiskinan di AS berdasarkan Laporan Jabatan Perubahan dan Pembangunan Bandar AS, meningkat pada kedudukan tertinggi sebanyak 46.2 juta orang. Angka ini merupakan rekod tertinggi sejak jabatan itu mula mengumpul data mengenai keluarga miskin pada tahun 1959. Dari jumlah itu, dianggarkan 9.2 juta penduduk AS hidup bawah paras kemiskinan manakala hampir 700,000 rakyat negara itu tiada tempat tinggal. Kemiskinan di AS adalah berlandaskan dari pendapatan tahunan rakyatnya yang kurang daripada AS$22,314 (RM69,173) untuk keluarga dengan empat orang ahli atau AS$11,139 (RM34,350) bagi seorang. Melihat kepada statistik baru ini jumlah warga AS yang hidup di bawah garis kemiskinan ini meningkat dalam tempoh empat tahun berturut-turut. Data tersebut turut menyatakan warga kulit hitam dan Hispanik menduduki kedudukan pertama daftar kemiskinan tertinggi. Laporan itu mencatatkan 25.8 peratus warga kulit hitam hidup dalam kemiskinan, sementara keturunan Hispanis mencecah 25.3 peratus.

Rata-rata pendapatan tahunan keluarga di sana berdasarkan laporan ini adalah sekitar AS$ 49,445 (RM153,279 ) menurun 2.3 peratus berbanding tahun sebelumnya. Angka kemiskinan di negara itu meningkat di atas 15 peratus, meningkat 0.7 peratus berbanding tahun sebelumnya. Demikian juga halnya dengan angka pengangguran yang meningkat di atas 9 peratus. Sementara itu, warga Amerika yang tidak mempunyai insurans kesihatan tetap pada kedudukan kira-kira 50 juta orang. Melihat kepada keadaan semasa ini adalah tidak mengejutkan ramai di antara mereka terpaksa merempat di tepi jalan mahupun tinggal di kawasan saliran bawah tanah. Ini yang berlaku kepada pasangan kekasih, Steven dan Kathryn serta pasangan suami isteri, Amy dan JR yang memilih untuk menetap di bahagian bawah 'Kasino Ceaser Palace', iaitu di terowong saliran bawah tanah. Mereka telah menetap di situ sejak 2008 memandangkan kos hidup yang tinggi selain sukar mendapat pekerjaan.

Ramai juga di antara mereka merupakan penagih dadah tegar dan memilih hidup di situ kerana polis jarang mengganggu mereka. Namun akibat kegawatan ekonomi yang mengakibatkan ramai di antara mereka hilang tempat tinggal, jumlah penduduk di terowong saliran bawah tanah meningkat sehingga lebih 700 orang. Hujan bukanlah sesuatu yang biasa berlaku di Vegas dan ini membolehkan mereka yang tinggal di dalam terowong ini selesa malah menganggap kediaman itu sebagai sesuatu yang memadai. "Namun apabila hujan lebat turun tanpa henti selama dua jam, ia menyedarkan kami bahawa kediaman ini sebenarnya sebuah terowong dan ia jauh daripada selesa kerana arus deras akan membawa pergi semua barang-barang kami," kata Amy.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
25 DISEMBER 2011

27 Disember 2011

ISU UMUM : PUTRAJAYA, DARI LELONGAN, JADI REBUTAN PULA

Oleh
Zulkifli Jali
Ketua Biro Utusan Malaysia Putrajaya
(2008-2011)


Pusat pentadbiran persekutuan yang diasaskan pada 1995 ini. Kita bernasib baik sebenarnya kerana memiliki Putrajaya. Tanpa Putrajaya, Malaysia pasti belum sampai kemuncaknya seperti hari ini. Bayangkan kalau arkitek Putrajaya, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengiakan tohmahan pembangkang bahawa projek membina Putrajaya suatu pembaziran. Katakan, Dr. Mahathir membatalkan rancangannya, kita boleh jangkakan kesudahannya. Jika belanja untuk menyiapkan Putrajaya menelan AS$8.1 bilion pada sekitar 1995, kosnya pasti meningkat mendadak beberapa kali ganda setelah krisis ekonomi 1997/98. Dan tentunya berpuluh-puluh bilion jika dibina waktu ini. Nasib baiklah projek bandar metropolis seluas 37,000 ekar iaitu 3/4 dari bandar Manhattan, New York itu diteruskan. Putrajaya berada dalam segmen kolum ini kerana ia cukup signifikan dalam kancah politik tanah air saat ini. ‘Bandar dalam taman’ ini ibarat satelit politik Malaysia dan cukup diidamkan oleh semua parti politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 (PRU13) yang kian hampir ini. Putrajaya adalah bandar pintar dan merupakan lambang kemegahan pusat pentadbiran negara yang dikagumi negara lain di dunia.

Idea menjadikan Putrajaya satu kenyataan turut menjadi ikutan tetangga kita, Indonesia yang mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah kepadatan penduduk, kesesakan jalan raya dan banjir teruk di Jakarta. Iaitu dengan memindahkan ibu negara Jakarta ini ke lokasi lain. Apatah lagi Jakarta, tidak mempunyai sistem kereta api bawah tanah, mengalami kerugian kira-kira AS$1.4 bilion (RM4.3 bilion) dari segi masa dan bahan api. Selain Malaysia yang memindahkan pusat pentadbirannya, beberapa negara turut memindahkan ibu negara mereka ke tempat lain seperti Brazil, Pakistan dan Myanmar atas pelbagai sebab sama ada faktor politik hingga ekonomi. Tentunya rakyat Malaysia tidak lupa bagaimana semasa pembinaan Putrajaya, ia dikecam hebati pembangkang sebagai satu projek pembaziran wang rakyat. Pas menerusi seorang presidennya pada era 90-an pernah menyuarakan akan melelong Putrajaya sekiranya parti pembangkang dapat menguasai tampuk pemerintahan negara. Tetapi kini, setelah 12 tahun berlalu, penggantinya menjadikan Putrajaya sebagai matlamat dan sasaran.

Tidak ada lagi ungkapan agar Putrajaya yang dianggap satu projek membazir wang rakyat mahu dilelongkan. Penasihat PKR, Anwar Ibrahim juga tidak terkecuali kerana menganggap Dr. Mahathir membina Putrajaya untuk kepentingan bekas mentornya itu. Ternyata semua itu tidak benar kerana sesudah Putrajaya siap, Dr. Mahathir mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri. Berbanding 40 buah keluarga yang berpindah ke Putrajaya pada 1999, kini bancian 2010 menunjukkan populasi Putrajaya adalah seramai 70,000 orang. Kakitangan kerajaan sahaja dianggarkan sekitar 54,000 orang. Populasi pada waktu siang pula dianggarkan dalam lingkungan 150,000 orang. Dan sehingga Jun lepas, jumlah pengundi di situ adalah kira-kira 10,000 orang tidak termasuk hampir 9,000 belum berdaftar. Dari segi pembangunan, sehingga April tahun ini sahaja lebih 2.4 juta meter persegi (mp) ruang lantai pejabat kerajaan telah disiapkan untuk menempatkan 21 Kementerian dan lebih 40 jabatan kerajaan. Keseluruhan perpindahan kementerian ke Putrajaya dijangka pada hujung bulan ini dan memasuki Januari nanti. Sejumlah 26,000 unit kediaman juga dibangunkan dengan kebanyakannya kuarters kerajaan.

Selain itu, pembangunan ruang lantai komersial yang dibina berjumlah 440,000 mp telah disiapkan dan seterusnya pada tahun-tahun akan datang bakal menyaksikan pembangunan aktif di sektor ini. Kepesatan dijangka berterusan untuk tempoh lima tahun akan datang dengan pembangunan pejabat-pejabat swasta. Peralihan kepada pembangunan sektor swasta ini menandakan pembangunan komponen kerajaan di Putrajaya telah hampir ke penghujungnya, kecuali baki unit kediaman dan kemudahan sokongan lain (sekolah, pusat kejiranan dan lain-lain). Putrajaya juga sentiasa bersemangat dengan projek-projek masa depannya. Perbadanan Putrajaya (PPj) yang diketuai Tan Sri Samsudin Osman dalam peringkat penyediaan tempat letak kereta bertingkat sejumlah hampir 1,000 petak di Presint 4 yang menempatkan empat kementerian baru yang mula beroperasi pada tahun ini. Pembangunan bermula pada suku keempat tahun ini. Projek yang sedang dikaji di bawah NKEA Vitalizing Putrajaya bagi memeriahkan Persiaran Perdana dan Pesisir Tasik Putrajaya termasuklah penyediaan kiosk, menambah penganjuran aktiviti bertaraf antarabangsa, penyediaan water taxi, menambahbaik pencahayaan di pesisir tasik dan beberapa aktiviti lain.

Putrajaya Holdings Sdn. Bhd pula akan membangunkan lebih banyak kawasan komersial termasuk di Pesisir Tasik yang terletak bertentangan dengan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, juga sedang berusaha untuk menarik salah sebuah Universiti bertaraf dunia ke Putrajaya. Pada masa sama, membangunkan lebih banyak kediaman dari pelbagai jenis dan pilihan kepada pengguna termasuklah kediaman PR1MA yang baru-baru ini dilancarkan oleh Perdana Menteri. Dan sehingga kini, sebanyak 49 lot daripada jumlah keseluruhan 61 lot kedutaan di Presint Diplomatik Putrajaya, Presint 15 telah dibeli. Setakat ini juga PPj masih giat meneruskan usaha memasarkan dan menjual semua baki lot-lot kedutaan yang masih ada di Kawasan Diplomatik Putrajaya iaitu 12 lot di Presint 15 dan 4 lot di Presint 4. Selain orang tempatan, ramai pemimpin dan warga asing datang mengunjungi Putrajaya. Kebanyakan mereka memuji dan mengakui kecantikan dan keunikan bandar ini. Jika negara seperti Korea dan Jepun terpegun dengan keindahannya, maka ia adalah satu pengiktirafan Putrajaya sebagai model perancangan bandar yang boleh diketengahkan. Melangkaui 2015 nanti, Putrajaya diyakini tertera sebagai sebuah bandar mampan dari segi sosial, ekonomi dan alam persekitarannya. Ini termasuk merealisasikan nya sebagai perintis Bandar Hijau menjelang 2025. Syabas Putrajaya. Teruskan komitmen sebagai contoh bandar terancang yang bukan sahaja domestik malah seluruh dunia.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
27 DISEMBER 2011

ISU PENDIDIKAN : SEMAK DASAR PENDIDIKAN

TAN SRI DR. NORDIN KARDI
Penyandang Kursi Za'ba
Universiti Pendidikan Sultan Idris.


Pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini tentang penubuhan jawatankuasa menyemak semula dasar dan pelaksanaan pendidikan di negara ini seharusnya mengusik deria semua pihak dari orang tua hingga kanak-kanak yang sudah pandai membezakan perkara buruk dan perkara baik. Hal ini sewajarnya demikian kerana pendidikan adalah segala-galanya bagi negara Malaysia yang aman dan makmur ini. Rekod menunjukkan bahawa pembangunan pendidikan adalah sektor kemajuan negara terbaik. Meski banyak melalui gelombang cabaran, data-data memihak kepada kenyataan bahawa sektor pendidikan berjaya cemerlang mengatasi segala pukulan gelombang tersebut berbanding upaya-upaya negara dalam sektor lain. Pengumuman bahawa Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia yang sangat berpengalaman itu mempengerusikan jawatankuasa yang dimaksudkan sangat dialu-alukan. Saya yakin beliau akan memimpin jawatankuasa itu dengan pendekatan saintifik yang tepat bukan berpandukan semangat sahaja yang berkobar-kobar tetapi berada di awang-awangan atau atas pertimbangan tahyul-tahyul politik yang kerap membingungkan.

Sudah tentu aspek politik tidak boleh dikesampingkan kerana ia juga sebahagian daripada urat nadi kesejahteraan negara, namun semua pertimbangan politik itu hendaklah dianalisis secara saintifik berpandukan data konkrit bukan dengan buaian lagu sentimental. Sebagai seorang yang terlatih dalam bidang farmasi, Dzulkifli hendaklah menyuntik dirinya dengan ubat pelali daripada dijangkiti wabak sentimental itu. Dia hendaklah tidak melayan jelingan menikam atau suara keras anggota jawatankuasa itu nanti, tapi dengar apa isi dan maksud suaranya yang nyata dan yang tersembunyi. Sambil mempertimbangkan praktikaliti suasana semasa Dzulkifli hendaklah tidak membelakangi dasar-dasar yang lepas sambil tidak pula taksub mempertahankannya. Untuk tujuan itu wajiblah dia meneliti dua akta penting terdahulu iaitu Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Jarak masa 35 tahun diambil bagi melaksanakan Akta Pelajaran 1961 sebelum dianya disemak berbanding Akta 1996 yang belum mencapai usia baligh 15 tahun. Beliau hendaklah mula bermenung bermuhasabah mengapa dasar yang baharu berusia empat belas tahun itu hendak disemak?

Jawapan seperti 'dunia telah berubah dengan pantas' mungkin jawapan yang sangat memujuk dan munasabah, namun beliau hendaklah tidak terus tergoda dengan jawapan mudah, sebaliknya berpegang teguh kepada prinsip saintifik bahawa kebenaran hendaklah diselongkar dari segenap penjuru. Setelah ditemui dengan nyata dan yakin potonglah tumor, kudis atau lebihan lemak yang tidak menyihatkan tetapi jangan abaikan intan permata yang ada di dalamnya yang boleh digilap sampai berkilau. Selain itu, Dzulkifli juga hendaklah meneliti Penyata Razak 1957 dan Ordinan Pelajaran 1957 yang merupakan hembusan roh pertama dunia pendidikan Malaysia merdeka. Akta-akta lain yang mesti diteliti juga termasuk Akta Bahasa Kebangsaan 1964, 1967 dan semakan 1971. Demikian juga Akta Universiti dan Universiti Kolej 1975 dan semakannya 1975 dan 1996; Akta Politeknik 1974, Akta Majlis Peperiksaan 1980, Akta IPTS 555, 1996 dan Akta 556 LAN 1997. Sudah tentu Dzulkifli juga akan dengan teliti membaca semula laporan-laporan negara mengenai pelajaran atau pendidikan yang terdahulu seperti Laporan Rahman Talib (1960), Laporan Mengenai Pengajian Tinggi 1967 dan Laporan Universiti Malaya selepas 13 Mei 1970 dan Laporan Mahathir 1979.

Jawatankuasa yang akan bermesyuarat itu nanti akan menghadapi pelbagai cabaran yang memerlukan keberanian mengusik beberapa perkara sensitif dan sentimental tetapi amat penting untuk diteliti dalam konteks Malaysia menjadi negara bangsa dalam millenium 21 yang memerlukan kekuatan dan kepantasan luar biasa. Malaysia, yang mempunyai tiga kategori institusi pendidikan seperti Seksyen 16 Akta Pendidikan 1996 iaitu institusi pendidikan kerajaan; institusi pendidikan bantuan kerajaan dan; institusi pendidikan swasta, mungkin boleh diibaratkan seperti sebuah kenderaan yang mempunyai beban berat dan mengganggu sistem mekanikal yang saling bercanggah untuk terbang seperti kilat di angkasa lepas. Beranikah Dzulkifli mengusiknya? Beranikah juga nanti jawatankuasa itu menyentuh Seksyen 2 Akta Pelajaran 1996 yang antara lain di dalamnya terkandung kedudukan sekolah Cina dan sekolah Tamil, demi menjayakan hasrat melahirkan kesatuan negara Malaysia? Dasar terbuka pentadbiran awam yang diumumkan kerajaan baru-baru ini mudah-mudahan akan disentuh juga oleh jawatan kuasa ini nanti. Akta Pendidikan 1996 nampaknya seperti mundur dalam konteks pelantikan meskipun tidak ramai orang mengetahuinya.

Akta Pelajaran 1961 misalnya membiarkan secara terbuka sesiapa sahaja boleh dilantik untuk menjadi Ketua Pengarah Pelajaran tetapi Akta 1996 menyebut dengan terang bahawa Ketua Pengarah Pendidikan boleh dilantik daripada kalangan penjawat Perkhidmatan Pelajaran sahaja. Pemikiran Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang membawa gagasan perkhidmatan awam terbuka harus disokong dan dilihat sebagai langkah berani dan kehadapan demi kecemerlangan kepimpinan pendidikan juga. Akta Pelajaran 1961 menyamai hasrat KSN menjadikan Jawatan Utama di Kementerian-Kementerian sebagai Jawatan Terbuka yang baru-baru ini diumumkan. Demikian juga kuasa melantik yang saya sering timbulkan dalam beberapa tulisan terdahulu tentang bagaimana berpindahnya beberapa kuasa daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada orang politik/eksekutif iaitu Menteri. Akta Pelajaran 1961 menyebut kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Pengarah Pelajaran, Ketua Pendaftar Sekolah, Ketua Pendaftar Guru, Timbalan Pendaftar Guru, Ketua Nazir Sekolah dan Pengelola Peperiksaan.

Adakah bijaksana sekiranya kuasa Yang di-Pertuan Agong membuat pelantikan itu dikembalikan, terpulang sepenuhnya kepada kebijaksanaan jawatankuasa itu nanti menelitinya semula. Demikian juga dengan pelantikan naib canselor yang dahulunya di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri yang kemudian dipindahkan kepada kuasa Menteri dalam Akta Pendidikan 1996. Tidak ramai ahli masyarakat sekolah dan universiti yang menyedari akan perpindahan kuasa-kuasa ini pada 1996. Pengalaman Dzulkifli dalam Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) dan di Persatuan Antara Bangsa Universiti-universiti yang berpusat di Eropah dan Amerika Selatan yang pernah saya turut sertai tentu mempunyai pengaruh semasa dia mempengerusikan siri perbincangan itu nanti. Namun amat munasabah sekiranya beliau sentiasa beringat untuk mempunyai 'nyiru tempatan' untuk menapis dan mengayak 'antah-antah' yang mungkin tidak sesuai dengan saripati keperluan dan peradaban Malaysia yang tidak sepatutnya merasa rendah diri dengan peradaban dari dunia Eropah.

Pengalaman beliau di dalam dua badan itu akan memberikan keupayaan melihat Malaysia dengan keunikannya tertentu, kedudukan pendidikan Malaysia dalam konteks wilayah Asia Tenggara dan kedudukan pendidikan Malaysia dalam konteks dunia. Dalam konteks pengajian tinggi Dzulkifli tentu sangat fasih dengan kandungan Proses Bologna dana Triti Lisbon di Kesatuan Eropah. Saya jangka antara variabel yang akan diteliti oleh Dzulkifli dan rakan-rakannya nanti akan meliputi soal falsafah dan dasar pendidikan, sistemnya, pentadbiran, kepimpinan, isi kandungan, penilaian dan pengukuran pencapaian, guru, murid, alam keliling fizikal dan bukan fizikal dan antisipasi senario masa depan. Apa pun yang bakal dihasil dan dilapor oleh jawatankuasa ini nanti, saya menantikan sebuah laporan dan cadangan yang dibuat berdasarkan pemikiran yang bebas, waras dan saintifik. Unsur-unsur sentimental dan tahyul hendaklah diminimumkan. Meski pun demikian laporan itu hendaklah bertapak kukuh di atas asas peradaban Malaysia dengan segala kebanggaan terhadap khazanah-khazanah sejarah dan ilmunya serta keberanian belayar di lautan luas masa depan. Kesudahannya biarlah cadangan-cadangannya nanti jelas mempunyai semangat 'di mana bumi di pihak di situ langit dijunjung'.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
27 DISEMBER 2011

24 Disember 2011

ISU SOSIAL : WARGA ASING SEMAKIN GANAS

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Warga asing, pendatang haram, PATI dan pelbagai lagi gelaran diberikan kepada kumpulan ini. Walaupun rakyat Malaysia telah lali dengan kehadiran mereka, namun ia terus menghantui kehidupan harian masyarakat negara ini. Hakikatnya, warga asing yang masuk secara sah masih diperlukan dalam sektor-sektor tertentu terutamanya yang tidak mahu diceburi rakyat tempatan. Disebabkan rakyat negara ini tidak mahu gaji yang kecil, kerja kotor, berbahaya dan berpanas, kebanyakan kekosongan itu kini diisi warga asing termasuklah yang masuk secara haram. Apabila permintaan meningkat dan peluang kerja bertambah, semakin ramai pendatang asing yang masuk membanjiri bandar, kampung hinggalah ke kawasan-kawasan pedalaman. Malangnya, ada di antara pendatang asing ini mengambil jalan mudah masuk dengan tujuan menjalankan kegiatan jenayah sementara ada juga yang dipaksa ke arah itu akibat gagal mencari kerja dengan pendapatan yang cukup untuk menampung keluarga masing-masing. Sememangnya Malaysia bukan sahaja negara majmuk dari segi rakyatnya tetapi 'majmuk' juga dari segi kumpulan pendatang asing yang menyusup masuk.

Maka, tidak menghairankan antara jenayah yang paling biasa berlaku adalah pergaduhan dan pembunuhan di antara warganegara berbeza ini sama ada kerana berebut pekerjaan, kawasan penempatan haram, perempuan mahupun disebabkan ego dan 'maruah' puak masing-masing. Tidak kurang juga yang terlibat dengan jenayah kekerasan dan vandalisme akibat mabuk kerana ada di antara mereka yang meneruskan amalan tradisi suka meminum arak selepas sehari bekerja atau ketika hari cuti. Bagi rakyat Malaysia pula, jenayah yang paling dibimbangi adalah rogol dan bunuh terhadap wanita tempatan tanpa mengira usia atau status akibat warga asing yang kemaruk asmara, paling nyata dari sikap mereka membuat gangguan seksual mana-mana wanita setiap kali berkumpul dengan rakan sebangsa. Namun, kini terdapat sesetengah jenayah yang makin khusus kepada warganegara tertentu seperti mana media kini banyak melaporkan penipuan Internet yang didalangi warga Afrika atau 'awang hitam' yang semakin membanjiri bandar-bandar utama Malaysia. Bukan sahaja menipu belajar di institusi pendidikan tinggi swasta, 'awang hitam' turut menipu golongan wanita kaya dan individu lain menggunakan pelbagai skim dan rancangan halus melalui Internet khususnya laman sosial yang digilai penduduk negara ini sehinggakan mereka mampu menjadi jutawan segera.

Tidak ketinggalan, warga Iran yang semakin kerap tumpas di beberapa lapangan terbang negara dengan membawa masuk dadah dalam jumlah yang besar dan menggunakan pelbagai taktik licik menyorokkan bahan terlarang itu daripada pihak berkuasa. Warga Indonesia yang telah sekian lama membanjiri Malaysia berterusan ditangkap terlibat dalam kes rompakan, samun, pecah rumah dan bunuh terutamanya yang dikaitkan dengan ilmu hitam dan senjata berbahaya. Dari China pula, ribuan kes penipuan pas lawatan terus dicatatkan untuk menjadi gadis pelayan pelanggan (GRO) dan pelacur terutamanya di rumah-rumah urut yang kini tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Tidak kurang juga warga China yang bersubahat dalam penyeludupan produk dari negara tersebut di samping bersubahat dalam 'industri' cetak rompak yang terus maju di setiap pelosok negara ini. Dari India, Pakistan dan Bangladesh pula lebih banyak dikaitkan dengan mengganggu wanita tempatan, merusuh dan terbaru, beberapa kes pembunuhan kejam termasuk melibatkan pembunuhan kanak-kanak dan mengerat badan mangsa. Dalam pada itu, warga Myanmar yang rata-ratanya merupakan pelarian politik, lebih banyak menjalankan perniagaan secara haram tetapi bilangan mereka yang semakin ramai, kian membimbangkan penduduk setempat.

Tidak lupa juga kepada jiran di utara dan selatan Semenanjung di mana rakyat Thailand menyeludup minyak (diesel) dan barang-barang terkawal yang harganya lebih murah. Rakyat Singapura pula dikesan melanggar undang-undang jalan raya, tidak membayar saman dan mungkin terlibat dengan penipuan laporan kecurian kenderaan di Malaysia. Walaupun mengeluarkan nada seolah-olah membenci warga asing, hakikatnya rakyat Malaysia yang ramah mesra hanya membenci kepada segelintir mereka yang mencemar dan mengganggu ketenteraman hidup di negara ini. Jenayah sebenarnya tidak mengenal bangsa dan kerakyatan tetapi jumlah penjenayah pendatang asing akan melonjak sejajar dengan peningkatan mendadak warga asing ke negara ini. Kebelakangan ini juga, rakyat Malaysia sudah mula mengambil tindakan sendiri terutamanya terhadap warga asing yang mabuk dan mengganggu wanita tempatan. Jika golongan pendatang seperti ini terus dipandang enteng pihak berkuasa, akhirnya rakyat pasti akan bangkit dan bertindak sendiri demi menjaga keluarga, bangsa dan negara tercinta ini.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 DISEMBER 2011

ISU SBPA : TIDAK MENEKAN KAKITANGAN AWAM


Keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi penjawat awam sehingga 15 Januari pastinya melegakan kira-kira 1.4 juta kakitangan awam. Kelewatan pelaksanaan SBPA sehingga 15 Januari 2012 itu perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh JPA untuk memperbaiki dan memperhalusi kelemahan atau kecacatan terhadap lima isu dibangkitkan CUEPACS, khasnya membabitkan dasar pemisah atau ‘exit policy.’  Ini penting bagi memperlihatkan skim itu tidak menekan kakitangan awam yang menjadi tulang belakang kepada keberkesanan jentera pentadbiran kerajaan dan perkhidmatan awam. Kita percaya penjawat awam dapat memahami pelaksanaan dasar mendepani kemelut kelemahan prestasi dalam kalangan mereka sehingga mendorong JPA mewujudkan dasar itu. Pada hakikatnya, tidak begitu mudah bagi JPA dan kerajaan hendak membuat keputusan membuang kakitangan awam kerana ia biasanya perlu mengikut prosedur rumit serta memerlukan bukti kukuh sebelum keputusan itu dilakukan. Dari sudut lain, pendirian JPA itu juga selari dengan konsep Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan seperti yang dimahukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan mengambil kira kebajikan dan masa depan kakitangan awam.

Kesediaan CUEPACS menerima skim SBPA seharusnya dapat menamatkan sebarang bantahan dalam kalangan penjawat awam terhadap skim itu. Apa juga polemik dan kekeliruan yang timbul dalam kalangan penjawat awam berhubung opsyen yang ditawarkan dalam SBPA seharusnya tidak timbul lagi selepas ini kerana mereka mempunyai masa yang panjang untuk menilai skim baru itu dan faedah di dalamnya. Kita percaya dakwaan kononnya penjawat awam dipaksa menandatangani untuk menerima opsyen SBPA dan jika enggan, akan dibersarakan lebih awal tidak timbul lagi selepas ini. Begitu juga dengan isu kenaikan gaji dari 7 hingga 13 peratus seharusnya tidak dibangkitkan lagi kerana CUEPACS sudah menyatakan pendiriannya tidak menolak SBPA. Kekaburan penjawat awam terhadap faedah dinikmati apabila menandatangani SBPA juga perlu diperjelaskan CUEPACS dan JPA supaya ia tidak menjejaskan prestasi kerja dan perkhidmatan awam. Apa yang pasti, penjawat awam selepas ini, mahu atau tidak, mereka perlu memilih untuk menerima opsyen bersara 60 tahun jika mahu mendapat pelbagai ganjaran dan imbuhan apabila pencen kelak. Apa yang penting, pelaksanaan SBPA itu nanti diharap dapat membantu kerajaan melaksanakan pelbagai agenda transformasi negara seperti yang diharapkan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
24 DISEMBER 2011

23 Disember 2011

ISU SBPA : JPA DAN CUEPACS MULA BERUNDING PADA 23 DISEMBER 2011

 

Satu rundingan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs akan diadakan esok (23 Disember 2011) bagi menentukan sama ada pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan ditangguhkan atau tarikh mengembalikan borang opsyen dilanjutkan. Keputusan itu dibuat hasil pertemuan Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di Pejabat Perdana Menteri pagi tadi, yang turut disertai pegawai tertinggi Cuepacs, anggota kesatuan serta wakil daripada JPA. Bercakap kepada pemberita selepas bermesyuarat dengan anggota Cuepacs di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini sebaik selesai bertemu Perdana Menteri, Omar berkata Perdana Menteri mahu isu SBPA diselesaikan secara baik antara kedua-dua pihak. Perdana Menteri berharap isu SBPA mesti dirundingkan bersama-sama antara JPA dan Cuepacs sehingga persetujuan bersama tercapai, barulah ia boleh dilaksanakan. JPA dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan akan mengadakan perbincangan itu bersama Cuepacs bagi membincangkan segala isu yang dibangkitkan.

Ketua Pengarah JPA Tan Sri Abu Bakar Abdullah ketika dihubungi Bernama pada Khamis lepas berkata tempoh untuk menandatangani surat tawaran SBPA tidak akan dilanjutkan tetapi penjawat awam yang mempunyai alasan yang munasabah dibenarkan memulangkan surat tawaran itu selepas tarikh berkenaan. Ketika mengumumkan mengenai SBPA ketika membentangkan Belanjawan 2012 pada Oktober lepas, Najib berkata melalui sistem baru itu, penjawat awam akan menerima kenaikan gaji antara 7 dan 13 peratus mulai tahun depan. Omar berkata Cuepacs tidak menolak sepenuhnya SBPA tetapi disebabkan beberapa perkara yang tidak dipersetujui, ia terpaksa membangkitkan mengenai isu itu. "Misalnya tiada rundingan dibuat dengan kita mengenai SBPA sedangkan sebelum ini kita ada dipanggil untuk berunding mengenai Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (Prospek) untuk menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan ianya berjalan dengan baik serta kami buat roadshow bersama. Omar berkata antara perkara lain yang kurang disenangi sesetengah penjawat awam adalah mengenai kenaikan gred serta isu gaji kerana ada yang mendakwa akan menerima kenaikan gaji yang terlalu kecil.

Di bawah SBPA ini penambahbaikan gred tidak selaras. Ada gred yang ditambah baik, ada yang tidak. Dan kenapa ada kumpulan pekerja yang naik dan ada kumpulan yang tidak naik. Omar berkata selepas pertemuan dengan JPA esok dan jalan penyelesaian ditemui, beliau berharap satu perjanjian dibuat supaya kedua-dua pihak dapat turun padang untuk bersama-sama mengadakan taklimat kepada penjawat awam mengenai skim itu berbanding secara berasingan sebelum ini. Beliau sekali lagi meminta penjawat awam supaya menangguhkan untuk menandatangani surat tawaran SBPA buat masa ini dan menunggu hasil rundingan antara JPA dan Cuepacs mengenai skim itu. Bagaimanapun untuk yang telah menandatangani surat tawaran itu dan sudah diserahkan kepada majikan masing-masing, Omar berkata perkara itu akan dibangkitkan kepada JPA esok.

KOMEN CIKGU ZUL

Dasar-dasar baru kerajaan hendaklah dibincangkan dan diputuskan di peringkat atasan terlebih dahulu sebelum pengumuman mengenainya dibuat. Sesi randau untuk memahamkan segenap lapisan masyarakat yang dicakupi dalam dasar hendaklah diadakan secara menyeluruh. Segala perkara yang berkaitan dengan dasar hendaklah jelas dan setiap kemusykilan yang muncul haruslah dijawab dengan bernas dan rasional. Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku di negara Malaysia yang sudah semakin jauh melangkah maju ke hadapan. Pentadbir, pemimpin, pembuat dasar haruslah bekerja berdasarkan prinsip telus, cekap, dan amanah. Kecelaruan yang wujud dalam SBPA ini amat memeningkan kepala. Biar kita lihat, guru-guru yang sedang enak bercuti tiba-tiba dipanggil ke sekolah untuk mendengar taklimat SBPA dan menandatangani borang SBPA. Pada masa yang sama, media massa pula mengumumkan SBPA ditangguhkan. Mengapakah SBPA ini menjadi begitu sukar untuk diimplementasikan? Jawapannya, kita terlalu tergesa-gesa dan tidak menjalankan penyelidikan sebelum melakukan sesuatu.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
23 DISEMBER 2011

ISU PENDIDIKAN : KEPUTUSAN PMR 2011


Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud  

Pencapaian calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 secara keseluruhannya dalam 17 mata pelajaran adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 2.71. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud berkata, keputusan pada tahun ini didapati lebih baik daripada tahun lepas di mana GPN yang dicatatkan adalah 2.74. Beliau menjelaskan, nilai GPN yang lebih rendah menunjukkan keputusan yang lebih baik. Seramai 34,271 daripada 441,137 calon yang menduduki peperiksaan pada tahun ini mendapat gred A dalam semua mata pelajaran berbanding 30,863 pada 2010. Berlaku peningkatan sebanyak 0.75 peratus di sini. Bilangan calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran pula menurun daripada 386 orang pada 2010 kepada 346 tahun ini. Abdul Ghafar berkata, calon yang mendapat minimum gred D (tidak termasuk A) pula meningkat sebanyak 1.49 peratus kepada 272,966 berbanding 265,388 tahun lalu.

TAHNIAH KEPADA YANG BERJAYA

Bagi pencapaian calon luar bandar pula, bilangan calon yang mendapat semua A meningkat kepada 6,474 orang berbanding 5,825 tahun lepas. Calon bandar yang mendapat semua A meningkat kepada 26,189 berbanding 24,084 orang tahun lepas. Mengulas lanjut, beliau berkata, nilai GPN bagi calon bandar menurun sebanyak 0.04 mata berbanding calon luar bandar sebanyak 0.03 mata. Namun pada keseluruhannya pencapaian calon bandar adalah lebih baik daripada calon luar bandar. Sementara itu, beliau berkata, seramai 12 daripada 1,370 calon berkeperluan khas berjaya memperoleh A dalam semua mata pelajaran pada tahun ini berbanding lima orang pada tahun lepas. Calon yang melepasi tahap penguasaan minimum (semua D) pada tahun ini juga meningkat dari segi bilangan dan peratusan. Ini dapat digambarkan pada nilai GPN sebanyak 4.10 mata berbanding 4.19 pada 2010.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
23 DISEMBER 2011

ISU SOSIAL : GOLONGAN HOMOSEKSUAL SEMAKIN RAMAI?


Semakin ramai golongan muda lelaki Melayu dikesan menjadi pengamal homoseksual sekalipun mengetahui perkara itu ditegah agama dan mendedahkan mereka kepada jangkitan virus HIV. Presiden Majlis AIDS Malaysia, Tan Sri Mohd. Zaman Khan berkata, penularan seks luar tabii semakin serius dan tidak tertumpu kepada negeri-negeri di pantai Barat sahaja tetapi berlaku di negeri-negeri lain termasuk Kelantan. Beliau menambah, jika dahulu pengamalnya melakukannya secara sembunyi tetapi kini mereka semakin berani menonjolkan diri sehingga menubuhkan kelab-kelab gay. Perkara itu ujarnya, sangat membimbangkan lebih-lebih lagi trend jangkitan HIV dan AIDS dalam negara telah berubah daripada jangkitan akibat perkongsian jarum suntikan kepada transmisi aktiviti seks tidak selamat. Pada tahun 2010, jangkitan melalui hubungan seks secara heteroseksual, homoseksual dan biseksual mencatatkan jumlah 48.7 peratus melebihi jangkitan melalui penggunaan dadah suntikan iaitu 47.7 peratus. Nisbah jangkitan baru HIV di kalangan wanita juga telah naik tiga kali ganda apabila ia meningkat daripada 1.2 peratus pada 1990 menjadi 9.4 peratus pada 2000 dan 18.3 peratus pada 2010.

Namun kita dapati, selain bilangan semakin meningkat di kalangan wanita yang menjadi isteri dan pasangan kepada penghidap HIV, golongan lelaki yang mengadakan hubungan seks sesama lelaki juga semakin ramai terdedah kepada epidemik ini. Mohd. Zaman berkata, pada tahun lalu sahaja, sebanyak 3,652 kes baru jangkitan HIV telah dicatat menjadikan jumlah keseluruhan 91,362 penghidap, sejak virus ini mula dilaporkan di negara ini pada 1986. Jelasnya, daripada jumlah itu, seramai 16,532 orang telah ‘naik’ ke peringkat fasa AIDS di mana 14,298 orang daripada mereka meninggal dunia akibat kurang daya tahan kepada pelbagai jenis penyakit termasuk demam selesema. Beliau berkata, pergaulan dan pengaruh rakan serta sokongan padu dari kelab mereka menjadi punca utama budaya songsang ini merebak dan menyebabkan golongan ini semakin berani mengamalkan cara hidup sedemikian. Beliau tidak menolak penularan gaya hidup songsang itu dipercayai kesan daripada tindakan pihak-pihak tertentu yang giat memperjuangkan amalan berkenaan atas nama hak asasi dan kebebasan.

“Kita lihat kes pemuda Melayu yang berkahwin dengan pasangan gay di Dublin, Ireland baru-baru ini dengan lengkap bertanjak dan berbaju Melayu. Apa maknanya ini? Bagi saya ini sengaja hendak memalukan bangsa Melayu sahaja,”

Sila berikan komen anda. Terima kasih.


SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
23 DISEMBER 2011