Oleh Johardy Ibrahim
Begitu bingit isu penyerang Liverpool FC, Luis Suarez didapati bersalah menuturkan perkataan perkauman atau rasis terhadap kapten Manchester United, Patrice Evra minggu ini. Suarez dikenakan hukuman penggantungan lapan permainan dan denda 40,000 pounds (RM200,000). Isu itu menjadi rumit kerana banyak pihak tidak mengendahkan bantahan Liverpool FC terhadap kaedah yang digunakan oleh Persatuan Bolasepak Inggeris atau FA tidak sama seperti kaedah konvensional amalan mahkamah sivil. Ramai yang memilih untuk melihat Suarez sudah didapati bersalah semata-mata dan mahu dia menjalani hukuman tersebut, selain menjadikannya kes contoh kepada semua yang terlibat atau meminati bola sepak Inggeris. Kes serupa dihadapi oleh kapten Chelsea, John Terry yang dituduh menuturkan perkataan seumpamanya kepada Anton Ferdinand dari kelab Queen's Park Rangers, yang juga adik pemain Manchester United, Rio Ferdinand. Bezanya, kes Terry disiasat oleh polis ekoran laporan oleh orang awam dan dia perlu hadir ke mahkamah pada 1 Februari tahun depan. Hanya selepas itu dan jika didapati bersalah, barulah FA pula akan menjatuhkan hukuman.
Chelsea, seperti Liverpool berdiri teguh menyokong pemainnya dalam kes itu. Namun, kes Suarez ditangani secara tertutup dalam FA kerana tuduhan Evra adalah tuduhan dari mulutnya seorang terhadap Suarez dan tiada laporan polis dibuat. Kedua-dua kes tuduhan perkauman dalam dunia bola sepak Inggeris sebenarnya adalah cerminan kepada masyarakat Inggeris itu sendiri yang antara paling awal terbabit dalam perdagangan hamba abdi Afrika pada kurun ke-18 dan sentimen perkauman itu berlarutan ke hari ini. Meskipun banyak usaha asimilasi dan integrasi dilaksanakan oleh kerajaan British di seluruh tanah jajahannya di United Kingdom, isu perkauman terus wujud dan ia makin sulit dengan kewujudan Islamofobia pula. Sementelah profiling kaum di pintu-pintu masuk berkait rapat dengan isu keselamatan, ia menjadi satu dilema dalam masyarakat. Industri bola sepak adalah satu daripada sumber pendapatan terbesar kepada Britain dan diikuti oleh pelbagai lapisan masyarakat Britain umpama agama kedua. Kata-kata kesat yang dilemparkan kepada pemain berkulit hitam terutama oleh penyokong lawan di dalam stadium, menjadi pendorong kepada FA untuk melancarkan kempen KICK IT OUT (sepak ia keluar), Say No To Racism (Katakan tidak kepada rasisme).
Bagi para penyokong Liverpool, dalam kes Suarez ia bukan semata-mata soal sebuah kelab menentang pertuduhan terhadap pemain utamanya. Bukan kerana kesetiaan membuta-tuli. Jika ada bukti jelas dan melangkaui keraguan munasabah (beyond reasonable doubt), pasti penyokong setia akan akur dan terima hukuman terhadap Suarez tersebut. Tatkala Suarez mengaku ada menyebut 'negro' yang dianggap satu ayat perkauman, dia mendakwa datang daripada Uruguay, perkataan itu bukan penghinaan. Masalahnya, hujah tersebut tidak teguh dan mungkin di sini panel penyiasat FA mendapati wujud kes pada Suarez. Laporan penuh secara bertulis keputusan FA masih ditunggu dan hanya selepas itu, barulah Liverpool dan Suarez akan mengemukakan rayuan. Isu yang menjadi kemarahan ramai penyokong Suarez (termasuk di Uruguay), tuduhan asal itu hanya tuduhan mulut sebelah pihak. Tiada bukti video, atau didengar oleh pihak ketiga dan pengadil tidak mengetahuinya hanya selepas Evra membawa bosnya, Sir Alex Ferguson membuat aduan rasmi semasa perlawanan kedua-dua pasukan Februari lalu.
HANYA TUDUHAN
Bila ia hanya "tuduhan sebelah pihak'' tetapi FA telah membuat keputusan mendapati Suarez bersalah, kemudiannya menjatuhkan hukuman paling berat untuk kes seumpamanya iaitu gantung lapan perlawanan. Bermakna, sesiapa pun selepas ini boleh membuat aduan kepada FA bahawa Alex Ferguson telah menghina pemain menggunakan kata kesat dalam dialeg Scotland dan pengurus veteran itu patut menerima nasib serupa dengan Suarez. Apa pun, semua kelab di dunia mungkin risau untuk mengimport pemain dari Montenegro. Saya tidak arif mengenai butiran perundangan tetapi seharusnya pihak pengadilan seperti FA mempertimbangkan juga hujah Suarez yakni perkataan 'negro' bukan bersifat rasis di negara asalnya, malah Uruguay sendiri memperakui kenyataan Suarez. Orang akan berkata, tidak peka bukan suatu alasan tetapi hakikatnya , tidak peka tetap diterima sebagai satu alasan. Perbezaan budaya Uruguay dan Britain wajar diberi pertimbangan oleh FA.
Ia samalah seperti penggunaan perkataan 'Indon' yang dibantah oleh Kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak (siap hantar surat rasmi ke pejabat!) tetapi apa bezanya perkataan 'Malingsia' yang diguna akhbar Indonesia dan dilaungkan oleh penyokong Garuda semasa mereka tewas di tangan Malaysia pada perlawanan akhir Sukan Sea yang lalu? Budaya seberang membenarkan penyokongnya mencemuh orang lain sebegitu rendah maruahnya tetapi budaya di Malaysia kita hormat permintaan orang asing. Cuba Kedutaan Malaysia hantar surat ke akhbar Indonesia supaya berhenti guna perkataan Malingsia atau mengeluarkan berita berbaur hasutan hingga bangunan kita diserang berkali-kali tahun ini. Cubalah. Tengok mereka layan atau tidak. Dalam konteks Suarez, perbezaan budaya jelas mempunyai merit. Lagipun, dia bukan saja-saja menuturkannya. Ia tercetus setelah Evra berkali-kali melakukan provokasi terhadapnya. Apakah ia satu taktik permainan kotor setelah Evra naik penat mengawal pergerakan Suarez?
Perlawanan antara Liverpool dan Manchester United sentiasa menjanjikan perlawanan yang hebat kerana para pemainnya akan bermain bermati-matian. Buktinya boleh dilihat dari segi jaringan gol dan kad kuning serta merah yang dilayangkan. Perkataan kesat adalah sebahagian daripada permainan. Jika benar-benar hendak mematuhi kempen anti-rasisme, maka seluruh penyokong Manchester United hendaklah digantung daripada menyaksikan perlawanan apabila menyebut 'you Scouse thieves' (awak Scouse si pencuri). Scouse adalah loghat penduduk Liverpool. Tentunya ini tidak akan berlaku. Aspek inilah yang dilihat oleh penyokong Liverpool sebagai suatu ketidakadilan terhadap Suarez. Tindakan FA dianggap bersifat mencari kambing hitam dan sekadar mahu mendapatkan kes contoh untuk kempen anti-rasisme, maka Suarez adalah mangsanya. Ramai berpendapat bukti yang digunakan dalam siasatan kes itu tidak menepati kriteria prinsip pengadilan di mahkamah sivil.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
25 DISEMBER 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan