JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



24 Disember 2011

ISU SBPA : TIDAK MENEKAN KAKITANGAN AWAM


Keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi penjawat awam sehingga 15 Januari pastinya melegakan kira-kira 1.4 juta kakitangan awam. Kelewatan pelaksanaan SBPA sehingga 15 Januari 2012 itu perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh JPA untuk memperbaiki dan memperhalusi kelemahan atau kecacatan terhadap lima isu dibangkitkan CUEPACS, khasnya membabitkan dasar pemisah atau ‘exit policy.’  Ini penting bagi memperlihatkan skim itu tidak menekan kakitangan awam yang menjadi tulang belakang kepada keberkesanan jentera pentadbiran kerajaan dan perkhidmatan awam. Kita percaya penjawat awam dapat memahami pelaksanaan dasar mendepani kemelut kelemahan prestasi dalam kalangan mereka sehingga mendorong JPA mewujudkan dasar itu. Pada hakikatnya, tidak begitu mudah bagi JPA dan kerajaan hendak membuat keputusan membuang kakitangan awam kerana ia biasanya perlu mengikut prosedur rumit serta memerlukan bukti kukuh sebelum keputusan itu dilakukan. Dari sudut lain, pendirian JPA itu juga selari dengan konsep Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan seperti yang dimahukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan mengambil kira kebajikan dan masa depan kakitangan awam.

Kesediaan CUEPACS menerima skim SBPA seharusnya dapat menamatkan sebarang bantahan dalam kalangan penjawat awam terhadap skim itu. Apa juga polemik dan kekeliruan yang timbul dalam kalangan penjawat awam berhubung opsyen yang ditawarkan dalam SBPA seharusnya tidak timbul lagi selepas ini kerana mereka mempunyai masa yang panjang untuk menilai skim baru itu dan faedah di dalamnya. Kita percaya dakwaan kononnya penjawat awam dipaksa menandatangani untuk menerima opsyen SBPA dan jika enggan, akan dibersarakan lebih awal tidak timbul lagi selepas ini. Begitu juga dengan isu kenaikan gaji dari 7 hingga 13 peratus seharusnya tidak dibangkitkan lagi kerana CUEPACS sudah menyatakan pendiriannya tidak menolak SBPA. Kekaburan penjawat awam terhadap faedah dinikmati apabila menandatangani SBPA juga perlu diperjelaskan CUEPACS dan JPA supaya ia tidak menjejaskan prestasi kerja dan perkhidmatan awam. Apa yang pasti, penjawat awam selepas ini, mahu atau tidak, mereka perlu memilih untuk menerima opsyen bersara 60 tahun jika mahu mendapat pelbagai ganjaran dan imbuhan apabila pencen kelak. Apa yang penting, pelaksanaan SBPA itu nanti diharap dapat membantu kerajaan melaksanakan pelbagai agenda transformasi negara seperti yang diharapkan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
24 DISEMBER 2011

Tiada ulasan: